

TERLEBIH dahulu, syabas diucapkan kepada Claudia Simba, Muhammad Hafiz bin Berahim dan Abdullah Husaini kerana sajak yang ditukangi telah disiarkan dan diberi bimbingan dalam ruangan ini.
Semoga usaha pengkaryaan ini akan berterusan dan menjentik semangat penulis lain untuk berkarya. Saya teringat kata-kata seorang penulis wanita yang gemar menyeru para wanita untuk menulis dengan ungkapannya ‘menulislah duhai wanita, kamu akan menjadi lebih cantik!’ Menginspirasikan, bukan?
Sajak, gaya bahasa dan emosi tidak dapat dipisahkan. Keupayaan ‘bermain’ dengan bahasa menghadirkan pelbagai kesan termasuk mengesani emosi pembaca. Dari sisi lain, rasa rindu, gembira, marah atau kecewa merupakan muatan emosi yang dapat menjadi api, menyalakan ilham pengkaryaan. Tanpa emosi, sajak terasa hambar dan kering.
Namun, perlu diingat bahawa sajak bukanlah semata-mata tentang gaya bahasa dan muatan emosi. Emosi yang merupakan salah satu bahan mentah dalam menukangi sajak sudah tentu tidak wajar berdiri semata-mata sebagai luapan emosi tanpa dapat memberi sebarang merit kepada sajak yang ditukangi.
Justeru, selain membijaksanakan pemikiran, sebenarnya sajak juga berfungsi sebagai wahana untuk meluahkan perasaan halus daripada emosi kasar. Contohnya, emosi “sedih” diterjemahkan menjadi perasaan “kesepian” lalu digubah dalam metafora sebagai “bulan menyepi di balik awan”. Dalam hal ini, emosi pembaca boleh diaktifkan melalui sajak.
Maksudnya emosi penyajak dititipkan ke dalam kata dan getar gelombangnya turut dirasai pembaca. Sajak yang baik mampu menggugah perasaan pembaca; menitiskan air mata, mengukir senyuman atau merenung jauh dan menjentik pemikiran.
Namun, dalam apa-apa jua keadaan, suatu hakikat yang sukar dinafikan ialah emosi tanpa kawalan boleh memudaratkan. Dalam menukangi sajak, emosi boleh menjadi ungkapan seni yang indah, terkawal dan berkesan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan sajak merupakan jendela yang menzahirkan emosi dalam bentuk yang puitis agar dapat membijaksanakan emosi pembaca.
Menukangi sajak seumpama ini memerlukan diksi yang baik. Penyajak yang hebat menyaring setiap kalimat yang hendak dimuatkan dalam baris dan rangkap sajak yang ditulis.
Keterampilan dan ketinggian nilai estetik memerlukan keupayaan penyajak bereksperimentasi dengan bahasa yang bukan sahaja kreatif dan figuratif malah bersesuaian dengan mesej dan pemikiran yang ingin disampaikan.
Setiap diksi dalam sajak dapat memberi kepelbagaian makna pada tanggapan individu bergantung kepada latar belakang, pengalaman dan pengetahuan seseorang. Ringkasnya, kepekaan penyajak terhadap diksi penting kerana pilihan diksi yang baik dapat membijaksanakan emosi pembaca.
Patah-patah kalimah yang dipilih hendaklah ‘bernyawa’ dan mampu menyuntik inspirasi kepada audiens supaya meninggalkan bekas pada minda, perasaan dan sensitiviti.
Emosi dalam sajak bertitik tolak daripada pengalaman, kekuatan rasa dan pemikiran imaginatif penyajak.
Ketiga-tiga sajak, “Aku Anak Merdeka”, “Perwira Diraja” dan “Sejurus Turun ke Darat” nyata berusaha memberi inspirasi kepada audiens khususnya berkaitan kemerdekaan, perjuangan dan kehidupan.
Dalam ruangan ini, kita akan sama-sama meneliti sajak yang telah dihasilkan dengan mengambil kira kelebihan dan ruang yang boleh ditambah baik terutamanya yang berkaitan dengan muatan emosi yang berupaya membijaksanakan pembaca.
Sajak “Aku Anak Merdeka” oleh Claudia Simba bertemakan kecintaan kepada negara dan rasa bangga menjadi anak merdeka. Tema seumpama ini sememangnya kerap digarap pada bulan Ogos sempena bulan kebangsaan.
Saya percaya, menukangi sajak seumpama ini merupakan manifestasi semangat patriotik. Menerusi baris kata pada bait demi bait sajak ini, naratif penyajak adalah tentang kemerdekaan tidak dicapai dengan mudah lewat nukilan-nukilan seperti “patah sayap bertongkat paruh”, “biar berpantang mati sebelum ajal” dan “di dada penuh satria”. Justeru, kemerdekaan hendaklah dihargai oleh semua orang.
Emosi yang dihadirkan dalam sajak ini adalah wajar apabila bercakap hal-hal berkaitan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Namun, tanpa diksi yang teliti, sajak akan menjadi sekadar luahan emosi penyajak tetapi kesan kepada audiens sukar dirasai secara mendalam. Cuba amati kedua-dua rangkap berikut:
Aku anak Merdeka
bernaung di bawah
panji Borneo pertiwi
tujuku hanya satu
alahkan lawan durjana
biar berpantang mati sebelum ajal.
(Claudia Simba)
Aku anak Merdeka
bara yang tumbuh dari arang luka
panji pusaka berkibar di ufuk rimba,
tujuku bukan sekadar menewaskan lawan,
tetapi menyalakan cahaya di nurani bangsa
selagi nyali masih hidup
dalam nadi pertiwi
mati hanyalah pintu.
(Puisi alternatif)
Secara perbandingan, beberapa perkara dalam kedua-dua rangkap ini ternyata berbeza. Pertama; emosi yang lantang dan lebih berupa luahan semangat, iaitu menentang musuh kini dibumbui elemen reflektif.
Maknanya, tidak hanya tentang melawan musuh tetapi juga melawan kegelapan dalam diri dan menyalakan harapan untuk bangsa. Kedua; diksi menjadi lebih simbolik. Misalnya; “bara dari arang luka”, “ufuk rimba”, “cahaya di nurani bangsa”.
Diksi seperti ini berupaya memperluas tafsiran pembaca dan tidak semata-mata terikat dengan patriotisme secara literal. Inilah jalan merintis usaha membijaksanakan pembaca.
Mengamati sajak ini pada keseluruhannya, dapat kita kesani emosi yang menonjol dalam sajak ini ialah semangat juang, maruah, kegeraman terhadap pengkhianat dan semangat nasionalisme. Ada rasa bangkit daripada luka, keberanian dan sumpah setia anak muda.
Namun, emosi di sini lebih kepada ledakan perasaan yang bertatahkan semangat merangkumi marah, dendam, tekad, bukan renungan yang mendalam. Misalnya dalam rangkap kedua hingga kelima, penyajak sekadar menyatakan perasaan peribadi yang meluap-luap terhadap sebuah kemerdekaan. Biarpun berjela rangkapnya, namun kelompangan makna yang bertenaga adalah sangat ketara.
Cadangan-cadangan berikut boleh diberi perhatian dalam usaha menggerakkan peranan emosi sebagai elemen yang membijaksanakan pembaca. Misalnya, bagi memperkaya emosi, penyajak boleh menukilkan ledakan emosi dengan menggunakan diksi simbolik seperti alam, elemen sejarah ataupun budaya Borneo.
Selain itu, kurangkan pengulangan literal “Aku anak Merdeka” supaya pembaca tidak rasa terbuai dengan pengulangan yang berlebihan. Sebaliknya boleh sahaja diselitkan variasi metafora seperti “Aku bara di dada pertiwi”, “Aku sungai yang mencari muara merdeka”.
Selain itu, boleh juga diselitkan lapisan refleksi, iaitu bukan hanya melawan musuh tetapi juga melawan kelemahan diri, ketidakadilan sosial atau kerakusan kuasa.
‘Dandanan’ seperti ini bukan sahaja menjadikan sajak lebih puitis dan persis bahkan dapat mendorong pembaca untuk merenung secara lebih bijaksana.
Aku anak Merdeka
bara yang tumbuh dari arang luka
panji pusaka berkibar di ufuk rimba,
tujuku bukan sekadar menewaskan lawan,
tetapi menyalakan cahaya di nurani bangsa
selagi nyali masih hidup
dalam nadi pertiwi
mati hanyalah pintu.
Aku anak Merdeka,
bangkit dari reruntuh sejarah,
sayapku pernah patah,
namun paruh masih mengukir angin,
lalu aku berdiri di pentas wira
bukan kerana gagah semata,
tetapi untuk menebus maruah yang tercicir.
Aku anak Merdeka,
terjaga dari ranjang kecewa,
sumpahku terpahat di batu sungai,
darahku menyatu dengan tanah huma,
saksi kesetiaan yang tidak luntur
ditelan masa atau godaan kuasa.
Aku anak Merdeka,
menaruh diri di medan pertiwi,
penderitaan kusemat jadi baja,
air mata kujadikan hujan penawar,
agar api nasionalisme
tak sekadar membakar lawan,
tetapi juga menyuluh jalan bangsa.
Aku anak Merdeka,
harapan nusa yang dipalit luka,
akan kutentang petualang durjana
yang merakus kuasa menimbus maruah.
Namun aku tahu, musuh bukan hanya di luar,
kadang bersemayam dalam jiwa
yang rakus, tamak, alpa pada amanah.
Aku anak Merdeka,
di hati menyala semangat waja,
di dada terpateri jiwa satria.
Inilah tuah yang kupikul
untuk merawat luka lama,
agar generasi esok mengerti
merdeka bukan sekadar bebas,
tetapi bijak memilih jalan benar.
Dalam sajak alternatif ini, penyajak boleh menapis baris demi baris dan kemudian memilih baris dan diksi yang lebih persis. Yang jelas, sajak ini memperlihatkan elemen-elemen yang menuntut pembaca berfikir lebih kreatif dan kritis.
Proses berfikir inilah yang boleh menganjak pembaca ke tahap kebijaksanaan. Menukangi sajak yang membijaksanakan pembaca memerlukan penyajak menyaring emosi mentah agar dapat menjadi renungan falsafah. Perkara ini dapat dilaksanakan melalui kehadiran metafora, simbol alam, sejarah dan budaya. Kesannya, sajak bukan sekadar luahan tetapi juga suluhan.
Sekarang mari kita teliti sajak kedua berjudul “Perwira Diraja” oleh Muhammad Hafiz Berahim. Muatan emosi dalam sajak ini didominasi oleh cintakan tanah air, keikhlasan, kesanggupan berkorban dan keberanian tentera.
Kita juga dapat mengesani kehadiran emosi spiritual seperti “sumpah”, “roh” dan “pusaka bangsa”. Naratifnya lebih kemas daripada sajak pertama, dengan penghayatan patriotisme yang tenang tetapi tegas.
Bagi menjadikan emosi pada sajak ini lebih bersifat membijaksanakan pembaca, penyajak boleh memberi lebih perhatian kepada penyaringan kalimat. Maknanya, diksi boleh diperhalus dengan imagery yang lebih segar.
Ungkapan seperti “berpeluh di tanah” dan “bernafas di bara” umpamanya sudah kuat tetapi boleh diperdalam lagi dengan imej peribumi seperti hutan, sungai, padi atau belian yang akrab dengan tanah Borneo.
Elakkan juga frasa yang klise bunyinya seperti “panji pusaka tak akan rebah” dengan pemilihan simbol yang lebih hidup seperti “panji pusaka teguh bagai belian” .
Selain itu, untuk membijaksanakan pembaca, penyajak boleh menyelitkan renungan falsafah tentang erti merdeka. Misalnya: “merdeka bukan sekadar bebas lepas, tetapi memilih jujur walau digoda kuasa”.
Langkah tak terlerai di batas luka,
berpeluh di tanah, bernafas di bara
di dada kami, sumpah disemat
panji pusaka tak akan rebah.
andai tubuh rebah di medan
biar roh melayang ke langit pertiwi.
(Muhammad Hafiz)
Langkah kami tidak terlerai oleh luka,
keringat menitis di tanah leluhur,
nafas bersatu dengan bara perjuangan.
di dada kami sumpah tersemat
seperti belian di rimba
panji pusaka takkan rebah,
selagi jiwa masih tegak di bumi.
andai tubuh rebah di medan,
roh kami pulang ke langit pertiwi.
(Puisi alternatif)
Puisi alternatif ini dikekalkan nada kontemplatifnya tetapi didandan dengan metafora rohani, falsafah alam dan refleksi jiwa. Hal ini membolehkan pembaca bukan hanya menikmati keindahan bahasa tetapi juga mendapat kebijaksanaan daripadanya.
Selain itu semangat patriotik dan kesetiaan tentera dikekalkan dan dilapisi dengan imejan alam, falsafah perjuangan dan renungan jiwa supaya lebih segar, simbolik dan membijaksanakan.
Sekarang, mari kita beralih kepada puisi ketiga, iaitu “Sejurus Turun ke Darat” oleh Abdullah Husaini. Emosi utama yang dimuatkan dalam sajak ini ialah keterpesonaan, keinsafan dan rasa kecil diri di hadapan keluasan alam ciptaan Tuhan.
Berbeza dengan dua sajak sebelumnya yang penuh semangat patriotik, sajak ini lebih kontemplatif, peribadi dan reflektif. Terdapat nuansa melankolis, iaitu pertanyaan diri, kealpaan dan senja.
Semakin tinggi di udara
sekecil zarah kurasa diri
seluas apa di luar bumi?
tinggal soalan, di langit
kuterlupa segala
sejurus di darat senja
Sekiranya mahukan kesan yang lebih mendalam terhadap pembaca, cadangan berikut boleh dipertimbangkan. Diksi sajak ini boleh dikatakan puitis tetapi masih boleh ditajamkan dengan metafora falsafah.
Contohnya, “sekecil zarah kurasa diri” boleh diperluas dengan renungan “namun, zarah juga cahaya jika ditembus matahari.” Akhir sajak boleh diperkukuh dengan kesimpulan bijaksana, iaitu bukan sekadar “senja”. Contohnya: “senja di darat mengingatkan, langit pun meminjamkan cahaya sebelum hilang.”
Jika ditambah perspektif sejarah atau rohani seperti “langit sebagai kitab”, “laut sebagai ibu” dan “tanah sebagai pusaka”, tidak mustahil pembaca akan lebih terdidik tentang falsafah hidup yang meningkatkan takah kebijaksanaan.
Setelah membaca nota kecil ini, saya fikir kita semua bersetuju pada penyataan bahawa sajak mempunyai hubungan yang akrab dengan bahasa emosi yang ditenun menjadi renungan.
Suara dari tanah Borneo diperkaya dengan simbol, falsafah dan citra alam. Ia bukan sekadar luahan semangat, tetapi juga suluhan jiwa yang mengajak pembaca merenung makna merdeka, amanah perjuangan dan keberadaan diri dalam semesta.
Sajak yang baik terbina atas elemen penyampaian, tema, persoalan dan pemikiran diolah melalui stail bahasa yang indah dan menarik. Penghematan dipelihara oleh penyajak unsur jalinan penulisan kesusasteraan terutama metafora, simile, personifikasi, rima dan irama yang indah pada halwa telinga dimanipulasikan.
Penyajak perlu tabah dan cekal untuk mencuba pelbagai unsur bahasa, teknik dan bentuk bagi mencapai kematangan dan kualiti tinggi karya. Bahasa, teknik dan bentuk penulisan sajak dapat disegarkan melalui usaha bereksperimen dari segi bahasa bagi mengelakkan kelusuhan atau klise.
Sajak yang membijaksanakan sarat dengan pengalaman, pemikiran, renungan yang memang mengutamakan keseronokan dan kenikmatan bahkan membawa kepada kebijaksanaan, refleksi dan pengajaran.
Sesungguhnya, penyajak sama seperti pujangga yang baik, perlu berupaya merenung, mentafsir, menilai dan mencari jawapan kepada permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat dan negaranya.
Masalah bukan sahaja dihidangkan tetapi jalan penyelesaian turut dicari. Hanya penyajak yang bijak dan berperanan sebagai pemikir zaman yang dapat membijaksanakan pembaca dengan sajaknya.
Oleh Dayang Azizah M. Salleh