
KUCHING: Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) sekali lagi mencipta sejarah dalam pembangunan industri binaan tempatan apabila berjaya menganjurkan program “Memperkasakan Kolaborasi: Libat Urus Strategik Bersama Perunding 2025” di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Program ini membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi JKR Sarawak terhadap kemajuan infrastruktur dan sosioekonomi Sarawak.
Majlis ini menghimpunkan para perunding tempatan daripada pelbagai disiplin, termasuk arkitek, jurutera awam dan struktur, jurutera mekanikal dan elektrikal, juruukur bahan, juruukur tanah serta juruaudit keselamatan jalan raya.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Dr. Cassidy Morris.
Libat urus strategik ini bertujuan memperkukuh dan mewujudkan kolaborasi sinergi antara kerajaan dan perunding melalui penekanan terhadap cabaran industri semasa, penerapan teknologi baharu, galakan pembangunan profesional berterusan serta mempererat hubungan antara pihak berkepentingan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian projek di seluruh Sarawak.
Beberapa isu penting yang dibincangkan secara menyeluruh dalam sesi ini termasuk Dasar dan Prosedur Kerajaan Semasa, Semakan Skala Fi oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Insurans Indemniti Profesional (PII) dan PII untuk Projek Khusus, Penggunaan Teknologi Baharu seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) untuk Memperkasa Perkhidmatan Perundingan dan Peningkatan Kompetensi Berterusan bagi Perunding.
Sesi dialog menggalakkan perkongsian pandangan secara terbuka serta cadangan penyelesaian untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan perundingan, sejajar dengan komitmen kerajaan dalam usaha membina kapasiti ekosistem profesional tempatan dan memastikan persekitaran binaan mencerminkan nilai-nilai kualiti, kemampanan dan inovasi.
Majlis penutupan telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir. Aidel Lariwoo serta Setiausaha Tetap Datu Chiew Chee Yau.
Turut hadir wakil daripada Jawatankuasa Skala Fi Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) yang dijemput khas untuk turut serta dalam program ini.
Oleh Norman B.