







KUALA LUMPUR: Satu kebakaran berlaku di Menara 3 Petronas di sini pagi ini, dipercayai melibatkan sebuah restoran di tepi tingkat atas bangunan berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Hassan ‘As’ari Omar mengesahkan kejadian dan berkata setakat ini tiada mangsa dilaporkan.
Beliau berkata jentera serta anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi dan operasi pemadaman sedang dijalankan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.41 pagi.
“Kebakaran melibatkan 30 peratus kawasan sebuah restoran mewah di tingkat 57 bangunan berkenaan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 7.04 pagi dan dipadamkan pada 8.45 pagi. Tiada mangsa terlibat dan kerja penyiasatan sedang dijalankan,” katanya.
Mohd Hafizan berkata operasi dijalankan pasukan BBP Tun Razak dan Hang Tuah melibatkan 35 pegawai dan anggota.
Beliau berkata mereka ke lokasi kebakaran dengan lif bomba manakala operasi pemadaman menggunakan sistem penaik basah.
“Cabaran operasi ialah kebakaran di tempat tinggi (dengan) kita menggunakan sistem keselamatan di bangunan itu.
“Kita terpaksa tutup kawasan ketika operasi untuk mengelakkan bahaya namun telah dibuka sekarang dan diserahkan untuk penyiasatan,” katanya.
Sementara itu, KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) dalam kenyataan mengesahkan kebakaran berlaku pada 6.43 pagi tadi.
“Pasukan Tindak Balas Kecemasan KLCC segera memaklumkan kejadian kepada bomba. Tiada kecederaan dilaporkan,” menurut kenyataan itu.
KLCCP memaklumkan pihak berkuasa akan melakukan siasatan lanjut kejadian itu. – Bernama