SIMANGGANG: Kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak yang telah memenangi Anugerah Penguatkuasa Terbaik peringkat kementerian selama dua tahun berturut-turut adalah pencapaian yang amat membanggakan.
Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDN Sarawak, Muhd Fahmi Hasrar berkata pencapaian ini sewajarnya diraikan kerana pegawai penguatkuasa terutamanya di Sarawak sangat profesional, komited dan setia dalam menjalankan fungsi-fungsi kementerian.
Selain itu, katanya, pegawai penguatkuasa terbabit mampu menangani isu-isu kenaikan harga, membendung kegiatan manipulasi harga, membanteras ketirisan barangan kawalan bersubsidi serta menstabilkan bekalan barang-barang perlu.
“Besarlah harapan saya agar semua lapisan masyarakat dapat menjadi pengguna yang celik dan cakna serta sentiasa mendapatkan maklumat yang benar dan sahih.
“Semua informasi boleh didapati di Pejabat KPDN Sarawak yang sudah pasti lebih berintegriti dengan cara penyampaian yang lebih jelas, tepat dan berkesan kepada masyarakat,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Advokasi Kepenggunaan Bersama Rakan Media KPDN Cawangan Sri Aman Tahun 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhd Fahmi berkata, majlis ini merupakan apresiasi KPDN terhadap sumbangan pihak media berdasarkan kualiti dan impak positif pelaporan-pelaporan berita, editorial, advertorial, rangkuman isu serta gambar-gambar program KPDN yang berjaya menyentuh hati masyarakat terutamanya di Bahagian Sri Aman.
“Dalam konteks KPDN, media bertindak sebagai penghubung yang mendekatkan kementerian dengan masyarakat dalam dan luar bandar menerusi liputan dan kupasan yang diterbitkan berkaitan isu-isu perdagangan dan kos sara hidup yang relevan dan konsisten sepanjang tahun.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong penuh usaha memperkasa dan mendayaupayakan pengguna.
Komuniti dalam masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu mencapai visi dan misi Kementerian untuk mendidik masyarakat supaya cakna kepenggunaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa berterima kasih kepada rakan media kerana telah memberi sokongan padu dan tanpa jemu terutamanya terhadap program-program dan isu-isu berkaitan kepenggunaan serta usaha-usaha KPDN dalam meringankan beban kos sara hidup penduduk di bandar dan luar bandar.
“Sebagai pengguna, kita mempunyai hak mutlak yang perlu dipertahankan. Pengguna perlu memainkan peranan untuk mendapatkan maklumat yang sahih, nilai yang baik, kualiti, dan lain-lain bagi sesuatu barangan atau perkhidmatan supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
“Dengan ada media sosial yang tidak dikawal selia sepenuhnya, adalah penting untuk setiap pengguna memahami lapan hak pengguna demi kepentingan diri,” jelasnya.
Oleh Adi Safarman