
KALI ini saya membawa satu isu yang penting dalam sejarah iaitu makna sejarah bukan satu cerita semata-mata.
Mengapa saya membawa isu ini adalah kerana ramai orang awam minat dalam sejarah yang merupakan satu perkembangan yang baik.
Dari situ pula pelbagai pihak menganggap tafsirannya yang paling betul kerana mempunyai sumber primari yang sahih. Hal ini dibantu dengan perkembangan media sosial.
Perkembangan media sosial yang semakin rancak membantu siapa sahaja boleh melontarkan pendapatnya dengan bebas.
Apa jua mereka kutip dari mana-mana sumber tertentu sama ada sahih atau tidak, menjadi pegangan mereka untuk membuat satu pengesahan bahan itulah sebenarnya berlaku.
Hal ini juga berlaku dalam pandangan mereka tentang sejarah itu sendiri. Kadangkala membawa kepada perbalahan antara mereka, dan selalu juga merendah-rendahkan orang lain dengan pendapat mereka tersebut.
Pemahaman
Namun, persoalannya ialah sama ada cara yang digunakan oleh mereka itu selaras dengan kaedah penulisan sejarah yang sebenar.
Hal ini merupakan isu penting yang perlu difahami kerana disiplin sejarah mempunyai kaedah tersendiri dalam menjalankan kajian serta menghasilkan penulisan sejarah.
Ia bukan hanya menampal apa-apa sahaja sumber yang dijumpai, dan terus membuat tafsiran.
Untuk memahami perkara tersebut seseorang itu harus mengetahui apa itu sejarah.
Disiplin sejarah telah berkembang sejak lama, dan menjadi bahan perbincangan sejak zaman Yunani lagi.
Dari situ ia berkembang sehingga abad ke-17 yang mana sejarah mula menilai sumber dengan teliti. Ia mula merekonstruksi masa lalu berdasarkan data yang boleh dipercayai dan boleh disahkan.

Sehubungan dengan perkara tersebut seorang sarjana sejarah dan klasik dari Ireland, J. B. Bury, menyatakan bahawa ‘sejarah adalah sains, tidak lebih dan tidak kurang.’
Kata-kata beliau ini menegaskan bahawa sejarah perlu dikaji sebagai suatu bidang sains yang bersifat objektif dan berasaskan bukti, dengan menggunakan kaedah kritikal serta pengesahan fakta.
Pandangan tersebut menjelaskan bahawa sejarah bukanlah bidang yang boleh dikaji atau ditulis sewenang-wenangnya.
Hal ini selaras dengan pandangan Bapa Sejarah Moden, Leopold von Ranke, yang menegaskan bahawa sejarah merupakan satu pembinaan masa lalu secara objektif dan saintifik, berasaskan sepenuhnya kepada sumber primer bagi menunjukkan ‘bagaimana sesuatu peristiwa itu sebenarnya berlaku.’
Definisi sejarah ini semakin menarik apabila seorang lagi sarjana sejarah iaitu E. H. Carr mengatakan bahawa sejarah ialah dialog yang tidak berkesudahan antara masa kini dengan masa lalu.
Kata-kata beliau ini menunjukkan bahawa sejarah itu terus berkembang dan tidak terhenti begitu sahaja.
Persamaan
Bukan sarjana Barat sahaja mempunyai hujahan tentang definisi sejarah. Di Asia khususnya Islam telah lahir sarjana-sarjana yang mengupas makna sejarah ini sebelum ilmu ini menjadi perbincangan utama orang Barat.
Yang paling terkenal adalah Ibnu Khaldun yang sejak awal lagi memberi makna sejarah sebagai berita tentang masyarakat manusia, peradaban dunia, tentang perubahan yang berlaku pada sifat masyarakat itu, seperti kemajuan dan kemunduran.
Dalam hal ini Ibnu Khaldun ini menekankan bahawa sejarah itu bukannya semata-mata cerita tetapi perlu diselidik secara kritikal bagi membezakan antara fakta benar dan kisah rekaan.
Dengan kata lain definisi beliau ini menunjukkan bahawa sejarah itu sesuatu yang bukan cerita rekaan yang mengambil apa sahaja sumber tanpa kajian kritikal. Malahan ia harus dibersihkan dengan mitos dan legenda.

Salah seorang sarjana Indonesia iaitu Suyatno Kartodirdjo mengatakan bahawa kajian sejarah bukan sekadar mengumpul fakta masa lalu, tetapi juga memerlukan pemikiran intelektual yang kritikal bagi memahami makna di sebalik peristiwa sejarah.
Tanggapan definisi seperti ini menjadi pegangan kepada sejarawan dunia ini. Dengan kata lain sejarah itu bukan cerita biasa tetapi memerlukan satu analisis dan kajian mendalam untuk membuat tafsiran.
Pengutipan
Dalam usaha kita memahami tentang perlunya satu penyelidikan ilmiah dan kritikal, maka sumber-sumber sejarah penting bagi menyokong idea dan hujahan seseorang.
Namun sesetengah pihak dalam media sosial dalam usaha menjustifikasikan penemuannya hanya memaparkan beberapa buku untuk hal tersebut.
Dalam hal ini sejarawan Filipina Samuel Tan pernah mengkritik pendekatan sejarah yang terhad pada satu-satu kelompok. Beliau menekankan sejarah harus dilihat daripada pelbagai kumpulan bangsa lain.
Agak membimbangkan juga apabila menyatakan buku itu dirujuk sebagai bahan primari. Dalam sejarah buku atau artikel itu bukan sumber primari.
Buku adalah sumber sekundari yang mana nilainya dalam penyelidikan tidak sepenting bahan primari. Ia boleh digunakan untuk menyokong usaha membina naratif sejarah, disesuaikan pula dengan sumber primari.
Apakah itu pula sumber sekundari? Bahan sekundari pula adalah bahan yang telah diolah daripada sumber primari.
Dalam sejarah juga kita tidak boleh terus membuat kesimpulan apabila menggunakan beberapa bahan.
Sumber primari adalah sumber yang asal atau dokumen asli yang dicipta pada masa peristiwa berlaku atau oleh individu yang terlibat secara langsung dengannya.
Sebelum apa-apa tafsiran dibuat, kedua-dua sumber akan diuji dengan kaedah kritikan luaran dan dalaman untuk menentukan keaslian bahan-bahan tersebut.
Hal ini dilakukan untuk mengelak kepalsuan dalam sumber sejarah. Dalam sejarah dunia, bahan-bahan palsu ini mudah muncul kerana bertujuan sebagai propaganda.
Pemalsuan
Salah satunya adalah wujudnya Tanaka Memorial yang menuduh Jepun mempunyai perancangan dalam penaklukan Asia. Apabila diselidik oleh sejarawan bahan tersebut tidak pernah wujud.
Pada 1983, telah ditemui apa yang dikenali sebagai Diari Hitler. Namun, penemuan ini kemudiannya didapati sebagai satu pemalsuan dalam sejarah.
Pada suatu ketika dahulu, pernah juga timbul pertikaian tentang kesahihan dakwaan bahawa Marco Polo benar-benar pernah pergi ke China.
Persoalan ini mencetuskan perdebatan panjang dalam kalangan sarjana sebelum akhirnya dapat disangkal kebenarannya.
Dengan kata lain tafsiran sesuatu peristiwa atau perkara dalam sejarah perlu penelitian lebih mendalam yang bukan hanya menemui satu perkara dalam buku-buku tertentu terus menjadi sandaran untuk pendapat mereka.
Minggu depan wacana ini akan dipanjangkan lagi tentang beberapa perkara yang perlu diketahui dalam penyelidikan dan penulisan sejarah.
- Dr Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).