

MENCARI jati diri dalam kehidupan seharian kita sebagai insan adalah satu proses menyelami makna kewujudan diri, memahami peranan diri dan menjiwai hidup ini dengan nilai yang benar-benar mencerminkan siapa kita. Kita bukan sekadar mengikut arus masyarakat, tekanan luaran atau persekitaran.
Dalam erti kata lain, jati diri sebagai identiti dalaman yang dibina pada asas fitrah seorang insan di mana sifat asal manusia yang suci, cintakan kebaikan dan kebenaran.
Ia juga dilihat pada perspektif nilai dan prinsip hidup seperti kejujuran, kasih sayang, tanggungjawab, sabar dan beberapa perkara lain yang menjadi amanah dipikul oleh seorang insan.
Pada perspektif kesedaran spiritual, jati diri turut mengajar kita agar tahu dari mana kita datang, mengapa kita hidup dan ke mana kita kembali.
Bagi tujuan ini, beberapa perspektif hidup yang perlu kita nilai supaya kita lebih bijak mengharungi perjalanan hidup ini mengikut acuan yang sesuai sebagai insan yang sempurna.
Mencuba Pelbagai Usaha Dengan Tidak Putus Asa
Mencuba pelbagai usaha dengan tidak putus asa adalah satu prinsip hidup yang sangat penting. Ia bukan sahaja dalam konteks kerjaya dan kehidupan seharian, tetapi juga dalam pembangunan spiritual dan misi hidup kita. Ia juga adalah sebahagian daripada jati diri insan yang beriman dan bertanggungjawab.
Seorang yang mempunyai jati diri yang utuh akan terus mencuba pelbagai jalan kebaikan atau penyelesaian dengan sabar, yakin dan istiqamah, walaupun menghadapi kegagalan, kelewatan atau cabaran yang berat.
Kegagalan baginya bukan tanda kelemahan, tetapi sebagai tanda bahawa kita perlu berani mencuba. Baginya putus asa itulah sebenar-benarnya kekalahan.
Orang berjati diri melihat walaupun usahanya mungkin kecil, tetapi nilai di sisi Allah boleh menjadi sangat besar. Oleh kerana itu, mereka terus melangkah dan mencari apa yang terbaik dengan sentiasa menimba ilmu.
Cara Mana Terbaik Dengan Sentiasa Menimba Ilmu
Persoalannya, cara mana terbaik untuk sentiasa menimba ilmu? Pertanyaan seperti ini penting kerana ia menyentuh asas kejayaan kita di dunia dan di akhirat. Ilmu penting bagi kita bukan sekadar akademik, tetapi mencakupi ilmu agama, kehidupan, akhlak, kemahiran dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Islam sangat menekankan tuntutan mencari ilmu. Sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu)-beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujadalah: Ayat 11)
Dalam maksud lain, menuntut ilmu bukan suatu yang bermusim, akan tetapi ia satu perjalanan sepanjang hayat. Ilmu yang benar akan membawa kita kepada iman, amal dan akhlak.
Orang berjati diri juga melihat ilmu bukan hanya sebagai maklumat tetapi akan terus merisik dan menyelidiki sedalam yang mampu bagi mendapat sebanyak input yang berfaedah baginya.
Risikan Sedalam Mampu Untuk Mendapatkan Sebanyak Input
Risikan sedalam mampu untuk mendapatkan sebanyak input merupakan satu pendekatan bijak dan strategik dalam membuat keputusan yang tepat, membina pelan tindakan berkesan dan memahami realiti sebenar sebelum bertindak. Inilah pendirian orang yang berjati diri. Dalam Islam, ini sejajar dengan prinsip “tabayyun” (penelitian) dan ‘tahqeeq’ (pengesahan fakta).
Risikan dalam hal ini bukan bermaksud perisikan rahsia secara negatif, tetapi sebagai proses mengumpul maklumat yang tepat, meluas dan relevan sebelum seorang yang berjati diri membuat keputusan atau merancang sesuatu tindakan.
Orang yang merancang tanpa maklumat umpama berjalan dalam gelap. Dia mungkin melangkah, tidak tahu hendak ke mana.
Risiklah sebanyak mungkin, sejujur mungkin, sedalam yang termampu supaya dapat menghasilkan tindakan yang lebih barakah dan tepat.
Atas dasar jati diri yang mantap, kita tidak akan kecewa disebaliknya bersedia menghadapi apa sahaja cabaran dalam mengharungi hidup ini.
Jangan Kecewa Disebaliknya Bersedia Menghadapi Cabaran
Kenyataan jangan kecewa disebaliknya bersedia menghadapi cabaran adalah satu prinsip hidup yang sangat kuat, terutama bagi insan yang ingin berjaya di dunia dan akhirat.
Inilah prinsip pegangan seorang yang berjati diri. Ia mengajar kita agar tidak berhenti apabila gagal, tidak rebah apabila diuji dan tidak tenggelam dalam kekecewaan. Kita akan terus bangkit dengan cukup persediaan berlandaskan iman dan penuh hikmah.
Walaupun kecewa itu adalah fitrah hidup, bila harapan tidak tercapai, usaha tidak dihargai dan impian tergendala. Tetapi Islam tidak membiarkan kita hanyut. Ia mengangkat kita keluar dari kecewa kepada redha dan usaha. Sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali-Imran: Ayat 139)
Kecewa bukan pengakhiran, ia hanya persimpangan. Persimpangan antara menyerah kalah atau bersiap sedia dengan lebih kuat.
Orang berjati diri akan memilih untuk bangkit dan memilih untuk lebih bersedia serta meniupkan semangat pejuang dalam diri dengan fokus untuk mencapai kejayaan.
Tiupkan Semangat Pejuang Dengan Memberi Fokus Mencapai Kejayaan
Tiupkan semangat pejuang dengan memberi fokus mencapai kejayaan membawa mesej menghidupkan jiwa yang lelah, menguatkan tekad yang longgar dan menyatukan hati untuk berjuang secara berfokus.
Ini bertujuan agar setiap langkah kita menuju kejayaan itu bukan sekadar usaha, tetapi perjuangan yang penuh bermakna. Inilah pegangan orang yang berjati diri.
Ia juga bermaksud membangkitkan semula roh jihad dalam diri. Ia bukan semata-mata melawan musuh zahir, tetapi melawan nafsu, putus asa, kemalasan dan rasa tidak berguna. Semangat orang berjati diri bukan kosong. Ia berakar dari Iman iaitu percaya kepada janji Allah, hidup dengan matlamat yang jelas iaitu tahu apa yang mahu dicapai, disiplin yang berterusan di mana buat walaupun penat, teruskan usaha walaupun lambat dan sokongan kuat dari orang sekeliling di mana beliau tidak berjuang bersendirian.
Boleh diertikan pejuang bukan yang tidak pernah jatuh, tetapi yang terus bangkit setiap kali rebah. Di mana kejayaan tidak hanya datang kepada orang yang paling kuat, tetapi kepada yang paling konsisten yakni mempunyai disiplin sebagai budaya harian serta yakin dengan kemampuan diri.
Disiplin Budaya Harian Dan Yakin Dengan Kemampuan Diri
Disiplin sebagai budaya harian dan yakin dengan kemampuan diri adalah asas membina jati diri Muslim yang unggul, sama ada sebagai individu, pemimpin, pelajar atau pejuang masyarakat.
Gabungan disiplin dan keyakinan melahirkan manusia yang konsisten, tidak mudah goyah dan mampu memberi kesan berpanjangan.
Disiplin turut mencerminkan seseorang yang patuh kepada peraturan diri secara konsisten. Manakala budaya hariannya adalah dengan rutin positif yang dibina sebagai gaya hidup. Dapat diringkaskan disiplin itu membentuk tabiat.
Tabiat itu membentuk identiti. Identiti itu membentuk masa depan. Yakinlah, orang berjati diri seperti ini tidak perlu sempurna untuk memulakan sesuatu tetapi perlu berdisiplin untuk mencapai matlamatnya di samping menjaga ritual agama yang sentiasa diutamakan sebagai amalan hidup harian.
Ritual Agama Diutamakan Sebagai Amalan Hidup Harian
Ritual agama diutamakan sebagai amalan hidup harian adalah seruan untuk meletakkan agama sebagai asas utama kehidupan seorang Muslim yang berjati diri.
Dalam Islam, ibadah ritual bukan sekadar rutin, tetapi juga sebagai terapi jiwa, penguat akhlak dan pemacu kejayaan dunia dan akhirat.
Ritual agama turut dilihat sebagai amalan ibadah yang ditetapkan dalam syariat, dilakukan secara berkala dan konsisten.
Contohnya, apabila ritual agama menjadi budaya hidup harian, kita tidak hanya menjadi manusia berjaya tetapi juga menjadi insan yang diredhai. Kita tidak hanya produktif, tetapi juga bermakna. Kita tidak hanya dihormati manusia, tetapi dekat dengan Allah.
Mengambilkira semua perspektif yang dibincangkan, jati diri yang kita cari bermatlamat untuk menjadi diri sendiri bukan bermaksud mengikut nafsu, akan tetapi menjadi seseorang yang ditakdirkan Allah untuk menjadi insan yang beriman, berakal dan berakhlak mulia.
Wallahu ‘alam Bissawab