
MIRI: Sebuah menara telekomunikasi di Jalan Ilmu, Senadin, di sini, musnah kira-kira 60 peratus selepas terbakar dalam kejadian malam tadi.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas sebelum merebak ke bahagian menara berkenaan sekitar 10.39 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.


MUSNAH…Sebuah menara telekomunikasi di Jalan Ilmu, Senadin, di Miri terbakar dalam kejadian malam tadi. Foto BBP Lutong.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran bukan melibatkan tiang elektrik seperti laporan awal, tetapi menara telekomunikasi milik Sacofa terbakar kira-kira 60 peratus.
“Tindakan pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu nozel menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.