KEJAYAAN skuad Itali mencipta kejayaan kedua selepas menanti selama 53 tahun untuk kembali mendakap kejuaraan Kejohanan Bola sepak Eropah minggu lalu, teryata di luar dugaan dan ramalan peminat bola sepak di seluruh dunia baru-baru ini.
Apa tidaknya, ketika aksi final berlangsung Itali terpaksa berhadapan dengan seramai 65,000 peminat tuan rumah, England yang sememangnya telah lama ternanti-nanti kejayaan pasukan mereka di Wembley meraih kejuaraan.
Malah, penyokong Three Lions juga adalah terkenal dengan sikap fanatik mereka terutamanya yang melibatkan isu perkauman pada mana-mana kejohanan yang melibatkan Benua Eropah.
Elemen keduanya ialah anak-anak buah Roberto Mancini tidak berasa goyah dan gentar walaupun England berjaya 1-0 mendahului seawal minit kedua perlawanan menerusi jaringan Luke Shaw.
Namun kesudahannya, segala cabaran itu tidak sedikit pun mematahkan semangat anak-anak buah Roberto Mancini apabila akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dengan perlawanan berbaki 23 minit babak kedua menerusi Leonardo Bonucci.
Dengan keputusan seri 1-1 aksi telah diheret ke masa tambahan dan ditentukan menerusi sepakan penalti sekali gus menjulang Itali sebagai juara selepas tiga sepakan pemain England gagal menggegarkan jaring.
Kali terakhir Itali muncul juara ialah pada 1968 manakala England tidak pernah mendakap piala berprestij di Benua Eropah itu sepanjang Kejohanan Euro diadakan sejak 1960.
“Kami melakukannya dengan baik. Kami melepsakan gol sejurus selepas sepak mula dan bergelut namun kemudian menguasai permainan.
“Pemain namapk amat hebat, saya tidak tahu apa lagi yang harus dikatakan. Ini penting bagi semua orang dan semua peminat. Saya harap mereka meraikannya (di Itali),” kata Mancini ketika mengulas kejayaan itu.
Para penyokong Itali memenuhi jalan-jalan dari Milan ke Palermo bagi merayakan kemenangan pasukan mereka, mengetepikan pemikiran tentang wabak Covis-19 yang telah mencengkam negara.
Anak didik Gareth bermula dengan pantas dan berada di depan pada minit kedua ketika pemain pertahanan Luke Shaw dengan tenang menyudahkan umpan silang daripada Kieran Trippier.
Itali bertambah yakin ketika perlawanan berlangsung dan menyamakan kedudukan dengan perlawanan berbaki 23 minit apabila Leonardo Bonucci menolak bola masuk ke gawang dari jarak dekat.
Masa sebenar perlawanan berakhir tanpa tambahan gol walaupun banyak pertukaran permain dan pasukan masih terikat 1-1 selepas masa tambahan.
Penjaga gawang England, Jordan Pickford, menyelamatkan sepakan penalti Andrea Belotti dan Jorginho tetapi sepakan Marcus Rashford terkena tiang dan Gianluigi Donnarumma menghampakan Jadon Sancho dan Bukayo Saka, mencetuskan perayaan pemain dan segelintir kecil peminat Itali.
Sementara itu, Southgate mendesak England untuk menggunakan keperitan kekalahan final Euro 2020 menentang Itali bagi menyemarakkan kejayaan pada masa depan ketika bos Three Lions itu menerima kekalahan penentuan sepakan penalti memilukan.
England gagal memenangi gelaran utama pertama sejak Piala Dunia 1966 setelah Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan penalti.
“Itu adalah tanggungjawab saya. Saya memilih pemain untuk mengambil sepakan. Saya memberitahu pemain bahawa tidak ada yang bersendirian dalam situasi itu.
“Ini keputusan saya untuk Saka mengambil sepakan. Itu sepenuhnya tanggungjawab saya. Bukan dia atau Marcus atau Jadon.
“Marcus dan Jadon merupakan yang terbaik dalam melakukan sepakan penalti. Ini adalah pertaruhan (untuk memasukkan mereka), tetapi jika kami memperjudikannya lebih awal, kami mungkin akan kehilangan permainan dalam masa tambahan,” kata Southgate.
England sebenarnya telah memenangi dua penentuan sepakan penalti terakhir iaitu ketika menentang Colombia pada Piala Dunia 2018 dan menentang Switzerland dalam Liga Negara Eropah 2019.
Bagaimanapun, kejayaan itu tidak cukup untuk membuat pemain Southgate untuk hilang kegentaran mereka ketika pertaruhan berada pada tahap tertinggi.
Jordan Pickford melakukan tugasnya dengan menyelamatkan dua sepakan penalti dan Southgate menegaskan dia tidak menyesal mengenai pilihannya siapa yang mengambil sepakan penalti.
“Kami telah mengesan mereka, apa yang telah mereka lakukan dengan kelab mereka dalam jangka masa yang panjang dan apa yang telah mereka tunjukkan dalam latihan juga.
“Itulah proses yang berjaya bagi kami di Rusia dan Liga Negara Eropah dan yang pasti ia tidak berjaya,” katanya.
Southgate mengakui kekurangan ketenangan pasukannya mengawal bola terbukti membawa padah kerana membiarkan Itali menemui semula ketenangan setelah gol pembukaan Shaw.
“Kami bermula dengan baik. Mereka pasti mempunyai tempoh di mana mereka kembali dalam permainan.
“Kami tidak bukup baik mengawal bola di peringkat awal pada babak kedua. Kekurangan ketenangan kami mengubah permainan. Cara mereka menggunakan bola lebih baik berbanding kami,” ujar Southgate.
Kekalahan England juga menyaksikan pemimpin politik dan ketua bola sepak di Britain meluahkan rasa jijik kepada para peminat dan penyokong yang melakukan penderaan perkauman dengan menyasarkan bintang Three Lions termasuk tiga pemain kulit hitam atas kegagalan menyempurnakan sepakan penalti.
Namun laman web Twitter, Instagram dan Facebook menghapuskan akaun yang menyalahgunakan platform itu dan berjanji untuk menyiasat penyalahgunaan di platform berkenaan.
Justeru, Southgate mengecam tindakan itu secara secara online dan tidak dapat dimaafkan.
“Sebahagian daripadanya berasal dari luar negara, kami dimaklumkan perkara ini tapi ada sebahagiannya dari negara ini,” katanya.
“Kami menjadi cahaya untuk membawa semua orang bersama dan pasukan kebangsaan mewakili semua orang.”
Pemain England, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka menjadi mangsa perkauman di Instagram dan Twitter dengan ramai menyalahkan mereka.
Walaupun sebahagian daripada mengakui sebagai penyokong England menggunakan cercaan untuk menyalahkan trio itu sebagai punca kekalahan dengan serangan mesej tertulis tanda pagar “forza italia”
Perdana Menteri Boris Johnson turut berkata pasukan England ‘melakukan sejarah’ dan ‘membawa kegembiraan ke negara ini.’
“Kepada mereka yang menggunakan isu perkauman kepada beberapa pemain, ia sungguh memalukan dan anda merangkak di bawah batu di mana anda muncul,” katanya.
Dengan situasi yang berlaku itu, maka adalah mudah untuk menyimpulkan bahawa dunia bola sepak bukanlah ‘nikmat selamanya’ buat pemain-pemainnya yang memiliki habuan yang tinggi kerana jika menang, anda akan dijulang tetapi andai tewas…bersedialah untuk ditendang.