ISU kekurangan telur di peringkat nasional perlu membuka mata kepada pihak kerajaan untuk memastikan industri makanan negara tidak terjejas. Isu ini sebenarnya merupakan isu mencecah permukaan kerana hanya lebih banyak dibahas di media-media nasional dan media sosial.
Namun, lebih 80 peratus isu sebenarnya masih berada di balik awan, tersembunyi dan gagal ditelusuri secara menyeluruh. Media dan pembaca awam hanya berfokus kepada peristiwa dilaporkan, namun sangat terbatas berfokus kepada konteks dan interpretasi. Begitu juga isu padi dan beras yang mendapat perhatian hanya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetengahkan isu ini. Perdana Menteri menyatakan terdapat isu pengimportan beras yang diboloti oleh pimpinan politik yang menghisap darah pesawah yang miskin.
Lebih besar daripada itu ialah isu padi yang dijual lebih murah kemudian apabila berada di pasaran jelas lebih menguntungkan peraih dan bukannya petani. Namun, permasalahan golongan tani perlu dihayati sebelum merumuskan dasar dan apa-apa pelaksanaan yang bukan sahaja tidak dapat nembaiki malah boleh memburukkan lagi keadaan.
Belenggu telur dan rangkaian niaga
Sebenarnya industri ternakan ayam dan hiliran mempunyai industri yang sangat lumayan daripada segi pendapatan. Cuma ia kurang dipromosikan sebagai industri berpotensi dalam kalangan rakyat mahupun golongan anak muda. Indusri ini bernilai ribuan juta dan pasarannya sangat luas di negara ini.
Malah, tidak cukup untuk menampung keperluan tempatan sehingga berlaku kekurangan bekalan ayam dan telur di pasaran. Galakan kepada rakyat di negeri Sarawak perlu dilakukan dengan lebih meluas. Apabila usaha untuk meyakinkan penglibatan secara aktif di rangkaian daerah, bahagian pula kurangnya pencerahan mengenai industri ini. Ini menyebabkan industri ternakan dikuasai pemodal besar yang akhirnya menjadi penentu harga pasaran.
Apabila rangkaian rantaian industri ternakan ayam semakin berkembang akhirnya kelompok ini menguasai pengeluaran aspek dedak, telur, anak ayam, ayam putih dan produk hiliran. Memang kerajaan mahu menggalakkan industri ini berkembang dan sedia memberikan subsidi kepada pemain industri ini. Namun, alangkah baiknya jika di setiap peringkat bahagian atau Dewan Undangan Negeri (DUN), golongan penduduk di luar bandar terlibat dalam industri ini dan membentuk pertubuhan koperasi masing-masing bagi menampung keperluan semasa.
Ini menjadikan industri itu menjadi lebih merakyat dan dapat memberikan pendapatan kepada masyarakat di luar bandar. Selama ini, industri ternakan ayam ini dikuasai golongan pemodal besar dan dijalankan secara besar-besaran. Malah, Malaysia juga adalah pengeksport telur kelima terbesar dunia selepas Belanda, Turki, Poland dan Amerika Syarikat. Eksport telur Malaysia sebanyak RM554.19 juta, iaitu lebih setengah juta billion. Malah terdapat pemain indusri ayam menguasai 30 peratus pasaran ayam negara dan keuntungan setiap tahun melebihi RM4 bilion.
Meskipun di negara kita berlakunya ketidakcukupan bekalan telur namun, telur telah dieksport secara berterusan ke Singapura, Hong Kong, Brunei, Timor-Leste dan Thailand. Pada masa sama, yang anehnya, Malaysia juga mengimport telur dari China, Thailand, Belanda, Singapura dan Australia. Bagi kes pengimportan dari Thailand, ini berlaku disebabkan selatan sempadan Malaysia-Thailand yang membolehkan penduduk negeri seperti Perlis, Kedah dan Kelantan mendapat harga lebih rendah untuk membeli telur dari Thailand.
Namun, statistik pengimportan telur dari Singapura menjadi tanda tanya, sama ada telur diimport ke Malaysia itu, hasil penolakan telur kurang kualiti yang diperoleh negara tersebut untuk dijual dengan harga murah kepada Malaysia atau terdapat faktor lain.
Ini juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan agar Malaysia mendapat manfaat daripada import dan bukannya mendapat kualiti yang rendah daripada telur yang dieksport ke Singapura dan diimport secara terpilih.
Pada masa sama, juga perlu memastikan tidak ada penglibatan kartel yang menyebabkan kenaikan atau kekurangan harga telur. Masalah seperti kos meningkat dari segi dedak, penyakit dan sebagainya perlu juga ditangani.
Belenggu warga pesawah
Mana-mana pihak yang peka isu masalah harga padi dan beras perlu ada fakta sosiologikal terhadap kehidupan dunia tani negara agar mereka lebih memahami kehidupan warga tani berdasarkan perspektif warga tani.
Bagi warga tani yang ditemui ketika kerja lapangan di beberapa tempat, sebenarnya permasalahan yang melanda mereka bukanlah mengenai beras semata-mata. Bagi orang kampung atau pesawah padi, isu membelenggu ialah kemiskinan masyarakat tani.
Ada yang mengerjakan sawah padi tetapi hasilnya amat sedikit berbanding dengan penat lelahnya kerana banyak belanja dan potongan harga, cuma mengharapkan anak-anak yang berkerja untuk hidup yang serba kekurangan. Kehidupan masyarakat tani dibebani dengan harga tinggi kos untuk membeli baja, harga racun, benih padi, kos mengetam, kos pembajakan dan terdapat juga isu tali air yang sukar hendak mendapat air, perlu dipam air sungai.
Apabila menjual padi harga pula dipotong sehingga 20 peratus. Jika diambil kajian kes yang dibentangkan oleh ahli keluarga informan mengenai penanaman padi akan dapat dilihat kehidupan mereka sebenar. Kos penanaman padi yang ditanggung petani ialah RM 5,239.50 sehektar. Harga padi minimum yang dijamin (GMP) kerajaan yang diwartakan pada 2014 ialah RM1,200 satu tan metrik.
Purata hasil padi ialah tujuh tan metrik sehektar. Oleh itu, hasil jualan padi oleh petani ialah RM1,200 didarab tujuh tan metrik bersamaan hasilnya sebanyak RM8,400 sehektar. Justeru, pendapatan bersih petani RM3,160.50 sehektar semusim. Sekiranya padi ditanam dua kali setahun, maka pendapatan petani RM6,321 sehektar setahun.
Pendapatan petani hanya RM526.75 sebulan sehektar. Jika petani mempunyai dua hektar sawah sahaja, pendapatannya hanya RM1,053.50 sebulan. Majoriti pesawah hanya memiliki tanah padi tidak lebih satu ekar. Jelas di beberapa tempat, petani sawah padi jelas adalah golongan yang perlu diberikan perhatian mengenai permasalahan yang berlaku.
Harga padi pula ialah RM1.20 sekilogram, manakala harga beras RM2.60 sekilogram iaitu dua kali ganda harga padi. Untung Bernas pula dianggap sangat lumayan dengan menjual beras pada harga ini. Semua harga ini telah diwartakan. Perkara ini juga perlu disemak kembali agar lebih menguntung petani daripada peraih yang tidak ke sawah. Oleh tiu, memang dialu-alukan Perdana Menteri berusaha memastikan kehidupan warga tani perlu dipertingkatkan menjadi lebih baik lagi.
Sudah tiba masanya teknik penanaman padi di Sekinchan, Selangor dari segi penggunaan teknologi dan mekanisme sawah yang luas diperluaskan, yang mampu mengeluarkan 12 tan metrik sehektar yang menggabungkan infra terbaik, mempunyai pengetahuan tinggi, sikap dalam pelaksanaannya mampu membuat pengeluaran besar dan keuntungan lebih kepada pengusaha.
Kesemua ini menunjukkan perlunya melihat kembali potensi luar bandar atau desa yang perlu menjadi teras kepada sumber makanan negara. Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah perlu bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Kementerian Hal Ehwal Pengguna agar sama-sama dapat meningkatkan kesejahteraan hidup golongan petani.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)