KETIBAAN… Turut menunggu ketibaan waris mendiang Damian Senin dan Ronwina Mambai ialah ADUN Tebedu Dr. Simon Sinang, Robert Adi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ahli keluarga bersama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Suasana hiba menyambut ketibaan anak-anak mendiang pasangan suami isteri Damian Senin dan Ronwina Mambai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
Terdahulu, sepasang suami isteri ditemui maut dipercayai akibat terkena renjatan arus elektrik dalam bilik air di sebuah flat di Taman Puncak Tringkap, Brinchang, Cameron Highlands pada Khamis lalu.
Pasangan berkenaan meninggalkan tiga cahaya mata, Elisa Olivia Damian 10 tahun, Joseph Rayyan Damian 8 tahun dan Magdalena Damian,1 tahun 5 bulan. Ketibaan anak-anak mendiang diiringi oleh bapa saudara Robert Ading yang merupakan abang kandung kepada mendiang (ibu).
Ketika ditemu bual, Elisa Olivia Damian berkata, sejurus kejadian tersebut beliau terus menghubungi sepupu ibunya dan sepupu ibu minta Elisa (anak sulung mendiang) untuk memadamkan suis utama.
“Selepas itu, saya terus meminta bantuan daripada jiran di tingkat atas. Mereka (jiran) terus menghubungi pihak hospital (ambulans).
“…Dan pada ketika kejadian tersebut, saya dan adik-adik berada di ruang luar rumah. Mendiang (ibu) pernah berpesan kepada saya untuk sentiasa menjaga adik-adik sekiranya mereka tiada,” katanya, ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.
Sementara itu, abang kandung mendiang (Ronwina Mambai) yang juga merupakan waris, Robert Ading berkata, segala urusan penerbangan pulang tiga beradik (anak mendiang) serta penginapan transit, juga urusan pengebumian kedua-dua mangsa telah dibiayai sepenuhnya oleh Sarawak Volunteers dengan bantuan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur.
“Perjalanan sangat mudah, dan barang anak-anak mendiang diuruskan oleh pihak KKK Kampung Tringkap. Mereka yang membantu untuk menguruskan segala barang mereka.
“Ketika menerima berita mengenai kejadian ini, saya tidak tahu nak kata apa-apa (speechless)… tiba-tiba sahaja terjadi. Sehingga saya ke rumah mayat sendiri untuk mengecam dan menerima berita pemergian ini.”
Turut dimaklumkan bahawa mendiang pasangan suami isteri Damian Senin dan Ronwina Mambai sering menghubungi keluarga mereka di Kuching (dalam sehari tiga kali akan menelefon).
Ahli Parlimen Serian yg juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, beliau juga berpesan kepada kedua-dua waris yang bakal menjaga anak-anak mendiang agar menjaga anak-anak itu dengan baik seperti anak kandung mereka sendiri.
“Saya amat tertarik kerana dua anak mendiang sangat fasih berbahasa mandarin kerana kedua-dua mereka belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).Kita sama-sama bersyukur kerana semua urusan mereka di Semenanjung berjalan dengan lancar,” katanya, dalam satu perkongsian di laman Facebook.
Dalam pada itu, Skuad PERKESO Prihatin Tapah dan Serian telah mengambil tindakan segera membantu keluarga ini. Berdasarkan semakan hanya bapa kepada anak-anak mendiang ini yang memenuhi syarat kelayakan PERKESO manakala ibu mereka adalah suri rumah sepenuh masa.
Faedah Pengurusan Mayat telah diluluskan melalui pejabat PERKESO Serian. Anak-anak ini juga akan dibayar bayaran bulanan Pencen Penakat sehingga mereka berusia 21 tahun ataupun tamat pengajian peringkat ijazah pertama.
Mendiang pasangan suami isteri Damian Senin dan Ronwina Mambai dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Shah Alam Selangor.
Oleh AZREEN KERIA