

Oleh: Marshella Colina Masrie
MIKHA termenung di jendela biliknya yang sempit, menatap salib kecil yang tergantung di dinding biliknya. Malam semakin larut, dan suasana sunyi di dalam rumah kecil itu semakin terasa. Hatinya gundah, penuh dengan pertanyaan dan kegelisahan.
Sejak kebelakangan ini, Mikha merasakan dirinya semakin jauh dari Tuhan, bagaikan terperangkap dalam terowong gelap yang tak berpenghujung. Angin malam yang dingin menyapa wajahnya yang muram. Hatinya resah, bagaikan dihimpit oleh beban yang tak terlihat. Setiap malam, dia duduk di situ, memandang ke luar jendela, berharap ada sesuatu yang mampu mengubah hidupnya.
Dia teringat saat-saat manis sewaktu kecil, ketika mamanya selalu membawanya ke gereja bersama adik-adiknya untuk sembahyang pada hari minggu. Wajahnya yang ceria dan penuh harapan kini sudah pudar, digantikan dengan keraguan dalam diri. Mikha tahu ada sesuatu yang hilang dalam hidupnya, tetapi dia tidak tahu apa dan bagaimana untuk menemukannya kembali.
Vanesa, sahabat karibnya, selalu ada di sisi. Mereka sudah berkawan sejak kecil, dan Vanesa sering kali menjadi peneman setia dalam suka dan duka. Mikha sangat bersyukur atas keberadaan Vanesa, namun di dalam hatinya, dia tahu ada kekosongan yang tidak dapat diisi oleh sesiapa pun. Mikha masih buntu, terdapat banyak persoalan yang bermain di minda kerana ia merasakan diri seakan-akan berada di terowong yang gelap.
“Pandangan mata aku meliar segenap memikirkan kehidupan banyak persoalan yang bermain di fikiran. Manusia mempunyai pelbagai corak dan warna tersendiri. Aku kini berada di puncak yang amat tinggi sehingga aku tidak dapat lagi melihat keberadaan cahaya. Aku seakan-akan berada di sebuah perigi yang mendalam diliputi dengan kegelapan tanpa melihat sebuah cahaya yang menerangi dalam perigi tersebut. Aku terperangkap dalam perigi bersama kegelapan dengan hidupku yang kosong seolah-olah tiada makna lagi aku perlu hidup di dunia ini. Padahal baru sebentar tadi aku berada di taman yang penuh warna-warni dan suka duka. Aku tidak sangka, setelah bermain tanpa sedar di taman yang indah itu, terdapat sebuah terowong yang akan menarik perhatian aku untuk masuk ke dalam. Namun begitu, sekejap sahaja aku berada di zon yang selesa sampai membuat diriku tersesat di terowong itu”, bisik hati Mikha.
“Eh! Jauh termenung Mikha?” Tanya Vanesa kepada Mikha.
Mikha menoleh dan menggelang-geleng kepala. “Entah.”
“Vanesa, kenapa aku rasa hidupku ini seolah-olah berada di terowong yang dalam? Di dalam terowong hanya dengan kegelapan.”
“Ujian Tuhan,” balas Vanesa yang faham maksud tersirat itu.
Akhirnya pertanyaan itu masih tergantung di langit. Kemudian, hilang entah ke mana seakan-akan sampai bila-bila pun tidak menemukan jawapan ataupun mungkin sahaja akan menemukan jawapan tetapi belum pada waktunya.
Petang menjelang tiba, Mikha memutuskan untuk bertemu Vanesa di taman berhampiran rumah mereka. Seperti biasa, Vanesa menyambutnya dengan senyuman hangat. Mereka duduk di bangku taman, dikelilingi oleh kehijauan dan kicauan burung yang merdu.
“Ada apa, Mikha? Kau nampak murung hari ini,” tanya Vanesa dengan lembut.
Mikha mengeluh dan menggelengkan kepalanya. “Aku rasa seperti hilang arah, Vanesa. Sejak kebelakangan ini, aku merasa semakin jauh dari Tuhan. Aku terperangkap dalam kegelapan, dan aku tidak tahu bagaimana untuk keluar.”
Vanesa memandang sahabatnya dengan penuh simpati. “Mikha, setiap orang pasti melalui saat-saat seperti ini. Namun, Tuhan sentiasa ada untuk kita, walau di mana pun kita berada. Mungkin kau perlu mencari ketenangan dalam doa dan mendekatkan diri kepada-Nya. Apa kata, minggu depan kita pergi ke gereja?”
Mikha terdiam, merenung kata-kata Vanesa. Malam itu, selepas kembali ke rumah, dia memutuskan untuk meluangkan masa berdoa. Dengan hati yang terbuka, Mikha memohon petunjuk dan kekuatan dari Tuhan. Air mata mengalir di pipinya, membawa bersama segala keresahan dan keputusasaan yang selama ini menghantui. Namun begitu, sekian lama terperangkap di berada di terowong itu, segala kebisingan yang terngiang-ngiang di kepala hilang dengan serta-merta. Mikha seolah-olah berada di dunia yang lain.
“Adakah ini dunia sebenar atau dunia khayalan? Atau mungkin dunia tidak wujud? Aku tidak tahu mengapa boleh berada di sini. Terperangkap dalam terowong yang gelap. Adakah ini hanya kegilaanku atau hanya bayangan semata-mata? Aku telah banyak menempuhi segala cabaran dan rintangan sehingga membuat diriku sendiri terperangkap dalam kegelapan. Apakah makna hidup selama ini hanya sia-sia…?
Waktu adalah satu garis masa yang bergerak tanpa ada penghujungnya. Waktu terus melangkah tanpa mengenal penat atau berhenti. Dengan adanya waktu, usia dapat menyedari perubahan, siang menjadi malam, malam menjadi siang. Usia hanya sedar apabila kulit dan daging semakin kecut, mata semakin pudar, rambut kian putih, dan makin lama ingatan serta tenaga makin lemah. Begitu juga dengan warna kehidupan yang semakin pudar, dan kita semakin jauh dari cahaya.
Dalam kehidupan, kita sendiri memilih untuk menjauh atau mendekatkan diri dengan cahaya. Cahaya bagaikan petunjuk jalan kita. Adakah kita akan semakin dekat dengan Tuhan atau menjauh dari-Nya?
Manusia hanya menjunjung dua bab dalam hidup, iaitu hidup dan mati. Mama pernah berbisik kepadaku, dalam dunia ini kita harus sentiasa jujur dan belajar memaafkan orang lain supaya hidup kita penuh dengan keberkatan dari Tuhan. Semakin dewasa, kita juga perlu belajar untuk bergerak sendiri agar tidak terperangkap dalam satu tempat yang tidak pernah kita bayangkan untuk dimasuki.
Namun, aku sudah terlambat… Aku telah terpesong. Aku telah terjebak dalam terowong kegelapan. Aku masih tercari-cari cahaya yang pernah hadir dalam hidupku…
Atau mungkin…
Mungkin aku sebenarnya tidak pernah benar-benar menemui cahaya itu?” bisik hati Mikha pada dirinya.
“Hai Mikha… Mikha! Mikha!”
Suara yang Mikha sangat kenal dan seseorang yang Mikha rapat dan satu-satunya yang dia percaya.
“Ha? Ya, Mikha, saya? Kenapa?” tanya Mikha kepada Vanesa.
“Termenung tidak sudah!” marah Vanesa. “Kau tunggu aku teriak panggil nama kau dulu baru kau berhenti termenung Mikha?”
Mikha hanya tersenyum meleret. Berganjak dari bawah pokok nipah sambil melihat pemandangan tasik yang berwarna biru.
Vanesa mencekak pinggang sambil menggeleng kepala melihat tingkah laku Mikha yang baru sahaja dia lihat tadi. Vanesa kelihatan bingung dengan apa yang berlaku sekarang kerana dulu Mikha seorang yang ceria.
Mikha berpeluk tubuhnya yang dingin. Matahari hanya mengirimkan sedikit kehangatan dalam diri bersama angin sepoi-sepoi.
Mikha menarik nafas dalam-dalam lalu melepaskannya perlahan. Suara hatinya kembali bermonolog. “Aku dan kegelapan berpisah tiada kerana masih terperangkap dalam sebuah terowong yang dalam. Jauh dalam sudut hati ini, amat rindu dengan diriku sendiri bersama cahaya yang menjadi arah untuk aku melangkah sendirian tanpa takut akan pelbagai cabaran yang akan dihadapi. Kedamaian dalam hati telah hilang kerana telah dipenuhi dengan kegelisahan dan kekosongan yang aku rasakan dalam memulakan perjalanan yang mendalam untuk mencari cahaya yang akan meyakinkan diri ini untuk kebenaran yang sejati.”
Perjalanan Mikha yang dikelilingi oleh alam indah, di bawah langit yang penuh bintang. Lalu sambil memandu, Mikha mencari tempat untuk dia duduk sendirian dan sambil memandang langit yang gelap mencari jawapan atas pertanyaan-pertanyaan yang sentiasa menghantuinya.
“Hidupku masih terjerat dalam terowong kegelapan. Aku terjerat kerana suatu ketika dahulu, aku tidak akan menyangka aku telah terperangkap di sini yang sering menjauhkan diri kepada-Nya. Aku sering dibelai oleh dunia yang penuh palsu sehingga membuatkan diriku ini menjadi seorang yang bukan aku impikan waktu kecil dahulu. Aku sungguh kecewa dengan diri sendiri. Apa sudah jadi? Kita yang sering menjauhkan diri daripada Tuhan, mula-mula hidup akan menjadi baik-baik sahaja, namun lama- kelamaan waktu akan memakan diri kita sendiri sehingga kita sudah hilang sebuah cahaya itu, ” kata Mikha terhadap dirinya sendiri.
Selepas meluangkan masa sendiri, Mikha pun balik ke rumah. “Hello mama, Mikha dah balik ni,” kata Mikha kepada mamanya.
“Ya Mikha, bagus tepat jam 10 malam kau balik ya?” tegas mama Mikha kepada Mikha sambil menatap tepat ke arah kedua mata anaknya.
“Nak, ada lauk mama tinggalkan untuk Mikha makan. Mikha makan la dulu sebelum tidur dan jangan lupa sebelum tidur mandi ya.”
“Okay mama”, jawab Mikha dengan nada suara yang lembut.
“Terima kasih mama, Mikha mandi dulu ya lepastu nak mandi,” kata Mikha kepada Mama.
“Ya, jangan lupa sebelum tidur sembahyang dulu Mikha supaya hidup kita penuh dengan berkat.” Kata mama kepada Mikha.
Mikha terdiam mendengar ucapan yang terbit daripada mulut mamanya itu, lalu segera dia melihat dirinya di cermin yang masih tercegat berdiri.
“Setiap kali mama menyebut tentang Tuhan dan doa, aku merasa bersalah kerana aku sepertinya tidak layak untuk mendekati diri dengan Tuhan. Sekarang aku berada dalam terowong kegelapan yang menghantui diriku. Aku sering berusaha untuk mencari lagi cahaya dalam hidup ini. Hidupku kosong tanpa adanya cahaya. Terkadang aku menjadi lemau dengan semua ini,” kata Mikha kepada dirinya.
“Selamat pagi Mikha, awal pula kau datang ke pejabat pagi-pagi ya?” tanya Vanesa kepada aku.
Mikha mengangguk dan senyum sambil membalas selamat pagi kepada kawan baiknya, Vanesa.
Kedengaran bunyi tapak kasut dari jauh lagi, sudah menandakan bos sudah datang. Semua orang dalam pejabat tiba-tiba senyap sehingga ketegangan dalam pejabat juga dapat dirasai. Pandangan mereka semua tajam sambil membuat isyarat menandakan untuk bersiap sedia dengan apa yang akan berlaku kepada nasib masing-masing nanti.
Tiba-tiba kedengaran siren kebakaran berbunyi di pejabat, semua orang panik, menjerit dan cuba untuk melarikan diri tanpa berfikir panjang terlebih dahulu.
“Senyapppp!” semua orang dalam pejabat terkejut, diam, dan senyap setelah mendengar teriakan tegas daripada bos. Serta-merta suasana dalam pejabat kembali lebih tegang lagi selepas mendengar teriakan daripada bos dan siren kebakaran pun tidak berbunyi lagi.
“Hahahaha! Semua dah kena! Kamu semua panik ke?” kata bos kepada mereka semua dalam pejabat. Semua pekerja masih terpinga-pinga dan bingung dengar apa yang terjadi semua ini. Semua memandang antara satu sama lain.
Bos pun menggelengkan kepala sambil meneruskan ketawanya kerana melihat tingkah laku pekerjanya yang masih tercegat berdiri tanpa bergerak sedikit pun kecuali bermain mata.
“Alah aku gurau je tadi. Sengaja aku suruh pengawal untuk bunyikan siren kebakaran. Nak tengok reaksi kamu semua macam mana kan. Dah-dah semua janganlah tegang sangat, asyik serius je kalau jumpa aku, aku tahu la aku ni garang tapi kalau bab kerja memang serius. Tapi kalau luar kerja aku boleh bawa gurau juga. Ini aku hari-hari serius di pejabat kan bosan jadinya. Jadi tak salahkan pun aku kenakan korang semua sekali-sekala. Hahahahaha!” kata boss kepada pekerjanya semua sambil ketawa.
Keesokan harinya…
Dari jauh terdengar bunyi kereta Vanesa menuju hampir ke rumah Mikha. Tepat pada jam 7 pagi Vanesa datang ke rumah untuk mengambil Mikha untuk pergi ke gereja bersama-sama.
Hari demi hari berlalu, dan Mikha perlahan-lahan mula merasakan perubahan dalam dirinya. Dia semakin kerap menghadiri gereja dan meluangkan masa untuk merenung dan berdoa. Hubungannya dengan Vanesa juga semakin erat, kerana Vanesa sentiasa memberi sokongan dan dorongan yang diperlukan.
Suatu hari, Vanesa dan Mikha keluar untuk menghadiri sebuah sesi perkongsian rohani di gereja. Di sana, mereka mendengar seorang penceramah yang menceritakan tentang pengalamannya mencari cahaya dalam hidupnya yang penuh dengan kegelapan. Kata-kata penceramah itu sangat menyentuh hati Mikha.
“Kita sering kali merasa terperangkap dalam kegelapan, tetapi cahaya Tuhan sentiasa ada. Kita hanya perlu membuka hati dan mencari-Nya dengan penuh ketulusan. Tuhan tidak pernah meninggalkan kita, malah Dia sentiasa menunggu kita untuk kembali kepada-Nya,” ujar penceramah itu.
Setelah banyak perkongsian, doa serta pelayanan dari gereja untuk memuliakan Tuhan, penceramah itu membuka sesi soalan dan untuk siapa-siapa sahaja yang ingin berkongsi pendapat. Tanpa membuang masa, Mikha segera mengangkat tangan.
“Saya hanya ingin mencari ketenangan dan cahaya, adakah saya diberi peluang?” tanya Mikha dengan suara yang hampir tersekat.
Penceramah itu mengangguk memahami. Lalu menjawab, “Kadang-kadang, dalam kegelapan, kita lupa bahawa ada cahaya yang menunggu kita. Kita hanya perlu mencarinya dengan hati yang tulus.”
Kata-kata penceramah itu menusuk kalbu Mikha. Dia terdiam, memahami maksud kata-kata tersebut. “Tapi, bagaimana saya boleh menemukan cahaya itu? Saya rasa sudah terlalu jauh tersesat.”
Penceramah itu membalas, “setiap insan pasti pernah tersesat, nak. Namun, Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Kembali kepada-Nya adalah langkah pertama untuk menemukan cahaya yang hilang. Kadang-kadang, dalam kegelapan yang paling pekat, kita lupa bahawa cahaya Tuhan sentiasa ada. Kita hanya perlu membuka hati dan mencari-Nya dengan penuh ketulusan. Tuhan tidak pernah meninggalkan kita, malah Dia sentiasa menunggu kita untuk kembali kepada-Nya,” ujar penceramah itu.
Selepas selesai pelayanan Tuhan di gereja, Vanesa dan Mikha pun segera pulang.
“Mikha, aku sebagai kawan baik, kau kena fikir dan fahami apa penceramah cakap tadi. Aku percaya, kau boleh mendapat cahaya itu balik. Percayalah.” Kata Vanesa kepada Mikha dengan tatapan mata sayunya.
Malam itu, di bilik Mikha menghabiskan waktunya sendirian. Dalam fikirannya, Mikha memikirkan banyak persoalan tentang makna hidup. Semakin lama, Mikha merasakan hatinya mulai tenang, beban yang selama ini menghimpitnya perlahan-lahan terangkat. Dia menyedari bahawa selama ini dia telah mencari di tempat yang salah.
Kata-kata itu menguatkan tekad Mikha untuk terus mencari cahaya dalam hidupnya. Kata-kata itu menguatkan tekad Mikha untuk terus mencari cahaya dalam hidupnya. Dia sedar bahawa perjalanan ini tidak mudah, tetapi dengan iman dan sokongan daripada orang tersayang seperti Vanesa dan mama, dia yakin mampu mengharungi segala cabaran.