KETIKA sesi pembentangan, perbahasan dan penggulungan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti sewajarnya semua parti sedar akan beberapa kelemahan RUU tersebut. Hal ini kerana sebagai penggubal undang-undang di Parlimen, kesemua aspek perlu dilihat secara menyeluruh.
Namun sudah pasti, ada yang melihat kelemahan dan risiko dimanipulasikan boleh menguntungkan oleh ahli politik dan parti. Kebetulan kerajaan yang berkuasa ialah Perikatan Nasional (PN) ketika itu.
Sebagai kerajaan yang berkuasa, mereka sudah pasti melihat daripada kaca mata sebagai pemerintah. Namun mereka terlupa, tidak semestinya kerajaan yang akan datang masih lagi merupakan kerajaan yang diperintah mereka.
Sudah tentu kelebihan daripada kelemahan yang ada tidak akan memberikan manfaat kepada mereka selepas pemerintahan mereka.
Permintaan Pembangkang
Ketika PN memerintah, Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang negara. Mereka diwakili oleh Saifuddin Nasution, Gobind Deo dan Hanipa Maidin. Pendirian PH ketika itu sudah lama menyatakan apa-apa tindakan Ahli Parlimen yang bertindak bertentangan keputusan whip parti (mereka) di dalam dewan (dalam perkara seperti undian bajet, usul undi tidak percaya dan apa-apa RUU yang memberi kesan kepada kedudukan kerajaan) adalah dikira hilang kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan.
Begitu juga, keperluan mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti kerana melanggar disiplin dan perlembagaan parti, perlu diiktiraf sebagai dikira hilang kerusi secara automatik.
Namun begitu, PN yang ketika itu diwakili oleh Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin Hassan menolak cadangan tersebut. Selaku pengerusi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengusulkan hanya cadangan yang mendapat konsensus semua parti yang akan dimasukkan. Hal ini kerana jika tidak, maka sukar untuk mendapat kelulusan di Dewan Rakyat.
Ketika itu, Jawatankuasa Pemilihan sudah membincangkan secara menyeluruh memakan masa berbulan. Sekiranya PN tidak menyokong pula, maka RUU tersebut tidak akan dapat disokong atau diluluskan.
Difahamkan terdapat empat ahli kabinet PN senada tidak mahu memasukkan aspek langgar disiplin dan keputusan parti.
Akibatnya, undang-undang anti lompat parti, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), hanya memperakukan bahawa sekiranya terdapat Ahli Parlimen yang bertindak masuk ke parti lain selain mengumumkan diri sebagai Bebas akan hilang kelayakan kerusi disandang.
Berdasarkan undang-undang tersebut, tindakan empat Ahli Parlimen PN daripada Bersatu, iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) baru-baru ini menyatakan pendirian menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menyebabkan kehilangan kerusi parlimen mereka.
Prinsip Asas Akta Lompat Parti
Asas lompat parti diluluskan sebelum ini adalah, apabila Ahli Parlimen keluar parti, tidak lagi menjadi ahli parti diwakili, maka akan hilanglah kerusi parlimennya. Akan tetapi, Ahli Parlimen masih sah sebagai Ahli Parlimen ahli dan tidak hilang kerusi jika dibuang oleh parti.
Begitu juga jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau keluar parti untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat juga dianggap tidak hilang kerusi parlimen yang disandang. Cuma Ahli Parlimen yang menang atas tiket Bebas akan hilang kerusi jika sertai mana-mana parti atau menjadi anggota gabungan.
Pindaan Perlu Dibuat
Bagi memastikan keberkesanan akta lompat parti, maka parti politik perlu meminda perlembagaan mereka untuk mengekang lompat parti. Misalnya perlu dibuat peraturan parti bahawa apa-apa bantahan atau ingkar terhadap arahan parti dan arahan whip akan kehilangan keahlian parti secara automatik.
Ketegasan terhadap melawan arahan parti perlu tidak dibenarkan bertanding dalam tempoh 10 tahun dan tidak dibenarkan memegang jawatan parti atau bertanding selama 10 tahun. Langkah sebegini mampu menujukkan ketegasan parti dan ini mampu mendisiplinkan ahli parti atau pemegang jawatan jawatan dalam parti bagi mengelakkan berlakunya pengkhianatan dalam parti.
Langkah PKR mengenakan tuntutan RM10 juta bagi wakil rakyat melanggar syarat bon yang mengikat parti, langkah baiah PAS kepada wakil rakyat mereka, tandatangan akuan bersumpah (SD) terhadap Presiden parti UMNO sebelum bertanding pilihan raya mampu menyebabkan 10 Ahli Parlimen UMNO terhalang menyokong Muhiyiddin Yassin ketika kecoh isu pembentukan kerajaan selepas PRU-15.
Punca Lompat
Apabila berlakunya ketidakstabilan sesebuah parti politik, maka ia akan mendorong lompat parti. Peristiwa lompat parti 16 wakil rakyat UMNO ke Bersatu selepas pilihan raya 2018 disebabkan berasa tidak yakin dengan parti mereka sendiri selepas parti mereka kalah pilihan raya, dan peruntukan kawasan tidak lagi dapat diperoleh, sedangkan penduduk di kawasan diwakili perlu pelbagai bantuan di kawasan.
Begitu juga apabila sembilan wakil rakyat PKR keluar parti untuk menyertai Langkah Sheraton apabila mahu membentuk kerajaan dan menyertai parti lain yang dapat menjanjikan peluang jawatan, kedudukan dan memastikan kawasan diwakili akan lebih terbela.
Yang berlaku baru-baru ini, juga didorong oleh faktor peruntukan kawasan untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada kawasan yang diwakili.
Sebenarnya, pihak Putrajaya boleh menyalurkan peruntukan kawasan tanpa melalui wakil rakyat pembangkang kerana mempunyai mekanisme tertentu seperti penyelaras parlimen atau agensi memberikan bantuan terus kepada rakyat. Namun sebagai ahli politik, Ahli Parlimen mereka lebih mahu mendekatkan diri dengan pengundi kawasan apabila peruntukan disalurkan kepada pejabat parlimen.
Namun tindakan seumpama ini boleh menyebabkan kehilangan kepercayaan awam terhadap ahli politik dan parti politik. Yang pertama Ahli Parlimen yang dipilih secara demokrasi dan langsung oleh pengundi tiba-tiba mengkhianati kepercayaan pengundi apabila tiba-tiba keluar parti yang menyokong parti lain lebih-lebih lagi yang telah ditolak pengundi.
Kehilangan kepercayaan terhadap parti politik juga berlaku apabila parti politik dilihat lemah dan tidak mampu mengawal wakil rakyat mereka sendiri sebagaimana berlaku episod lompat parti.
Inisiatif Institusi
Namun apabila akta lompat parti diperkenalkan ia mampu mengekang lompat parti secara tidak bertanggungjawab, besar-besaran, dimanipulasi oleh parti lawan dan tindakan penting diri sendiri wakil rakyat dapat dikawal melalui undang-undang ini.
Langkah seiring ialah pengenalan kod etika parti bagi mengawal dan mengatur perilaku dan tindakan orang politik dengan memberikan tindakan tegas bagi mendisipilin dan memberikan hukuman setimpal kepada mereka yang melanggar kod etika tersebut.
Pada masa sama kempen pendidikan politik bagi melakukan advokasi terhadap pemimpin dan ahli parti politik mengenai dampak buruk tindakan lompat parti dan keperluan untuk penekanan aspek integriti, prestasi dan disiplin dalam penyertaan politik. Maka, insiatif reformasi dan transformasi politik perlu diperluaskan bagi meningkatkan ketelusan, kebertanggungjawaban, dan perwakilan politik dalam sistem politik yang lebih menyeluruh.
Ini juga perlu menggalakkan penyertaan masyarakat sivil dalam proses ini bagi memastikan kepentingan masyrakat terpancar dalam perubahan yang dihasratkan negara.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).