Oleh: Dilah Tuah
SUTARDJI CALZOUM BACHRI, seorang penyair Indonesia pernah mengungkapkan bahawa “kata-kata bukanlah alat menghantarkan pengertian. Kata bukan seperti paip menyalurkan air. Kata membawa pengertian itu sendiri dan bebas. Kata-kata harus bebas dari penjajahan pengertian dan dari beban idea. Kata-kata harus bebas menentukan dirinya sendiri.”
Pandangan Sutardji ini bertepatan dengan konsep puisi yang merupakan suatu bentuk pengucapan yang bebas daripada sebarang peraturan dalam membentuk rangkap, menentukan baris, memilih perkataan dan memadankan rima. Dari aspek makna pula, kata-kata dalam puisi sebaiknya tidak membawa makna seperti yang dimaksudkan di dalam kamus, namun perlu beranjak ke makna yang lain.
Kelainan makna daripada kata dasar yang terdapat di dalam kamus dikenali sebagai makna konotasi. Dalam puisi, makna konotasi dikaitkan dengan emosi atau sesuatu perkataan di luar makna literalnya. Sebagai nadi kepada puisi, kata konotasi dimanfaatkan untuk memusatkan atau memperkayakan makna. Hal ini bermaksud, melalui penggunaan kata konotasi, penyair dapat mengatakan lebih banyak dalam perkataan yang lebih sedikit. Kata konotasi juga memungkinkan penyair untuk ‘melukis gambar’ atau mencipta imej atau perasaan yang kuat dalam puisinya. Di sisi yang lain, penggunaan kata konotasi akan menjadikan khalayak pembaca secara semula jadi lebih terlibat dengan kata-kata puisi kerana fikiran mereka perlu melakukan sedikit ‘kerja tambahan’ dalam mencari makna dan ini pasti memperdalamkan kesan yang dicipta oleh puisi.
Mengapa kata konotasi penting dalam puisi? Pada dasarnya, puisi ialah luapan perasaan penyair secara spontan yang mengandungi emosi, pengalaman atau keinginannya untuk menyampaikan dan mengubah sesuatu. Kendatipun begitu, tidak semua luapan emosi ini dapat disalurkan terus menjadi binaan diksi puisi. Hal ini kerana puisi bukanlah wadah untuk melepaskan geram secara terus terang. Puisi perlu dibaluti dengan keindahan dan kiasan, agar emosi yang ingin disalurkan lewat bait-bait kata dapat difahami dan diterima dengan hati yang terbuka. Justeru, dalam hal ini jelas bahawa pemilihan kata yang membawa kepada makna konotasi, amat penting khususnya dalam menghasilkan sebuah puisi yang indah dan menarik.
Berpandukan perbincangan di atas, maka ulasan puisi pada kali ini akan memfokuskan kepada aspek makna konotasi yang terdapat dalam puisi-puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas, iaitu “Mekar dalam Duga” karya Nur Batrishya, “Aku Sinar Dunia” karya Nora Morshidi dan “Permata 722” karya Niniefadzillea Iswandi. Selain menjadikan aspek makna konotasi sebagai landasan kupasan, aspek-aspek lain dalam puisi turut dibincangkan secara tidak langsung dalam ulasan ini.
Puisi pertama berjudul “Mekar dalam Duga” merupakan hasil nukilan Nur Batrishya. Puisi ini tentang kehidupan yang penuh dengan uji dan cabar, seperti yang dapat diperhatikan pada rangkap pertama. Penggunaan frasa “kehidupan ibaratkan bunga” pada peringkat awal sudah cukup membuka hijab makna puisi ini. Namun begitu, ada sesuatu yang tidak sempurna pada rangkap yang pertama iaitu, penggunaan frasa “tanpa dorongan yang menyimpul”. Dalam baris ini, penyair didapati terlalu memaksa untuk mewujudkan persamaan rima dengan baris “jiwa pasti masyghul” sehingga menyebabkan maknanya bertingkah. Pada baris ini, perkataan “menyimpul” sesuai digantikan dengan kata “unggul” bagi mewujudkan satu pertautan makna yang lebih mantap dan tepat. Berikut merupakan cadangan bagi rangkap yang pertama:
Hidup ibarat bunga
tanpa air dan cahaya
tanpa dorongan unggul
jiwa pasti masyghul
layulah ia
Dalam rangkap yang kedua pula, didapati tiada kata konotasi digunakan oleh penyair. Diksi yang digunakan dalam rangkap ini tidak memerlukan pentafsiran yang mendalam. Khalayak pembaca dengan mudah memahami konsep “bunga mekar” yang ingin disampaikan oleh penyair. Hal ini menyebabkan puisi ini polos khususnya dengan penggunaan kata-kata denotasi yang biasa. Selain itu, rangkap ini masih memerlukan pemadatan kata, iaitu dengan memilih diksi yang terbaik dan menyingkirkan kata-kata yang mubazir sifatnya. Berikut merupakan cadangan bagi rangkap yang kedua:
usah risau
bunga pasti mekar
bukan sekarang
mungkin esok
atau bila ia ditakdirkan
Bagi rangkap yang seterusnya, penyair didapati menutup puisinya dengan penyataan yang agak klise. Hal ini dikatakan sedemikian kerana “bunga” sememangnya sudah difahami secara alami menjadi sumber madu kepada lebah dan unggas. Apakah itu saja fungsi bunga dalam kehidupan? Tentu sekali tidak, kerana untuk mengatakan “hidup ibarat bunga” pastinya bukan hanya sekadar “membenih madu”. Bunga perlu harum dan mewangi (iaitu berjaya dan dikenangi) untuk menghasilkan madu yang terbaik. Berikut merupakan cadangan bagi rangkap yang ketiga:
lihatlah si bunga
walau dirintangi sejuta duga
tegar menyaji madu jasa
buat lebah dan unggas
di belantara cinta.
Puisi seterusnya berjudul “Aku Sinar Dunia” merupakan hasil nukilan Nora Morshidi. Dari segi bentuk, puisi ini mengandungi empat rangkap dengan setiap rangkap mempunyai empat baris yang sama panjang. Puisi ini tentang kehidupan manusia yang berdepan dengan uji dan cabar dalam mencari sinaran nur-Nya. Menariknya, penyair tidak menyatakannya secara terus terang, kerana mahu mengajak khalayak berfikir tentang apa-apa yang ingin disampaikan. Justeru, khalayak yang sensitif jiwanya pasti dapat mentafsir apa-apa yang dimaksudkan dengan ”terang gelap cahaya dunia/ merintis jalan lurus berliku/ keriangan sayu membuak rasa”. Kendatipun begitu, rangkap pertama ini masih boleh dimurnikan agar menjadi lebih menarik:
Terang gelap cahaya dunia
merintis jalan lurus berliku
keriangan sayu membuak rasa
menuju pancaran sinaran nur-Nya
Seterusnya pada rangkap yang kedua, didapati binaan diksi puisi ini sudah cukup padat dan baik. Rangkap ini tentang hati manusia yang sering kali “meronta-ronta”, iaitu berbolak-balik akibat nafsu yang gelora. Namun setelah nafsu diikat, maka mata yang gelap menjadi terang dalam mencari kebenaran dan menolak kebatilan sehingga akhirnya berjaya “menyerlahkan mendung jiwa”, iaitu keinsafan.
Hati yang meronta-ronta
mengikat leraian nafsu gelora
menerangi sinar kabur mata
menyerlahkan mendung jiwa.
Manakala pada rangkap yang ketiga, didapati diksi yang dipilih bertingkah. Cuba perhatikan pada baris yang kedua, iaitu “menegakkan kebenaran kebatilan”. Pada frasa ini, kebatilan, iaitu dusta, tidak seharusnya dipadankan dengan kebenaran yang telah ditegakkan atau diperjuangkan. Hal yang sama juga berlaku pada baris yang ketiga, iaitu “kekuatan kelemahan onak fikiran”. Pun begitu, pada baris yang keempat, binaan diksinya baik. Berikut merupakan cadangan bagi rangkap yang ketiga:
Menggegarkan ketakutan
menegakkan kebenaran
menguatkan onak fikiran
menajamkan tumpul jiwa keinsafan.
Pada rangkap yang terakhir, terdapat beberapa diksi yang bertingkah. Misalnya bagi diksi “keberanian kegerunan”, “kepastian kesangsian” dan “ketahanan kerapuhan”. Dalam hal ini, tidak pasti mengapa penyair cenderung memadankan kedua-dua perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan. Walhal, rangkap ini akan menjadi lebih baik tanpa melakukan pertingkahan diksi. Berikut merupakan cadangan bagi rangkap yang keempat:
Keberanian membina imaginasi
menggugah perdu menggapai puncak
melonjak kepastian fikiran
menjulang ketahanan hati.
Puisi yang terakhir berjudul “Permata 722” merupakan hasil nukilan Niniefadzillea Iswandi. Bagi khalayak yang berasal dari Sarawak, simbol nombor 722 pada tajuk puisi ini pasti dengan mudah dapat diterjah maknanya. Puisi ini tentang Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai pada setiap tahun. Pada rangkap yang pertama, tiada bentuk kata konotasi digunakan oleh penyair. Bentuk sebegini walaupun memudahkan kefahaman pembaca, namun ia menjejaskan nilai estetika yang seharusnya wujud dalam sesebuah puisi. Tambahan pula, bentuk sebegini agak klise, polos dan akhirnya membawa kepada puisi prosaik. Justeru, pemadatan kata perlu dilakukan bagi memastikan diksi yang dipilih dapat menggambarkan seribu makna. Berikut merupakan cadangan bagi rangkap yang pertama:
Oh Sarawak,
permata kesayanganku,
tempat sungai dan gunung bertemu,
Keindahanmu adalah nyanyian sanubariku,
Didendang merdu dalam desiran anginmu.
Pada rangkap yang kedua hingga terakhir, diksi yang dipilih oleh penyair dalam puisi ini agak prosaik. Tiada penggunaan kata konotasi yang dapat memadatkan kata. Hal ini menyebabkan khalayak seperti membaca sebuah kisah yang sudah diketahui jalan ceritanya. Malah bentuknya sedikit beranjak kepada puisi tradisional yang mempunyai persamaan rima di hujung kata. Kendatipun begitu, tidak dinafikan bentuk sebegini amat disenangi oleh pembaca kerana bentuknya yang berima dan berirama. Berikut merupakan cadangan bagi rangkap yang kedua hingga terakhir:
Warisanmu yang kaya abadi,
Wargamu harmoni dijulang tinggi,
Dari rumah panjang ke universiti,
sejahtera dan aman sentiasa dirasai.
Tarikh keramat menjadi saksi,
Termeterainya sebuah ikatan janji,
melangkah di bawah satu panji,
Jalur Gemilang berkibar di tanah ini.
Permataku terbang bagai kenyalang,
Membangun masa depan cemerlang,
Dengan semangat tak pernah lekang,
Ditunjangi puluhan suku yang tersayang.
Biarpun diuji pelbagai cabaran,
Wargamu tetap menjunjung kebersamaan,
Segulai, Sejalai menjadi prinsip kehidupan,
Agar tanah airku terus maju ke hadapan.
Bersoraklah dengan penuh kesyukuran,
Permataku tidak lagi dipandang ringan,
Kini menjadi nadi kemakmuran persekutuan,
Hasil kegigihan rakyat pelbagai lapisan.
Oh Sarawak, Ibu Pertiwiku,
Semoga terus maju tanpa lesu,
Mengorak langkah yang lebih padu,
Mengangkat Malaysia ke era baharu.
Kesimpulannya, daripada tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas, hanya terdapat sebuah puisi yang memanfaatkan makna konotasi, iaitu puisi yang berjudul “Aku Sinar Dunia”. Bagi dua buah puisi yang lain, bentuknya mudah difahami kerana menggunakan bahasa seharian yang mudah diterjah maknanya oleh pembaca. Dalam penulisan puisi, penggunaan kata konotasi amat dititikberatkan kerana ia mampu memberikan kesan estetika kepada puisi. Malah penggunaan kata konotasi yang membawa makna yang lebih luas, akan berupaya membantu penyair menghasilkan sebuah puisi yang singkat dan padat. Teruskan berkarya!