
KUALA LUMPUR: Data dikongsikan oleh Majlis AIDS Malaysia pada April lalu mendedahkan satu realiti membimbangkan, iaitu 44 peratus daripada mereka yang dijangkiti HIV di negara ini ialah golongan belia berusia 20 hingga 29 tahun.
Malah, menurut laporan yang memetik Setiausaha Kehormat majlis Dr Zaiton Yahya itu, kebanyakan jangkitan baharu melibatkan lepasan sekolah dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Justeru, pendedahan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dua hari lepas, iaitu sebanyak 222 pelajar IPT dijangkiti HIV sepanjang tahun lalu seharusnya membuka mata pihak-pihak berkenaan.
Angka itu sebahagian daripada 1,091 kes jangkitan dalam kalangan pelajar IPT yang direkodkan sepanjang 2021 hingga 2024.
Statistik membimbangkan ini menimbulkan persoalan mengapa golongan muda yang berpendidikan menjadi mangsa teramai HIV/AIDS? Adakah langkah yang dilaksanakan sekarang, iaitu tinggalan ketika jangkitan HIV di negara ini didominasi oleh perkongsian jarum suntikan dadah, masih relevan?
PENDEKATAN TIDAK LAGI SESUAI
Menyoroti permasalahan itu, pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan & Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan penuntut IPT disebabkan oleh pendekatan yang diambil sekarang tidak lagi relevan dengan generasi muda semasa.
Memetik dapatan kajian yang dilakukan beliau, Mohammad Mujaheed berkata ramai siswa tidak tahu kewujudan program berkaitan HIV di universiti mereka, menunjukkan mesej pencegahan HIV tidak sampai dengan berkesan kepada kumpulan sasaran.
“Sebahagian besar mahasiswa dan mahasiswi menyatakan mereka tidak pernah menerima maklumat secara langsung daripada pihak universiti dan hanya mengetahui tentang HIV melalui media sosial atau daripada cerita yang disampaikan oleh rakan serta kenalan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata berdasarkan kajian itu, pelajar lebih tertarik pada kandungan interaktif seperti video pendek, media sosial atau aktiviti berbentuk pengalaman langsung.
Kajian bertajuk ‘Peningkatan Kes HIV di IPT: Mengkaji Faktor Tingkah Laku Berisiko, Keberkesanan Program Pencegahan dan Strategi untuk Kesihatan dan Kesejahteraan Generasi Muda’ itu melibatkan 500 responden terdiri daripada penuntut IPT sekitar Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya pada Januari lalu.
Mengulas lanjut, Mohammad Mujaheed berkata ketika ini pendekatan program kesedaran yang dijalankan masih bersifat konvensional seperti ceramah umum, edaran risalah dan pameran yang kurang menarik perhatian pelajar.
“Kegagalan menyesuaikan pendekatan dengan gaya komunikasi generasi muda menyebabkan program-program ini kurang mendapat sambutan. Selain itu, kebanyakan program cenderung menarik penyertaan mereka yang kurang berisiko terhadap jangkitan HIV, yang tidak aktif secara seksual atau yang tidak terdedah kepada tingkah laku berisiko,” katanya.
Jelas pakar itu, kaedah sedemikian menjauhkan golongan sasaran, iaitu pelajar yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi seperti aktif secara seksual dan menggunakan aplikasi temu janji atau terbabit dalam hubungan sejenis, kerana mereka berasa takut atau malu untuk terlibat dalam program yang dijalankan.
“Mereka bimbang akan dinilai atau dikenali oleh rakan dan pensyarah lalu memilih menjauhkan diri daripada sebarang program berkaitan HIV. Akibatnya, kumpulan yang paling memerlukan maklumat dan sokongan tidak terlibat dalam program disediakan,” katanya.
GAYA HIDUP, TRANSMISI SENGAJA
Menyentuh punca jangkitan, Mohammad Mujaheed merumuskan gaya hidup bebas, tekanan sosial selain melazimkan seks pranikah termasuk hubungan seksual sesama lelaki tanpa menggunakan alat perlindungan antara penyumbang utama.
Menerusi kajian yang dijalankan, terdapat responden mengakui mereka mula terlibat dalam hubungan seksual selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia kerana didorong rasa ingin tahu tanpa bimbingan formal berkaitan kesihatan seksual, katanya.
Menurut beliau, aplikasi sosial seperti Grindr, Hornet dan Tinder digunakan oleh penuntut bagi mencari pasangan yang akhirnya membawa kepada hubungan seksual kasual tanpa perlindungan mencukupi.
“Ada yang terlibat dalam seks oral atau seks anal ketika masih muda dan hanya mengetahui risiko jangkitan HIV selepas didiagnosis. Mereka juga lebih terdedah kepada pornografi dan maklumat seksual yang tidak ditapis terutamanya melalui media sosial,” katanya.
Namun, di sebalik semua itu, Mohammad Mujaheed berkata lebih mengejutkan ada penuntut yang mengakui mereka sengaja menyebarkan HIV kepada individu lain sebagai bentuk balas dendam atau “revenge transmission”.
Menurut beliau, dalam kes sedemikian, pelajar terbabit secara sedar tidak memaklumkan status mereka kepada pasangan selain terus terlibat dalam hubungan rambang tanpa menggunakan perlindungan.
“Dia mengaku berniat menyebarkan jangkitan secara sengaja atas alasan tidak mahu menanggung kesan jangkitan berseorangan. Perasaan marah, kecewa dan dikhianati menyelubungi diri dan dia berasakan orang lain juga ‘patut merasai’ perkara yang sama,” katanya sambil menegaskan isu itu memerlukan perhatian serius pihak berwajib.
Mengulas lanjut, beliau berkata dapatan kajian juga mendapati rata-rata jangkitan berpunca daripada seks rambang, dengan ramai pelajar IPT terlibat dalam hubungan seksual dengan pasangan tidak tetap tanpa menggunakan kondom.
“Faktor seperti kepercayaan terhadap pasangan, kurang maklumat atau pengaruh emosi dan rakan sebaya menyebabkan mereka mengabaikan langkah perlindungan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata hubungan sejenis dalam kalangan penuntut lelaki (MSM) juga merupakan antara bentuk tingkah laku berisiko yang dikenal pasti.
UBAH PENDEKATAN
Mengeyorkan agar usaha pencegahan ditambah baik dengan memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih bersasar, mesra belia serta bebas daripada stigma agar dapat menyentuh kelompok yang paling terdedah kepada risiko jangkitan, Muhammad Mujaheed berkata pihak berwajib harus menolak mesej pencegahan bersifat umum, berbentuk moralistik dan tidak bersasar.
“Ketika ini ada keperluan mendesak pada pendekatan yang lebih berani dan berasaskan realiti bagi menangani penularan HIV dalam kalangan pelajar IPT, sepertimana kejayaan pendekatan pengurangan kemudaratan yang dilaksanakan di peringkat awal dalam menangani penularan HIV dalam kalangan penagih dadah suntikan.
“Dulu, penularan HIV melalui perkongsian jarum suntikan merupakan penyumbang utama kes baharu di Malaysia, namun setelah pelaksanaan program-program intervensi seperti pengagihan jarum suntikan bersih, pendidikan kesihatan bersasar kepada penagih dan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kesihatan dalam strategi ‘harm reduction’, statistik jangkitan HIV melalui suntikan menunjukkan penurunan yang ketara,” katanya.
Beliau berkata meskipun pendekatan berkenaan pada awalnya dianggap sensitif dan menimbulkan perdebatan etika, keberkesanannya dalam menurunkan kadar jangkitan membuktikan bahawa intervensi yang bersifat realistik dan tidak menghukum lebih efektif dalam konteks pencegahan.
Justeru, katanya, pendekatan sama wajar dipertimbangkan dalam menangani peningkatan jangkitan HIV melalui hubungan seksual dalam kalangan penuntut IPT.
Syor beliau, antara pendekatan yang boleh dilakukan ialah pendidikan seksual menyeluruh dan bersifat tidak menghukum, penyediaan akses kepada kondom dan kaunseling serta ujian saringan HIV sukarela di kampus yang dijalankan secara rahsia dan tanpa stigma.
“Sebagaimana pengagihan jarum suntikan berjaya menurunkan jangkitan melalui suntikan, pengedaran kondom dan pendidikan seks yang inklusif berpotensi menurunkan jangkitan HIV akibat hubungan seksual tidak selamat.
“Strategi berani seperti ini tidak harus dilihat sebagai galakan kepada perilaku berisiko sebaliknya langkah pragmatik berasaskan data dan pengalaman lapangan untuk menyelamatkan nyawa dan membina budaya kesihatan seksual yang bertanggungjawab dalam kalangan belia,” katanya.
Beliau berkata pengalaman kejayaan menurunkan jangkitan HIV melalui jarum suntikan dalam komuniti pengguna dadah seharusnya dijadikan model kepada pembaharuan dalam pendekatan pencegahan HIV di universiti.
CABARAN
Mengambil kira bukan mudah untuk seseorang anak muda menelan hakikat dia perlu hidup “bertemankan HIV” di sepanjang hayatnya, pakar kaunseling Dr Syed Mohamad Syed Abdullah berkata antara halangan utama dalam melaksanakan program intervensi di kampus ialah stigma dan diskriminasi.
“Selagi mereka tidak dapat memahami perkara sebenar, tidak mempunyai maklumat tepat tentang HIV serta AIDS, selagi itulah stigma dan diskriminasi ini akan berlaku. Selain itu, kekurangan dana serta sokongan institusi serta pentadbiran di IPT turut menyumbang.
“Sensitiviti budaya dan agama juga membataskan perbincangan secara terbuka berkaitan seks, kondom, HIV, AIDS, dan tidak ramai sebenarnya yang berminat untuk membicarakan perkara ini secara terbuka,” kata pensyarah kanan (Bimbingan & Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia itu kepada Bernama.
Menurut beliau, sikap tidak cakna kesihatan seksual dengan ada yang menganggap perkara itu tidak akan berlaku ke atas mereka tambah menyukarkan usaha kesedaran.
Beliau turut melihat agenda pendidikan seksual di IPT sebagai tidak memadai kerana tidak ada satu subjek khusus tentang aspek itu diwujudkan dalam kurikulum pendidikan tinggi.
“Kebanyakan pelajar hanya didedahkan kepada pendidikan seksual dalam bentuk seminar, bengkel , aktiviti kemasyarakatan dan secara yang tidak langsung,” kata beliau.
Justeru dari kaca mata seorang kaunselor, beliau berpandangan pendekatan bimbingan dan kaunseling boleh membantu pihak IPT menangani isu HIV dalam kalangan pelajar.
“Pihak klinik kesihatan di universiti boleh menyediakan nasihat berkaitan HIV secara sukarela dan secara sulit serta perkhidmatan kaunseling yang khusus berkaitan virus ini dengan kerjasama NGO yang memainkan peranan dalam pencegahan AIDS dan HIV di Malaysia,” katanya.
“Tekankan aspek kerahsiaan agar lebih ramai tampil membuat ujian. Daripada data yang diperoleh, kita bentuk pelan tindakan untuk mengawal penularan dan jangkitan HIV dalam kalangan penuntut IPT,” katanya lagi, menambah penggunaan kaedah pembimbing rakan sebaya juga diyakini dapat membantu dalam membendung masalah tersebut.—Bernama