MENGIKUT kamus terkemuka termasuk kamus Cambridge, Oxford dan Collin, dapat dirumuskan bahawa etos ialah sebuah seperangkat kepercayaan, idea-idea mengenai tingkah laku sosial dan hubungan invididu mahupun kumpulan. Dalam sosiologi pula, etos adalah ciri atau sifat asas, perwatakan, semangat budaya, perasaan dasar yang membentuk keyakinan, budaya atau amalan masyarakat atau kumpulan, juga andaian yang dominan mengenai masyarakat pada sesuatu tempoh tertentu.
Ia juga berkaitan dengan sistem nilai dan norma asas serta boleh dijadikan visi masa depan yang diberikan kepada negara atau bangsa. Etos bangsa pula merujuk pada kumpulan nilai, norma, kepercayaan dan prinsip yang dipegang oleh suatu kelompok masyarakat atau bangsa. Aspek ini mencakupi cara individu dalam suatu masyarakat melihat dan menjalani kehidupan, serta prinsip moral yang membentuk dasar budaya mereka.
Etos bangsa dapat mencerminkan identiti kolektif, pandangan tentang kebenaran dan norma sosial yang diterima oleh masyarakat.
Memahami etos bangsa
Impian Amerika merupakan etos kebangsaan Amerika Syarikat (AS), iaitu Impian Amerika (American Dream). Istilah ini diperkenalkan oleh James Truslow Adams pada 1931 ketika berlakunya kemeseletan ekonomi Amerika dan dunia.
Beliau sebagai penulis dan kelompok kelas menengah mengimpikan idea mengenai hak kebebasan yang ditafsirkan sebagai peluang untuk kemakmuran dan kejayaan individu dan mobiliti sosial setiap insan, dicapai dengan usaha dan kerja keras dalam menempuh kehidupan. Beliau menyatakan bahawa ‘kehidupan sepatutnya lebih baik dan lebih kaya serta lebih penuh untuk semua orang, dengan peluang bagi setiap orang mengikut kebolehan atau pencapaian tanpa mengira kelas sosial atau keadaan kelahiran.’
Impian Scandinavia
Scandinavia juga mempunyai etos kebangsaan mereka sebagai ‘Impian Scandinavia’. Walaupun tidak mempunyai satu cerita asal yang pasti, ia muncul secara perlahan-lahan dalam wacana sosial dan ekonomi wilayah Nordik, mendapat pengiktirafan pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21.
Pada awalnya, ia muncul sebagai ‘model Scandinavia’ dalam perbincangan akademik dan politik pada 1960-an hingga 1970-an, menyoroti gabungan unik negara kesejahteraan, kesatuan pekerja, dan masyarakat egalitarian. Pada 1980-an hingga 1990-an, ketika ketidaksetaraan pendapatan meningkat di Barat, tingginya mobiliti sosial dan kestabilan ekonomi Scandinavia menarik perhatian global, memunculkan istilah seperti ‘utopia Scandinavia’ atau ‘keajaiban Scandinavia.’
Wartawan dan penulis, seperti Johan Norberg, turut mempopularkan istilah ini melalui karya-karya mereka. Penggunaan ‘Impian Scandinavia’ kini meluas dalam media dan perbincangan awam, merujuk kepada nilai-nilai Nordik seperti demokrasi sosial, kualiti hidup tinggi dan pembangunan lestari. Perdana Menteri Denmark, Poul Nyrup Rasmussen menggunakan istilah ‘Impian Scandinavia’ dalam ucapan pada 1994, membandingkannya dengan Impian Amerika dan menekankan kesetaraan sosial serta kemakmuran bersama.
Impian Jepun
Konsep ‘Impian Jepun’ muncul secara beransur-ansur melalui pelbagai wacana sosial dan budaya sejak era praperang yang memperkenalkan konsep Dai Nipponism yang memfokuskan aspek kemakmuran negara dan kebaikan bersama dan membentuk asas bagi idea impian bersama.
Ketika era pascaperang (1945-1970-an) pada era pertumbuhan ekonomi pesat dan transformasi masyarakat, istilah seperti ‘Salaryman Society’ dan ‘Keajaiban Ekonomi’ menonjolkan penekanan terhadap kerja keras, kejayaan kerjaya dan sumbangan kepada pencapaian negara. Istilah Impian Jepun mendapat perhatian melalui rujukan media dan sastera.
Novel sains fiksyen Sakyo Komatsu pada 1965, ‘Nihon Dorimu’ (Impian Jepun), meneroka tema teknologi dan transformasi sosial serta mencetuskan juga kritik sosial dan akademi yang bimbang sisi gelap kemajuan ekonomi muncul seperti ketidakseimbangan ‘kerja-hidup’, keserasian sosial dan istilah Impian Jepun kadang-kadang digunakan secara kritis, mempersoalkan kelestarian dan menonjolkan ketidakseragaman kesejahteraan individu.
Dalam konteks kontemporari, Impian Jepun menjadi etos nasional dan kini merujuk kepada aspirasi terhadap kejayaan kerjaya, jaminan pekerjaan, status sosial, dan keselesaan kebendaan dalam budaya dedikasi, kesetiaan dan keserasian. Bagaimanapun, interpretasi berbeza-beza mengikut generasi dan kelas sosial.
Impian Jepun adalah konsep yang dinamik, sentiasa berkembang sebagai respons kepada perubahan sosial dan ekonomi. Memahami konteks sejarahnya, interpretasi yang pelbagai dan kritikan dapat membawa kepada pandangan yang lebih halus dan mendalam tentang masyarakat Jepun dan aspirasinya untuk masa depan.
Membina impian Sarawak
Di Sarawak, pembinaan ‘Impian Sarawak’ perlu mengambil iktibar daripada nilai-nilai dan pengalaman dari konsep impian tiga negara tersebut. Impian Sarawak dapat dibangunkan melalui penerimaan dan penyesuaian nilai-nilai dari tiga konsep impian negara tersebut yang telah berjaya membentuk etos masyarakat mereka.
Impian Amerika, dengan penekanan pada peluang untuk kemakmuran dan kejayaan individu melalui usaha keras, dapat menjadi landasan untuk menggalakkan semangat kerja keras dan usaha dalam masyarakat Sarawak. Semangat untuk mencapai kejayaan melalui usaha keras dapat diintegrasikan dengan kerjasama kepelbagaian etnik untuk mendorong semangat kerja dan aspirasi setiap individu di Sarawak.
Berdasarkan Impian Scandinavia, nilai-nilai demokrasi sosial, kualiti hidup tinggi dan pembangunan lestari dapat menjadi model untuk mengukuhkan prinsip-prinsip inklusiviti, kesetaraan, dan kelestarian dalam pembangunan Sarawak.
Penerapan nilai gotong royong dan keharmonian antara etnik juga sejajar dengan etos Scandinavia, mencipta masyarakat yang lebih bersatu dan harmonis. Penyesuaian ini penting bagi membina model pembangunan Sarawak yang mengutamakan keadilan sosial, pelestarian alam, dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Impian ini dapat merangkul kepelbagaian etnik di Sarawak dengan digerakkan berasaskan keperluan sebenar dan memanfaatkan kearifan tempatan.
Impian Jepun, dengan fokus pada kejayaan kerjaya, jaminan pekerjaan dan keselesaan dalam budaya dedikasi, kesetiaan, dan keserasian, boleh dijadikan inspirasi untuk membangun masyarakat Sarawak yang berorientasikan kerjaya, setia pada nilai-nilai tradisional, dan mementingkan kesejahteraan individu.
Nilai-nilai bersepadu dapat membentuk landasan bagi pembangunan ekonomi Sarawak yang mampan dan masyarakat yang berfokus pada kemajuan individu sambil mengekalkan nilai-nilai tradisional dan budaya.
Model Impian Sarawak
Sarawak dapat membina model ‘Impian Sarawak’ dengan menyatupadukan nilai-nilai yang sesuai dengan konteks dan kepelbagaian budaya di negeri ini. Melalui pendekatan inklusif, Sarawak dapat mencapai impian kesepaduan sosial yang mengutamakan keadilan, kesejahteraan bersama dan kemakmuran berterusan.
Dengan merangkul nilai-nilai yang memperkukuh kebersamaan dan keharmonian, Impian Sarawak dapat menjadi panduan untuk pembangunan yang berkekalan dan holistik. Dalam konteks Sarawak yang unik, Impian Sarawak dapat menjadi pangkalan untuk pembangunan yang berkekalan, mempertahankan warisan budaya dan nilai-nilai tradisional, sambil mengejar inovasi dan kemajuan.
Dengan memanfaatkan kekuatan dari ketiga impian negara tersebut, Sarawak dapat membina identiti yang unik dan menggerakkan masyarakatnya ke arah kesepaduan, kebermaknaan dan kesejahteraan yang holistik.
Berdasarkan perspektif ini, ternyata Impian Sarawak bukan sahaja usaha mengedepankan nilai-nilai seperti toleransi, kerjasama dan keberagaman, atau pun sekadar memelihara dan merayakan kekayaan budaya dan etnik yang menjadi bahagian daripada identiti Sarawak.
Akan tetapi, penekanan pada peluang untuk kemakmuran bersama, menggalakkan semangat kerja keras dan mencapai kejayaan, pada masa sama memastikan nilai-nilai demokrasi sosial, kualiti hidup tinggi, dan pembangunan lestari dapat menjadi model untuk mengukuhkan prinsip-prinsip inklusiviti, kesetaraan, dan kelestarian dalam pembangunan Sarawak di samping mementingkan kesejahteraan individu dan masyarakat.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).