DALAM pembangunan sesebuah bandar raya, isu mengenai sistem pengangkutan merupakan salah satu isu yang cukup berat dan agak sensitif serta menuntut ditangani secara holistik.
Inilah yang diberi penekanan sewajarnya oleh kerajaan Sarawak di bawah teraju Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kuching Urban Transportation System (KUTS) merupakan sistem tulang belakang untuk meringankan kesesakan trafik dalam bandar raya Kuching.
Inisiatif kerajaan ke arah memperbaiki konektiviti melalui sistem pengangkutan awam yang berkesan dan bersepadu ini adalah sejajar dengan hasrat untuk merealisasikan impian untuk membangunkan Bandar Raya Bestari serta memanifestasi betapa keprihatinan GPS agar bandar raya kita tidak terjebak dalam kerumitan kesesakan trafik yang teruk seperti yang dialami oleh kota-kota besar seperti Bangkok, Jakarta ataupun Kuala Lumpur.
Dalam merancang kesemua itu, sebuah anak syarikat milik sepenuhnya oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) yang diperbadankan sebagai Sarawak Metro pada Februari 2018, telah memulakan operasinya pada September 2019.
Sarawak Metro berkolaboratif rapat dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk memastikan pembangunan KUTS adalah sejajar dengan agenda transformasi digital kerajaan untuk melingkungi pelan pembangunan keseluruhan Sarawak.
Oleh sebab pelan induknya adalah untuk menggunakan bahan bakar yang mesra alam seperti hidrogen, sistem pengangkutan yang dinamakan Autonomous Rapid Transit (ART) diguna pakai. Dalam melaksanakan impian ini, langkah memastikan Penilaian Impak Alam Sekitar, Sosial dan Warisan atau Environmental, Social and Heritage Impact Assessment (ESHIA) diberi keutamaan awal demi menjaga agar impak terhadap alam sekitar dan sosial diminimumkan, sambil memastikan mana-mana bentuk warisan yang penting dan signifikan tidak termusnah oleh usaha pembangunan.
Istimewanya, sistem ART ini lebih berkesan dari segi kos berbanding dengan Light Rapid Transit (LRT), kerana ART tidak memerlukan pembinaan trek rel.
Pelaksanaan projek perlu dibangunkan secara berfasa, dengan kerja sivil dan struktural projek dijangka dimulakan pada tahun 2022, manakala kerja terhadap sistem projek menyusuli pada tahun berikutnya.
Fasa pertama projek akan melibatkan pembinaan dua laluan perbandaran meliputi jarak berkejauhan kira-kira 50 km.
Laluan dibahagi kepada dua iaitu Laluan Biru (Samarahan) dan Laluan Merah (Serian).
Laluan Biru bermula dari Rembus dalam Bahagian Kota Samarahan hingga ke Exchange Hikmah sepanjang 27 km, manakala Laluan Merah bermula dari Batu 12 Jalan Kuching-Serian hingga ke Isthmus sepanjang 23 km.
Bersandarkan penerangan ringkas ini, jelas kritikan terhadap kerajaan mengenai projek ART, penggunaan hidrogen, dan apa-apa yang disangkakan sebagai kelewatan dalam merealisasikan impian adalah kritikan yang tidak betul, tidak adil, dan disengajakan semata-semata untuk menggembar-gemburkan perkara menjadi isu sensitif, sedangkan pihak kerajaan membuat perancangan yang rapi dan holistik.
Merancang sesuatu projek besar memerlukan kerapian, dan kerapian memerlukan masa. Tanpa perancangan rapi, bermakna bersikap gelojoh yang merupakan satu pendekatan yang merugikan dalam jangka panjang.
Justeru, rakyat tidak perlu terkeliru apabila ada dalam kalangan pembangkang yang cuba untuk mengaburi kita semua tentang usaha kerajaan. Adalah penting bagi kita semua memahami selok-belok pembangunan dan tidak semudah itu menuding jari tanpa mengetahui latar belakang sebenar.
Lebih-lebih lagi pada ketika pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) sedang hampir, pelbagai retorik negatif politik cuba memesongkan fakta dan cuba untuk mengaburi mata rakyat. Jika kita termakan dakyah pembangkang, kita khuatir terjadi nanti, apa-apa yang dikejar tak dapat, apa-apa yang dikendong berciciran!
Oleh WILLIAM CHAN