Mohidin Haji Malek
SUATU hakikat yang dimaklumi dan difahami ramai adalah bahawa penghasilan atau penukangan mana-mana hasil seni menuntut sensitiviti nurani, kepekaan terhadap elemen keindahan, kreativiti, ketajaman kanta taakul serta daya fikir. Setiap apa-apa juga karya cipta yang dihasilkan menterjemahkan sesuatu makna yang tersirat di sebalik setiap, sama ada garisan, lorekan, warna, diksi, lenggok, gerak mahupun bentuk yang diilhamkan. Keindahan yang tertampil daripada sentuhan sensitiviti naluri yang halus, pada kebiasaannya, akan melahirkan sesuatu yang menjadi tarikan, sama ada pada mata pandang, mahupun mata taakul khalayak atau pencinta seni. Tarikan yang seterusnya mampu membangkitkan keterujaan serta goda pikat untuk sama ada memiliki sesuatu hasil karya seni, mahupun menempatkannya dalam album ingatan sampai bila-bila masa.
Demikianlah halnya dalam konteks penghasilan karya kreatif, sama ada cerpen mahupun puisi. Namun, keindahan yang tertampil dalam sesebuah hasil karya dalam dunia penulisan tidak dapat dilihat melalui mata pandang semata-mata, akan tetapi melalui pembacaan, pencernaan, pemahaman, serta penaakulan. Keindahan yang tertampil dalam apa-apa juga bentuk penulisan, diterapkan lewat kepersisan bahasa yang digunakan, dan dalam konteks ini, kebijaksanaan dari aspek pemilihan kata-kata dan pembentukan frasa atau ayat yang mampu menimbulkan kesan yang tekal dalam nubari pembacanya.
Di samping hal sedemikian itu, unsur penerapan perasaan dalam karya turut menjadi elemen yang tidak kurang pentingnya bagi penitipan ‘roh’ sesebuah karya. Hal ini sememangnya amat sukar dilakukan. Untuk menyentuh jiwa khalayak pembaca sememangnya bukan mudah kerana setiap daripada kita memang berbeza dari segi tindak balas terhadap sesuatu situasi.
Selain daripada hal sedemikian itu, mesej yang hendak disampaikan serta falsafah yang ingin dilontarkan harus jelas dan perlu diberikan perhatian. Tidak dinafikan bahawa terdapat perselisihan pandangan serta pendapat tentang ciri-ciri tertentu yang ‘dituntut’ dalam sesebuah karya. Namun, aspek yang perlu diterima secara umum adalah hakikat bahawa setiap daripada manusia sukakan, atau dalam situasi-situasi tertentu, ‘memuja’ keindahan. Apatah lagi seandainya keindahan tersebut amat bertaut rapat dengan sama ada pengalaman atau prinsip hidup insan berkenaan. Lantaran hal sedemikian itu, untuk menghadirkan keterujaan khalayak agar terdorong menatap dan mengagumi apa-apa juga hasil karya seni, elemen keindahan dituntut untuk dititip dalam bentuk dan sisi yang berbeza, mengikut jenis atau genre karya berkenaan.
‘Keterpikatan’ terhadap sesuatu karya seni, lazimnya akan menimbulkan ‘apresiasi’ terhadap karya seni berkenaan. Apresiasi yang dalam situasi tertentu, membuka ruang untuk ‘membicarakan’ sisi-sisi atau komponen-komponen keindahan yang tersirat dalam karya berkenaan. Pun tidak kurang juga polemik yang menghadirkan ‘debat’ atau ‘pencarian’ yang berterusan tentang apa-apa yang ingin disiratkan oleh pengkaryanya. Hal sedemikianlah yang ‘menghangatkan’ dan ‘memeriahkan’ arena seni berkarya. Iklim sedemikian ini terlakar, bukan sahaja dalam arena pengkaryaan pada peringkat wilayah atau negara, malah pada peringkat antarabangsa sekalipun. Apresiasi yang sedemikianlah yang membibitkan usaha memberi ‘penganugerahan’ sebagai perakuan, pengikitrafan terhadap mutu sesebuah karya, di samping penghargaan kepada pengkaryanya. Dan malah, dalam usaha untuk menampilkan banyak karya yang bermutu, kegiatan seperti sayembara dianjurkan oleh pelbagai pihak. Hal-hal yang diperkatakan di atas berupa antara testimoni bahawa sesebuah hasil karya seni yang tinggi mutunya, mendapat perhatian dan pengiktirafan.
Dalam konteks bidang penulisan kreatif, proses atau tatacara ‘pewasitan’ sesebuah karya berbeza, mengikut genre. Pun turut berbeza mengikut sisi pandang para ‘wasit’ yang menilai karya-karya berkenaan berdasarkan ‘pegangan’ serta ‘keyakinan’ masing-masing terhadap aliran pemikiran lewat pendedahan terhadap teori-teori tertentu. Hal sedemikian itu bukanlah suatu bentuk ‘kesalahan’ atau ‘penyimpangan’. Perbezaan dalam penerapan teori-teori yang diyakini inilah yang meluaskan lagi sisi pandang, di samping merancakkan arena ‘pembicaraan’ terhadap sesuatu karya. Perkara yang secara tidak langsung, ‘mengangkat’ atau ‘mempopularkan’ karya berkenaan.
Andai ditaakuli apa-apa yang diperkatakan di atas, mungkin sedikit sebanyak ‘menghadirkan’ rasa was-was bagi pendatang baharu dalam dunia kepenulisan untuk berkarya. Pun bagi sesetengah pengkarya mapan, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir yang berasa ‘kurang senang’ sekiranya karya mereka dibedah oleh kalangan ‘forensik sastera’. Namun, perlu diingatkan bahawa dalam dunia kepenulisan, apa-apa yang diperkatakan tentang karya yang dihasilkan berupa suatu proses ‘penerokaan’ keupayaan daya fikir diri sendiri untuk berkarya di samping, ‘penemuan’ sisi-sisi tertentu yang perlu, sama ada dibaiki, dimurnikan mahupun dikuasai dengan lebih baik. Pemahaman dan pengetahuan tentang tahap keupayaan diri dalam penghasilan sesebuah karya berupa proses pembentukan seseorang pengkarya menjadi lebih matang, dan tidak mustahil, lebih berwibawa.
Berbicara secara khusus tentang penulisan sajak, salah satu bentuk puisi moden, sudah pastinya kata-kata Samuel Taylor Coleridge, iaitu “Poetry, the best words in the best order.” sering menjadi rujukan sebagai penjelasan terhadap genre ini. Lantaran itu, aspek keindahan menjadi elemen yang harus tertitip dalam sesebuah sajak. Namun, keindahan kata-kata yang disusun atur dengan begitu baik tidak membawa apa-apa nilai terhadap sesebuah sajak seandainya kosong dari segi penitipan mesej, pemikiran, falsafah serta perasaan. Andai dikutip kata-kata Thomas Gray pula, iaitu “Poetry is thoughts that breathe, and words that burn.”, sesebuah sajak boleh dianalogikan sebagai ‘hidup’, apabila diumpamakan sebagai ‘pemikiran yang bernafas dan kata-kata yang membakar’. Dalam konteks ini, apa-apa yang dihasilkan berupa suatu ‘gagasan’ yang tekal dan mampu membakar semangat khalayak pembaca. Lantaran hal yang sedemikian, tanggapan bahawa penghasilan sajak berupa dodoian sonata nostalgik yang teramat ringan timbangannya dalam kehidupan manusia, boleh disanggah.
Bertitik tolak daripada hal-hal sedemikian, penulis mengalih sisi pandang kepada tiga buah sajak yang disiarkan dalam ruangan ini minggu lalu, iaitu “Harapan Buat Betanak” nukilan Intan Zubaidah, “Cerita Sebuah Cita” oleh Wan Mahala Wan Ini dan “Gerbera” karya Min Rahim. Sajak “Harapan Buat Betanak” secara ringkasnya memperkatakan tentang hasrat anak kelahiran kampung yang walaupun tergolong dalam kategori tunanetra, ingin berusaha membimbing generasi seangkatannya menebarkan sayap untuk keluar meneroka dan menggali ilmu agar akhirnya mampu memberikan sumbangan yang bermakna terhadap pembangunan dan kemajuan kampung halaman yang, walaupun tidak dinyatakan secara tidak langsung, masih ‘diselubungi’ kesuraman cahaya pembangunan. Secara umumnya, sajak ini dinukilkan secara ‘tertib’. Mesej yang disampaikan jelas dan pemikiran dan falsafah yang disiratkan amat relevan, jika mampu dihayati. Pun demikian, masih ada ruang untuk melakukan pemurnian dari aspek pemilihan diksi serta pengolahan frasa-frasa yang tuntas, ringkas dan bernas. Hal sedemikian terpapar dalam rangkap kedua sajak ini yang dinukilkan sebegini;
Betanak, ajari mereka
membicarakan ilmu dengan ingin
menggenggam berani agar pasti
melawan celaan menjadi cita-cita
membuktikan bahawa kemampuan itu nyata.
Sekadar cadangan, baris kedua dan ketiga dalam rangkap ini boleh diubah menjadi “bicara ilmu membuak ingin, genggam berani yakin pasti”. Dalam penulisan sajak, pengguguran imbuhan, pada situasi tertentu, mampu memberikan kesan yang lebih ‘kuat’ dengan syarat, tidak ‘tergelincir’ dari segi pemaknaannya. Apa-apapun, usaha Intan Zubaidah menampilkan sebuah sajak yang menitip mesej yang, andai diselami secara mendalam serta mengambil kira aspek kekurangan keupayaan dari segi deria penglihatan, yang mampu mengocak daya pemikiran serta emosi khalayak pembaca.
Sajak “Cerita Sebuah Cita” yang ditampilkan oleh Wan Mahala, dari sisi tertentu, selari dengan sajak Intan Zubaidah dalam konteks pelahiran keinginan ataupun cita-cita. Namun demikian, Wan Mahala lebih umum ‘sasarannya’ sedangkan Intan Zubaidah mengkhusus kepada sebuah daerah atau perkampungan. Wan Mahala melahirkan hasrat yang terpendam dalam nubari untuk menitip kesedaran di jiwa ‘anak watan’ tentang kepentingan pengilmuan diri. Daripada sajak yang dihasilkan, penulis ‘meneka’ bahawa Wan Mahala sama ada secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses pendidikan, atau dengan kata lain, guru atau bakal guru. Hal ini bersandarkan terhadap aspek ‘kesungguhan’ yang dipaparkan oleh Wan Mahala untuk ‘mengilmukan’ anak watan.
Sajak “Cerita Sebuah Cita” ini mudah dan jelas mesej yang ingin disampaikan. Pun demikian, dari segi ‘penukangannya’, terdapat ruang-ruang untuk melakukan penambahbaikan dalam aspek-aspek tertentu seperti pemilihan diksi, pembinaan frasa serta pengolahan jalan cerita. Jika tepat terkaan penulis bahawa profesion Wan Mahala ialah guru, hal sedemikian lebih memudahkan proses pemurnian dan pemantapan puisi yang dihasilkan. Banyak bahan rujukan yang mampu diperoleh untuk dijadikan sebagai panduan dalam penghasilan sesebuah sajak yang bermutu.
Sajak “Gerbera” karya Min Rahim menuntut sedikit sebanyak pengetahuan dalam bidang seni tanaman, khususnya bunga-bungaan. Perkataan “gerbera” itu sendiri, bagi sesetengah khalayak pembaca, menghadirkan kemusykilan dari segi maknanya. Walaupun dibuat rujukan dalam Kamus Dewan, tidak akan ditemukan entri kata berkenaan. “Gerbera” yang tergolong dalam famili atau keluarga asteraceae, atau turut dikenali sebagai african daisy. Lewat sajak ini Min menjadikan “gerbera” sebagai perlambangan sebuah persahabatan. Penuh keindahan seperti halnya penampilan “gerbera” yang berwarna-warni. Namun demikian, seperti halnya dengan segala sesuatu yang ‘dihadirkan’ di muka bumi ini, tidak semuanya mampu bertahan ataupun kekal, dan dalam konteks sajak ini, perpisahan hadir atas tuntutan mengejar cita-cita atau impian.
Secara umum, sajak ini baik namun, seperti halnya dengan sajak-sajak yang dibicarakan sebelumnya, masih ada ruang untuk melakukan pemurnian dan penambahbaikan dari segi komponen yang serupa. Min, lewat sajak ini, turut menggunakan perkataan yang jarang-jarang digunakan lagi dalam konteks perhubungan seharian, misalnya patih, mukhlis, nirmala, butala, kirana, sangkala, dan semantung. Hal sedemikian tidak menyalahi mana-mana hukum dan malah satu usaha yang baik untuk melestarikan penggunaan bahasa yang ‘diistilahkan’ sesetengah orang sebagai ‘klasik’, dengan ingatan agar ditampilkan secara terkawal dan menepati maknanya.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga buah karya yang dinukilkan, pada asasnya memenuhi syarat penghasilan sesebuah sajak. Namun demikian, seperti yang dinyatakan, masih ada ruang untuk melakukan penambahbaikan bagi memantapkan lagi sajak-sajak berkenaan. Pemahaman tentang ‘roh’ sajak dan tujuan menghasilkan sajak wajar dititipkan dalam nubari, agar apa-apa juga karya yang terhasil mampu menitip unsur ‘kesedaran’ dan ‘pemahaman’ pada pihak khalayak pembaca. Memang tidak mudah untuk menukilkan sesebuah sajak berdasarkan pengalaman, pemerhatian serta penaakulan terhadap perkembangan yang berlaku di persekitaran kita. Hal sedemikian dijelaskan oleh Vncent Van Gogh, bahawa, “Poetry surrounds us everywhere, but putting it on paper, alas, not so easy as looking it”. Sajak bersifat falsafat atau philosophical dan merentas ranah yang amat luas, ibarat tamsilan Aristotle, “Poetry is finer and more philosophical than history; for poetry expresses the universal, and history only the paricular”. Lantaran itu bentuk yang dianalogikan beliau sebagai ‘kejamakan’ sifat sajak itulah yang menghadirkan cabaran yang perlu disantuni dengan penuh berhati-hati. Namun demikian, bagi pendatang baharu dalam genre ini, usah dibebankan diri anda dengan pelbagai teori yang dikemukakan. Berkaryalah.
Kepada ketiga-tiga pengkarya, iaitu Intan Zubaidah, Wan Mahala dan Min Rahim, tahniah dan syabas atas penghasilan sajak yang tersiar minggu lalu. Fahamilah tujuan berkarya. Salam sastera dan semoga anda semua berjaya lahir sebagai pengkarya yang prolifik dan berwibawa pada masa hadapan.