SIBU: Beliau bukan sembarangan pengemis di bandar Sibu. Penampilannya nampak kemas dengan rambut panjangnya yang diikat dan pandangannya akan menembusi hati sekiranya anda menghampirinya.
Tiada sesiapa yang pernah berbual dengannya. Dia tidak mempunyai saudara mara walaupun pihak berkuasa cuba menjejaki saudara maranya bagi pihaknya.
Pengemis ini yang berusia 30-an ini tinggal di dalam semak di Jalan Kampung Nyabor, berhadapan dengan bangunan Sarawak House dan tidur bersebelahan dengan parit tidak kira panas atau hujan.
Pokok dan payung hitam akan menjadi teduhannya, terutama ketika hujan. Bersebelahan dengannya adalah bekalan makanan dalam kotak dan sampah sarap yang kebanyakannya adalah botol minuman kosong.
Tidak ada sesiapa yang tahu asalnya dan dari mana dia datang sejak kemunculannya kira-kira setahun yang lalu dan dipercayai tidak siuman.
Saban hari pengemis ini akan duduk di tepi jalan sambil merenung jauh. Kadang kala dia hanya berbaring di tepi jalan sambil berteduh di bawah payung hitamnya atau mandi di parit yang berdekatan.
Kes pengemis ini mendapat perhatian sesetengah ahli perniagaan yang menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Irene Chang untuk memberikan bantuan.
Chang meminta bantuan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pergi bersama beliau dan melihat keadaan pengemis ini.
Apabila mereka cuba menemui pengemis ini, dia tidak menghiraukan mereka. Apabila ditanya di mana saudara maranya, pengemis ini langsung tidak menjawab.
Chang percaya pengemis ini faham perbualan mereka tetapi memilih untuk tidak menjawab.
Walaupun polis dan pegawai JKM cuba menyuruhnya meninggalkan tempat tersebut tetapi dia langsung tidak peduli dan cuma memandang mereka dengan pandangan kosong sahaja.
Menurut penduduk di sana, pegawai JKM biasanya akan datang memberi makanan tetapi tiada sebarang perbualan berlaku di antara mereka, sekali gus gagal memperolehi sebarang maklumat.
Menurut Chang, mereka langsung tidak dapat berbuat apa-apa pada masa sekarang kerana Hospital Sibu tidak dapat menerima pengemis ini.
Pernah sekali dia dibawa ke hospital oleh polis dan tinggal di sana selama tiga hari sebelum keluar dan kembali ke tempat yang sama.
Chang telah membuat laporan rasmi ke JKM dan berharap pihak berkuasa dapat memberi pengemis ini tempat tinggal.
Chang juga meminta bantuan dari Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) untuk memberi tempat tinggal kepada gelandangan berikutan masalah sosial ini semakin banyak di Sibu.
Chang berkata, pihak polis cuma dapat membawa mereka ini ke hospital dan tiada sistem penilaian yang dibuat sama ada mereka siuman atau tidak.
Pihak hospital tidak dapat menerima mereka untuk jangka masa panjang. Biasanya mereka ini akan keluar dari hospital selepas beberapa hari dan kembali ke tepi jalan kerana tiada maklumat mengenai saudara-mara mereka.
Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Chang berkata, gelandangan ini dihantar ke tempat rehat milik kerajaan dan diberi bekalan makanan.
Selepas tiga bulan, mereka ini kembali semula ke tepi jalan.
Chang berkata, Menteri KWKPK, Datuk Fatimah Abdullah telah mengumumkan bahawa sebuah tempat untuk gelandangan akan dibina di Sibu pada akhir tahun ini.
Chang berharap projek ini akan berjaya dilaksanakan supaya gelandangan ini tidak perlu berkeliaran di tepi jalan dan dapat diberi penjagaan yang baik.
Oleh Connie Chieng