Oleh: Mohidin Haji Malek
DALAM pengkaryaan, ruang berupa faktor penentu sama ada apa-apa mesej yang ingin diutarakan dapat disampaikan sepenuhnya ataupun sebaliknya kepada khalayak pembaca. Dalam situasi keterhadan ruang, kebijaksanaan penulis untuk memampatkan karya adalah dituntut. Hal yang sedemikian pula menagih kebijaksanaan penulis untuk memilih dan mengguna pakai perkataan yang sesuai, persis dan gramatis, di samping menampilkan elemen keindahan dalam karya berkenaan.
Dalam penulisan sajak khususnya, situasi sedemikianlah yang harus didepani penulis, hal yang membezakannya daripada penulisan cerita pendek atau cerpen, novelet atau novel. Dalam kaedah penulisan cerpen misalnya, penulis menceritakan apa-apa juga kisah, sama ada yang dialami atau dilihat dalam kerangka yang teratur atau tersusun dengan penerapan teknik-teknik atau pendekatan tertentu, dan dengan menggunakan ayat yang lengkap dan gramatis. Hal yang sedemikian memberikan kebebasan kepada penulis menceritakan dengan lebih rinci akan apa-apa yang ingin disampaikan. Namun, “kebebasan” yang sedemikian tidak dihadirkan dalam penulisan sajak yang berangkap bentuknya. Hal yang sedikit sebanyak “membataskan” penulis untuk “bermain” dalam arena yang lebih luas.
Bagi penulis mapan atau yang telah lama bergelumang dalam dunia kepengarangan genre ini, hal yang sedemikian telah dikuasai. Malah, timbul satu bentuk cabaran untuk menghadirkan karya yang lengkap penceritaannya dalam keterbatasan ruang ini. Namun, bagi penulis baharu, perkara ini bukan mudah. Yang perlu disedari atau difahami adalah, menulis atau menghasilkan sesebuah sajak, bukan semata-mata untuk kepuasan diri sendiri semata-mata. Akan tetapi karya yang dihasilkan adalah untuk tatapan khalayak pembaca. Kurang muluk atau manis seandainya apa-apa yang dihidangkan kepada khalayak tidak mampu dinikmati dari segi pemahaman yang total. Ia tidak ubah seperti kita menyajikan juadah kepada tetamu yang bertandang atau menziarahi kita. Pastinya sebagai tuan rumah, penyajian juadah semestinya yang enak dan menyelerakan. Demikian jugalah halnya dengan penulisan sesebuah karya.
Sasterawan Negeri Sarawak, Datu Dr. Hj. Adi Badiozaman Tuah, mengungkapkan, “Peranan penulis bukan hanya untuk memuji dan mencatat keindahan dan kecantikan yang terlihat oleh mata kasar, tetapi lebih bermakna lagi adalah untuk menginsafi dan menghargai idea, pemikiran dan gagasan yang tersembunyi dan hanya terpandang oleh mata hati yang telah memungkinkan keindahan dan kecantikan itu dizahirkan secara fizikal.” Kata-kata ini cukup menggambarkan bahawa peranan seseorang pengkarya bukan sekadar mencoret apa-apa juga yang sama ada hadir dalam minda, atau terlihat oleh mata kasar dalam bentuk karya. Hal yang juga perlu diambil kira adalah kesan yang wujud dalam sanubari khalayak pembaca yang menyantuni dan menghayati karya berkenaan.
Dalam konteks ini, penyelaman terhadap apa-apa keindahan yang dipaparkan pengkarya lewat pandangan mata hatinya, mampu membangkitkan kesedaran serta keinsafan dalam hati pembaca, di samping menghargai buah fikiran serta gagasan yang dilontarkan lewat karya berkenaan. Tugasan ini amat berat dan bagi pendatang baharu dalam dunia pengkaryaan, masa pematangan mungkin mengambil tempoh yang agak lama, di samping menuntut penggalian imu pengetahuan yang lebih banyak lewat pembacaan serta penaakulan karya-karya penulis tersohor.
Sajak yang bermutu ialah sajak yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh sebab itu, seseorang yang hendak menulis sajak mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini.
Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.
Struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi dan politik. Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, empati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah dan sebagainya. Nada pula merujuk sikap penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej pula berupa perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.
Hal yang diperkatakan ini antara beberapa perkara yang setidak-tidaknya perlu diambil ingatan dan wajib diketahui oleh setiap pengkarya, khususnya pendatang baharu yang ingin berkecimpung dalam penulisan sajak. Sehubungan dengan itu, laras perbincangan dihalatujukan kepada tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini minggu lalu. Sajak-sajak berkenaan ialah “Tenang di Posisi Sendiri”, hasil karya Niniefadzillea Iswandi, “Telaga Kita, Jernihkah Airnya?”, nukilan Johari A. Julaihi dan “Fajar”, tulisan Nur Alina Semulih. Tiga buah sajak yang membicarakan persoalan yang berbeza.
Sajak “Tenang di Posisi Sendiri” Niniefadzillea Iswand berupa luahan hati tentang dirinya yang agak payah untuk berinteraksi sama ada sesama insan sebaya, mahupun dengan masyarakat umum. Keluhan hati Niniefadzillea dilontarkan agar khalayak yang membaca sajaknya, setidak-tidaknya memahami situasi yang beliau alami. Sajak ini berbentuk prosaik mudah, namun mesejnya amat berat. Sajak yang sebegini, andai dinukilkan dengan mengambil kira keseimbangan bentuk dalaman dan luaran seperti yang dinyatakan, pasti mampu hadir sebagai sebuah sajak yang mengesankan.
Dari segi pemilihan diksi, Naniefadzillea perlu berhati-hati dalam konteks kesesuaiann dan kegramatisannya. Sebagai contoh, kata “koneksi” pada baris ketiga, rangkap pertama yang dinukilkan seperti berikut: /ada kata-kata sebagai tanda koneksi/
dan “bergeming” pada baris pertama, rangkap kedua yang dinukilkan seperti berikut: /walau acuh dan bungkam takbergeming/i. Kata “koneksi” tidak terdapat dalam kamus Dewan Bahasa. Mungkin dalam bahasa Indonesia, istilah ini diguna pakai untuk mendukung maksud hubungan, akan tetapi dalam konteks negara kita, istilah berkenaan tidak terakam dalam kamus. Bagi kata “bergeming” yang membawa maksud ‘tidak bergerak’, wujud unsur kelewahan apabila kata “tak” diguna pakai pada awal kata berkenaan. Oleh itu, pada masa akan datang, muluk untuk menjadikan Kamus Dewan sebagai rujukan bagi memastikan maksud sesuatu perkataan yang ingin diguna pakai.
Sajak “Telaga Kita, Jernihkah Airnya?” tulisan Johari A. Julaihi mengutarakan sindiran tentang sikap masyarakat ‘kita’ yang suka ambil tahu tentang (menjaga) tepi kain orang lain dan lupa (tidak terjaga) akan tepi kain diri sendiri. Dalam konteks ini, Johari memilih telaga dan airnya sebagai imejan pada rangkap penutup sajaknya seperti berikut: telaga yang jernih/ kala dicedok, keruhkah airnya? Jika diteliti dengan mendalam, sajak ini mempunyai mesej yang baik. Bagi khalayak yang membaca, akan terasa sekiranya perangai yang sedemikian menyentuh diri mereka. Ibarat kata pepatah, siapa makan cili, akan terasa pedasnya.
Pun demikian, dari segi pengolahan, tidak terdapat keseimbangan dalam konteks pemilihan imejan. Pada awalnya, Johari memilih dapur/periuk/arang/belanga. Namun pada rangkap penutup, berlaku peralihan drastik daripada imej yang ditampilkan awalnya kepada imejan telaga. Ketidakseimbangan ini disebut sebagai imej yang bercampur dan kesannya adalah merencatkan keindahan sesebuah sajak.
Selain itu, Johari harus lebih berhemah dalam pemilihan diksi. Sebagai contoh, “menanak tingkahlaku”. Difahami bahawa hal yang sedemikian itu pernyataan tentang ‘kealpaan’ kita dalam pembentukan peribadi yang murni sehinggakan, seperti yang dinyatakan pengkarya, “arang membungkus periuk”. Kita lihat kembali sajak yang beliau nukilkan seperti yang berikut;
Telaga Kita, Jernihkah Airnya?
/i/
masing-masing,
kita menanak tingkahlaku
di dapur; memarak
sehingga ada warna arang membungkus periuk.
namun mengapa,
di dapur orang lain,
kita mengecohkan legamnya belanga mereka?
lupakah,
arang di periuk kita itu,
juga berwarna hitam?
/ii/
telaga yang jernih,
kala dicedok, keruhkah airnya?
Sajak ketiga, “Fajar”, ilham cipta Nur Alina bercerita tentang suasana dini hari, saat matahari mula menyingsing. Sajak ini mudah dan hanya berupa rakaman penyajak tentang keindahan ketika subuh dan suasana sekitar masih agak samar-samar.
Apabila memilih sesuatu imejan untuk dijadikan sebagai fokus karya, pengkarya perlu membuat kajian tentang imejan berkenaan dan memahami sama ada sifat, bentuk, ciri dan seumpamanya agar tidak lari daripada realiti atau keadaan sebenarnya. Dalam konteks sajak ini, Nur Alina wajar merujuk kamus untuk mengetahui dan memahami maksud fajar yang sebenarnya. Rangkap pertama terkesan kekeliruan apabila Nur Alina menukilkan sedemikian;
Fajar
kilaumu penuh warna
sinarmu menyuluh jalan
hadirmu berjuta harapan.
Persoalan yang timbul adalah, benarkah fajar penuh dengan kilauan warna yang menyuluh jalan? Dirujuk Kamus Dewan, fajar bermaksud dinihari atau subuh; cahaya kemerah-merahan di langit timur menjelang matahari terbit. Olahan sebegini menunjukkan ketidakpekaan pengkarya tentang keadaan atau situasi sebenar sesuatu kejadian. Tidak banyak yang mampu diperkatakan tentang sajak ini melainkan peluahan kekaguman pengkarya akan kejadian alam pada dinihari atau subuh. Kita imbas kembali sajak berkenaan seperti yang berikut:
Fajar
Fajar
kilaumu penuh warna
sinarmu menyuluh jalan
hadirmu berjuta harapan.
Fajar
jangan engkau melangkah pergi lagi
kerana langit inginkan dirimu disini
nenemani dan ceriakan hari
mewarnai bunga-bunga di taman ini.
Fajar
indahnya dirimu
ditemani hembusan angin pagi
diiringi siulan burung yang berkicau riang.
Fajar
andai kau pergi nanti
ingatlah daku yang senantiasa merinduimu
daku ingin dikau di sisiku selamanya.
Kepada ketiga-tiga orang penyajak, tahniah dan syabas diucapkan. Teruskan usaha dalam penghasilan karya. Usah berputus asa. Jadikan teguran sebagai panduan untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu. Perbanyakkan kegiatan membaca bahan-bahan bimbingan serta karya-karya penyajak yang tersohor. Timba sebanyak ilmu yang mampu dan akhir sekali, jadikan kamus sebagai teman sepanjang masa berkarya. Semoga anda bertiga maju jaya.
Salam bahasa, salam sastera dan salam budaya. Bahasa nadi bangsa.