Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Membugar dan merekayasa Hari Malaysia
  • KOLUMNIS

Membugar dan merekayasa Hari Malaysia

Utusan Sarawak 8 hours ago

SELAMAT HARI MALAYSIA!

HARI Malaysia yang disambut setiap 16 September sering menjadi ruang untuk meneguhkan rasa kebangsaan, mengingatkan generasi kini terhadap pembentukan negara bangsa idaman termaktub pada 1963.

Setiap tahun sambutan dilakukan, kini memasuki ke-62 tahun sambutan ini yang disaluti dengan ucapan penuh slogan, perarakan, dan naratif tunggal.

Perkara ini perlu dipersegar agar dapat membuka lebih banyak kepelbagaian pengalaman rakyat yang akhir nanti termaktub dalam sejarah sosial negara.

Maka,  Hari Malaysia perlu dilihat sentiasa segar bugar dan direkayasa menjadi kesegaran baharu, bukan sekadar mengulang sejarah, tetapi memperluaskan makna Hari Malaysia ke dalam ruang politik baharu, budaya, ekonomi dan sosial yang lebih inklusif.

Yang baharu dan segar

Aspek ini bermakna  ia perlu mengalihkan fokus daripada sekadar ritual sambutan kepada wacana substantif yang memberi lebih ruang kepada suara berbilang wilayah dan generasi termasuk aspek dimensi politik persekutuan dan autonomi, pembinaan identiti kebangsaan yang kepelbagaian dalam kesatuan, ekonomi dan teknologi sebagai simbol kebersamaan moden dan peranan generasi muda dalam mencorak naratif baharu Hari Malaysia.

Dimensi politik: Retorik penyatuan kepada dialog autonomi

Hari Malaysia tidak lagi boleh sekadar dipersembahkan sebagai ‘hari ulang tahun penyatuan’.

Ia mesti diangkat sebagai platform dialog yang kritis berhubung autonomi negeri dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani Buku Hari Malaysia pada Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth malam tadi. Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua, kiri); Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kiri) dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Foto BERNAMA

Perdebatan mengenai minyak, gas, hasil bumi, dan kuasa pendidikan serta kesihatan di Sabah dan Sarawak telah lama wujud. Namun, naratif lazim berulang sambutan sering menenggelamkan isu substantif ini.

Yang baharu pada 2025 ialah keterbukaan untuk menampilkan perbincangan jujur mengenai hak dan kuasa negeri dalam sambutan rasmi. Jika selama ini MA63 hanya menjadi tema di seminar atau mesyuarat teknikal, kini ia boleh diarusperdanakan dalam ucapan dasar Hari Malaysia.

Bukan sekadar ‘mengiktiraf’ tetapi memaparkan garis masa jelas bagi pelaksanaan tuntutan. Dengan cara ini, Hari Malaysia tidak lagi dilihat sebagai simbol kosmetik, sebaliknya sebagai platform akauntabiliti Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Naratif baharu ini juga harus menolak dikotomi Semenanjung versus Borneo. Sebaliknya, ia menekankan kesalinghubungan. Autonomi negeri tidak bermaksud pemisahan, tetapi perkongsian kuasa yang matang.

Aspek inilah yang akan menjadikan Hari Malaysia lebih segar mengalihkan sambutan daripada ‘nostalgia penyatuan’ kepada ‘projek politik yang hidup dan sentiasa ditambah baik.’

Identiti kebangsaan berlapis: Menghargai kepelbagaian tanpa takut

Selama puluhan tahun, Hari Malaysia sering dilihat dalam cermin kerangka agu patriotik, perarakan kebudayaan dan simbol bendera.

Walaupun penting, pengulangan tanpa wacana baharu menjadikannya kehilangan roh. Penghargaan kepelbagaian yang segar ialah memaknai Hari Malaysia melalui identiti kepelbagaian dalam kesatuan- Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan-Dusun, Melanau, Bidayuh, Orang Asli, malah identiti generasi digital.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama dif-dif kenamaan menyaksikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyempurnakan simbolik perasmian Perhimpunan Sambutan Hari Malaysia 2025 di Bintulu malam tadi.

Hari Malaysia harus tampil sebagai ruang naratif bersama yang rakyat lebih bebas menyingkap naratif asal-usul mereka tanpa rasa dipinggirkan.

Misalnya, kisah migrasi orang Bugis di Sabah, peranan pedagang Cina di Sarawak atau tradisi lisan Orang Ulu yang jarang diketengahkan. Identiti ini tidak perlu dilihat sebagai ancaman, tetapi sebagai kekuatan dalam sebuah negara-bangsa moden.

Di sinilah kita dapat melangkaui naratif yang terlalu bersifat slogan. Yang baharu ialah keberanian mengiktiraf perbezaan sebagai nilai tambah.

Misalnya, sambutan Hari Malaysia boleh memuatkan sesi khas yang mengetengahkan budaya minoriti atau segmen komuniti diaspora yang turut membentuk wajah Malaysia hari ini.

Identiti yang berlapis ini akan membina rasa kebangsaan yang lebih realistik, bukan fantasi homogen.

Ekonomi dan teknologi: Menyuntik nilai kebersamaan moden

Sambutan Hari Malaysia perlu melangkaui sejarahpolitik. Maka  ini menuntut wacana yang lebih relevan dengan kehidupan harian mereka – ekonomi, teknologi, peluang pekerjaan dan masa depan.

Maka, apa yang segar ialah menampilkan projek dan pembangunan bersama Sabah, Sarawak, dan Semenanjung dalam bidang ekonomi digital, teknologi hijau dan infrastruktur moden.

Contohnya, sambutan Hari Malaysia boleh dijadikan platform mengumumkan inisiatif ekonomi rentas wilayah: pusat data di Sarawak yang menghubungkan Semenanjung, jaringan tenaga boleh diperbaharui di Sabah untuk menyokong grid nasional atau program latihan digital yang melibatkan belia dari semua negeri.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang melihat koleksi gambar bersejarah yang dipamerkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sempena Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth semalam. Foto BERNAMA

Dengan cara ini, Hari Malaysia tidak lagi sekadar acara simbolik, tetapi titik pelancaran projek strategik negara.

Lebih penting, sambutan seumpama ini boleh mengetengahkan isu keadilan pembangunan. Sabah dan Sarawak sering berhadapan dengan masalah infrastruktur asas-jalan, sekolah, hospital, walaupun kaya dengan sumber alam.

Hari Malaysia yang segar ialah yang berani memaparkan jurang ini secara terbuka, lalu menawarkan pelan tindakan dengan garis masa dan soalan pendanaan dan peruntukan yang lebih jelas.

Generasi muda sebagai pemegang obor naratif baharu

Hari Malaysia harus digerakkan oleh suara belia. Generasi muda Malaysia bukan lagi sekadar ‘penonton’ sambutan rasmi, tetapi pencipta naratif baharu kebangsaan.

Mereka menilai patriotisme bukan pada laungan slogan, tetapi pada peluang pekerjaan, keadilan sosial, ruang kebebasan bersuara dan keterangkuman digital.

Usaha perlu diberikan dengan memberi ruang kepada belia untuk menjadi penganjur, penulis naratif, malah penilai sambutan Hari Malaysia.

Program debat belia antara Semenanjung dan Borneo, pertandingan esei kritis mengenai MA63 atau pameran digital oleh pelajar universiti tentang identiti kebangsaan boleh dijadikan elemen utama.

Dengan cara ini, Hari Malaysia akan menyerap dinamika segar generasi Z dan Alpha yang lebih global, namun tetap berpijak di tanah air.

Penglibatan lebih ramai belia memastikan Hari Malaysia tidak kaku sebagai ritual tahunan, tetapi terus berevolusi mengikut zaman.

Mereka membawa perspektif segar: misalnya, mengaitkan perpaduan nasional dengan isu perubahan iklim, kesamarataan gender atau hak pekerja gig.

Naratif ini lebih relevankepada kehidupan seharian rakyat berbanding sekadar ulangan slogan.

Menolak klise, membina wacana substantif

Kliese seperti pengulangan tanpa makna – ucapan ‘kita perlu bersatu’ tanpa strategi, lagu patriotik tanpa dialog kritis atau perarakan warna-warni tanpa menyentuh jurang sebenar pembangunan perlu dielak.

Wacana baharu harus berlandaskan realiti semasa dan cabaran masa depan.

Antara langkah konkrit untuk menolak klise termasuklah menggantikan retorik dengan fakta iaitu setiap ucapan rasmi wajib mengandungi laporan kemajuan MA63, projek pembangunan dan sasaran masa depan.

Juga, selain persembahan simbolik perlu kepada penceritaan rakyat yang menampilkan dokumentari pendek atau kisah lisan daripada komuniti pedalaman, bukan sekadar persembahan tari moden.

Selain memberi ruang kepada akademik, aktivis atau belia dalam wacana segar  dan konstruktif sebagai tanda keterbukaan untuk membina naratif yang hidup, kritis dan inklusif.

Kesimpulan

Pembugaran Hari Malaysia menuntut wajah baharu- segar, kritis dan tidak dibelenggu ulangan lama.

Ia mesti beralih daripada sekadar simbolisme kepada platform akauntabiliti, daripada identiti homogen kepada kepelbagaian berlapis, daripada sejarah semata-mata kepada ekonomi dan teknologi masa depan, serta daripada elit politik kepada suara belia.

Dengan menekankan aspek ini, Hari Malaysia bukan lagi sekadar hari memperingati penyatuan 1963, tetapi projek berterusan membina Malaysia yang adil, moden dan berjiwa inklusif.

Naratif segar ini akan memastikan rakyat bukan sahaja menyambut Hari Malaysia, tetapi benar-benar menghayatinya sebagai projek bersama seluruh warganegara untuk masa depan yang lebih saksama dan bermaruah.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Penyiasat PBB dalam pembentukan Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.