Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Membina kehidupan yang lebih makmur
  • RENCANA
  • TEMPATAN

Membina kehidupan yang lebih makmur

Utusan Sarawak 3 hours ago
SEAWAL 6.00 pagi, suasana di tebing Sungai Kianggeh di Bandar Seri Bagawan sudah hidup dengan riuh-rendah suara peniaga yang sibuk membuka gerai masing-masing dan pelanggan pula mencuba nasib, tawar-menawar untuk mendapatkan pelbagai barangan pada harga serendah mungkin. Selain hasil tani dan jualan ternakan hidup, Tamu Kianggeh juga memelihara warisan penjagaan diri masyarakat Brunei yang masih diamalkan hingga kini. Pelbagai produk penjagaan diri dan kecantikan dapat ditemukan di blok B namun antara yang menarik perhatian penulis ialah minyak herba, minyak piasau (kelapa), hirup-hirupan (pes minuman kesihatan), pilis (sejenis jamu) serta pelbagai minuman herba tradisional untuk kesihatan ibu selepas bersalin. Foto BERNAMA

KEHIDUPAN yang makmur bukanlah datang dengan sendirinya. Ia bukan hasil kebetulan, sebaliknya terhasil daripada usaha bersama, kesungguhan dan rasa tanggungjawab setiap lapisan masyarakat.

Kemakmuran bukan hanya bermakna kaya dengan harta benda, tetapi lebih luas daripada itu.

Ia meliputi kesejahteraan rohani, keharmonian sosial, keadilan, peluang sama rata, serta hubungan manusia yang berlandaskan nilai agama.

Dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan bahawa manusia diciptakan sebagai khalifah di muka bumi di mana tugas besar yang menuntut kita untuk menjaga, membangun dan memakmurkan tempat kita diami.

Justeru, persoalannya bukanlah siapa yang harus bertanggungjawab, tetapi bagaimana setiap daripada kita boleh memainkan peranan.

Peranan Pemerintah: Memimpin Dengan Amanah

Pemerintah atau kerajaan adalah tonggak utama dalam membina masyarakat yang makmur.

Mereka bukan sekadar pengurus sumber, tetapi pemegang amanah rakyat.

Tanggungjawab pemerintah ialah memastikan dasar-dasar negara adil, telus dan memberi manfaat kepada semua golongan tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

Kerajaan yang makmur ialah kerajaan yang menolak penindasan, memerangi rasuah, menghapuskan diskriminasi dan menyediakan peluang sama rata dalam pendidikan, kesihatan, ekonomi dan keselamatan.

Pemerintah harus menjadi teladan dalam melaksanakan prinsip agama seperti amanah, adil dan siddiq, agar rakyat percaya dan mengikuti jejak tersebut.

Namun, pemerintah tidak boleh bekerja sendirian. Mereka memerlukan sokongan padu daripada NGO, pemimpin masyarakat, sektor swasta dan individu biasa. Inilah erti “Bersama” dalam membina kehidupan yang lebih makmur.

Peranan NGO, Pemimpin Masyarakat Dan Individu

NGO berfungsi sebagai jambatan antara rakyat dan pemerintah. Mereka mengisi ruang yang mungkin tidak sempat disentuh oleh kerajaan.

Melalui kerja-kerja kebajikan, pendidikan masyarakat, advokasi hak-hak asasi dan program kemanusiaan, NGO membantu menutup jurang ketidakadilan dan membawa suara mereka yang lemah.

Pemimpin masyarakat sama ada ketua kampung, pemimpin agama atau tokoh setempat pula bertindak sebagai penyambung suara akar umbi.

Mereka dekat dengan rakyat dan memahami keperluan harian komuniti.

Dengan sikap jujur, telus dan berpandukan agama, mereka boleh menjadi penggerak utama dalam menanamkan semangat kemakmuran bersama.

Individu juga tidak terkecuali.

Setiap orang mempunyai tanggungjawab sosial iaitu membantu jiran, menjaga kebersihan, menolak budaya menindas, menegakkan keadilan dalam ruang lingkup kecil seperti keluarga dan tempat kerja.

Jika setiap individu mengamalkan nilai agama dalam kehidupannya, masyarakat akan terbentuk dengan harmoni.

Cabaran Media Sosial: Mengawal Hasutan dan Fitnah

Dalam era moden, media sosial menjadi medan utama interaksi masyarakat. Ia boleh menjadi alat kebaikan menyebarkan ilmu, mengukuhkan jaringan dan menggerakkan solidariti.

Namun, media sosial juga sering digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menabur fitnah, menyebar kebencian dan menghasut masyarakat agar hilang kepercayaan terhadap keharmonian yang sedia ada.

Hari ini, kita melihat pelbagai bentuk hasutan

•     Berita palsu (fake news) tentang isu agama, bangsa atau politik yang sengaja direka untuk mencetuskan kekeliruan.

•     Konten viral tanpa tapisan, yang kadang-kadang memburukkan individu, mencemarkan maruah keluarga atau menjatuhkan organisasi tanpa bukti yang sahih.

•     Hasutan politik kebencian, yang dimainkan oleh pihak tertentu semata-mata untuk mengaut keuntungan peribadi dengan mengorbankan keharmonian rakyat.

•     Penipuan dalam talian (scam, phishing, pelaburan palsu) yang bukan sahaja merugikan kewangan, tetapi juga meruntuhkan kepercayaan masyarakat.

Kita harus berhati-hati. Jangan mudah terpengaruh dengan provokasi dan sentimen yang sengaja ditiup untuk memecahbelahkan rakyat.

Penghasut ini ibarat membakar kelambu kerana marahkan nyamuk.

Tindakan mereka menghancurkan kedamaian yang dinikmati bersama semata-mata kerana kepentingan peribadi atau ideologi sempit.

Sebagai masyarakat yang matang, kita perlu menapis maklumat, menggunakan akal yang waras dan berpandukan nilai agama.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6 menegaskan, “Apabila datang sesuatu berita, selidiklah dahulu kebenarannya agar kita tidak tersilap dan menyesal kemudian hari”.

Prinsip ini harus menjadi benteng masyarakat daripada terjerumus dalam perangkap mereka yang mahu menggugat kemakmuran.

Media sosial hanyalah alat. Sama ada ia menjadi medan kebaikan atau keburukan bergantung kepada kita sebagai penggunanya.

Jika digunakan dengan amanah dan niat yang baik, ia boleh menjadi pendorong kemakmuran bersama.

Tetapi jika kita leka, ia boleh menjadi racun yang memusnahkan segala usaha membina kehidupan yang lebih makmur.

Peranan Pihak Swasta: Menjana Ekonomi Dengan Nilai

Sektor swasta adalah enjin utama pembangunan ekonomi.

Namun, mereka tidak boleh hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Perniagaan yang sebenar ialah perniagaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan, melatih tenaga kerja, memelihara alam sekitar dan menunaikan tanggungjawab sosial korporat.

Konsep untung dengan tujuan (profit with purpose) harus menjadi pegangan.

Dengan menjadikan nilai agama sebagai panduan, sektor swasta mampu mengelak penindasan pekerja, menolak ketidakadilan gaji dan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Seruan Untuk Kemakmuran Bersama

Kemakmuran tidak akan tercapai jika hanya diserahkan kepada satu pihak.

Ia menuntut penglibatan semua dari pemerintah yang amanah, NGO yang prihatin, pemimpin masyarakat yang ikhlas, sektor swasta yang bertanggungjawab, individu yang berakhlak, serta rakyat yang bijak mengawal pengaruh media sosial.

Agama adalah panduan yang lengkap dan jelas. Islam misalnya, menekankan prinsip rahmatan lil ‘alamin iaitu membawa rahmat kepada seluruh alam.

Prinsip ini jika diterapkan dalam kehidupan seharian akan menghapuskan penindasan, mengangkat maruah manusia dan menegakkan keadilan.

Kita semua ada peranan masing-masing. Jangan menunggu orang lain memulakan.

Jadilah sebahagian daripada solusi, bukan sebahagian daripada masalah.

“Bersama”, kita mampu membina kehidupan yang lebih makmur, bukan hanya untuk diri kita, tetapi untuk generasi akan datang.

Wallahu Alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Yayasan Kebudayaan Dayak lancar biografi Premier pertama Sarawak
Next: SEDC lakar pencapaian penting dalam pelbagai sektor sepanjang tiga tahun lepas – Pengerusi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.