SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhi hukuman penjara lapan tahun ke atas seorang pemandu selepas didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal.
Majistret Oon Kork Chern turut menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau penjara setahun terhadap tertuduh, Tang Ka Leong, selain tertuduh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh 10 tahun dari tarikh sabitan.
Permohonan peguam bela tertuduh, Yap Hoi Leong untuk menangguhkan hukuman penjara itu turut ditolak oleh mahkamah.
Sebelum ini, Tang dibebaskan daripada pertuduhan tersebut pada 2022 sebelum kes diperintahkan dibicarakan semula di Mahkamah Majistret.
Dalam penghakiman, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan yang dibaca mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selepas menimbangkan keseluruhan bukti dan memutuskan bahawa pihak pendakwaan konsisten dalam membuktikan tiga ramuan bagi pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.
Tiga rayuan itu termasuk pertama tertuduh memandu di sepanjang Persiaran Brooke menghala ke Jalan Wawasan dan menyebabkan kemalangan; kedua, paras alkohol dalam badan tertuduh telah melebihi had yang ditetapkan iaitu 162mg alkohol dalam 100ml darah dan ketiga tertuduh memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian mangsa, Chipedo Lee.
“Dalam pembelaan, mahkamah mendapati penjelasan tertuduh tidak meyakinkan. Berbeza dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tertuduh yang mencabar bahawa dia tidak melanggar arus lalu lintas jelas merupakan penafian terbuka.
“Justeru, tertuduh yang memandu melawan arus menyebabkan rempuhan secara langsung dengan si mati yang menunggang motosikal pada arah trafik yang betul,” katanya.
Oon berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh telah mencipta situasi berbahaya ketika itu, justeru tertuduh bersalah.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, ibu mendiang Yong Siew Chen dalam kenyataan impak mangsanya berkata, Chipedo bekerja sebagai penghantar makanan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkannya bekerja di luar rumah secara sah.
Dia berkata, Chipedo mempunyai teman wanita yang hamil dan telah merancang perkahwinan mereka pada 6 Jun 2020, yang tertangguh akibat wabak Covid-19.
“Walaupun Chipedo baru berusia 17 tahun, dia seorang pemuda yang matang dan bertanggungjawab, berdedikasi sepenuhnya untuk menyara keluarga dan keluarga baharunya.
“Pemergian Chipedo telah menyebabkan kami, sebagai ibu bapa, kehilangan anak sulung kami yang telah kami didik dengan penuh kasih sayang selama 17 tahun. Tunangnya juga kehilangan pasangan tercinta dan anak perempuannya akan membesar tanpa mengenali bapanya.
“Perkahwinan yang sepatutnya membawa kegembiraan kepada keluarga kami bertukar menjadi kekosongan yang menghancurkan.
“Kematian mengejutnya telah menjerumuskan keluarga kami ke dalam kesedihan yang amat besar, meninggalkan kami tanpa sokongan dan harapan untuk masa depan,” keluhnya.
Yong juga berkata, lebih menyayat hati apabila tertuduh menunjukkan rasa tidak kesal terhadap perbuatannya.
“Kematian Chipedo bukan sahaja menimbulkan kesakitan emosi yang tidak dapat diperbaiki kepada kami tetapi juga membebankan keluarga kami, kerana kami kini memikul tanggungjawab membesarkan anak perempuannya,” katanya.
Sementara itu, pada 26 Sept 2022, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Tang daripada pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian mangsa sekitar jam 10 malam di sepanjang Persiaran Brooke pada 16 Mei 2020.
Keluarga mangsa kemudian memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan mahkamah rendah pada 24 Okt 2022. Pada 16 Jun 2023, Mahkamah Tinggi mengetepikan pembebasan dan memerintahkan perbicaraan semula kes atas alasan kemungkinan berlakunya kehilangan keadilan.
Ini mendorong Tang untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan tetapi menolak rayuan itu.
Dalam perbicaraan semula, seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ayuna Yussoff manakala keluarga mangsa diwakili oleh peguam pemerhati, Boston Ho.
Oleh AKUN GIMAN