Oleh: Abang Median Abang Said
DALAM sastera, termasuk dalam penulisan cerpen, simbol atau perlambangan digunakan untuk memberi makna atau tanda dalam penulisan sebagai kiasan kepada kehidupan atau masalah yang ingin disampaikan. Plot atau aksi dalam cerpen berkenaan mempunyai pertimbangan yang setara dengan simbol atau kiasan yang disampaikan untuk menentukan tahap atau kualiti karya berkenaan. Dua elemen inilah yang menjadi tunjang sewaktu meneliti cerpen “Tandu” karya Benjamin Asin – seorang penulis yang mula menapak jauh dan menampakkan oknumnya sebagai penulis yang menjanjikan lebih-lebih tatkala beliau banyak memenangi hadiah penulisan walaupun bersaing dengan penulis mapan.
Cerpen “Tandu” tidak sukar untuk dibaca dan difahami walaupun pengarang cuba menyisipkan setiap persoalan dan kritikan sosialnya dengan simbol atau tanda. Cerpen yang digarap masih memenuhi nahu naratif – watak dalam cerpen ini seperti Putera Kecil, Maharagajah, Tetikus Utama, Tetikus I dan Tetikus II masih berperanan menggerakkan cerita terutama melalui dialog yang disampaikan. Namun pengarang mempunyai kecenderungan untuk meletakkan motif atau kritikan dalam cerpen ini mengatasi jalan cerita atau plot. Jalan cerita tidak menjadi prioriti utama. Aspek utama dalam cerpen ini ialah idea atau mesej yang ingin disampaikan. Naratif dalam cerpen cuba menghantar makna lain yang tersembunyi di bawah lapisan simbol atau tanda. Konflik dalam cerpen ini disampaikan melalui dialog yang mempunyai falsafah tersendiri. Pengarang mahu pembaca memahami kritikan atau mesej melalui dialog yang diolah dengan penyusunan kata yang menarik. Diturunkan semula beberapa dialog yang telah diolah dengan baik secara bertamsil oleh pengarang:
- “Kesejahteraan ertinya menggaru gatalnya parasit yang melekat di atas rumput subur walaupun dijinakkan dengan air hujan,” kata Tetikus II.
- “Kejujuran ertinya mengambil tanpa mengharapkan balasan yang setimpal dan kemudian memberikan kepada sarjana yang lahap menanti,” kata Tetikus I lagi.
- “Kedamaian ertinya menurut perintah sarjana tanpa berbunyi walaupun telah ditikam dengan tombak, ditembak dengan senapang angin atau mati akibat diracuni,” tambah Tetikus II.
Dialog pertama yang diolah oleh pengarang agak kabur tatkala mengaitkan kesejahteraan dengan parasit. Melalui dialog yang kedua pula, kesinisan pengarang begitu tajam tatkala memperkatakan tentang kejujuran dan mengaitkannya dengan ‘sarjana’, iaitu golongan bijak pandai yang akan memperbodohkan golongan marhaen. Dialog ketiga pula memperkatakan tentang kepasrahan golongan bawahan tanpa mampu berbuat apa-apa biarpun diperlakukan dengan kejam. Ketiga-tiga dialog ini boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan jawapan daripada lawan penutur dialog kerana elemen yang dititikberatkan ialah tentang mesej dan sindiran yang ingin disampaikan.
Disebabkan cerpen ini cuba melanggar corak cerpen realisme tatkala pengarang sengaja membumbui imej-imej simbolik dalam cerpennya, mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang menjadi liar. Jikalau pembaca cuma membaca karya ini pada lapis pertama, kesannya tidak akan mendalam kerana gagal memahami motif yang sebenar. Naratifnya memang masih ada tatkala Putera Kecil cuba menentang Maharagajah yang mempunyai pengikut-pengikut setianya seperti Tetikus Utama, Tetikus I dan Tetikus II. Namun jalinan plotnya sangat mudah. Jalan ceritanya ringkas kerana memang bukan itu yang menjadi keutamaan pengarang. Pengarang mahu cerpen ini dibaca sebagai sebuah teks kiasan atau ilustrative.
Terdapat dua simbol utama yang cuba diketengahkan oleh pengarang, iaitu “tandu” dan “nafiri” yang menjadi mesej yang menggerakkan plot dan konflik dalam cerpen ini. Kedua-dua simbol ini lebih merujuk kepada pertentangan idea antara watak.
“Tandu” dalam cerpen ini merujuk kepada pelangkin atau usungan berupa kerusi atau rumah kecil. Tandu ini pada masa dahulu ialah kenderaan tanpa roda yang dibawa oleh buruh atau orang kebanyakan untuk mengangkat orang yang berkuasa atau pemerintah. Tandu ini selalunya di diangkat menggunakan kayu yang diletakkan di bahu. Pengarang meletakkan “tandu” sebagai simbol kekuasaan dan perbezaan darjat yang digerakkan oleh watak-watak dalam cerpen berkenaan.
Simbol kedua yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam cerpen tersebut untuk menyampaikan mesejnya ialah “nafiri”. Nafiri merupakan alat muzik tradisional dalam masyarakat Melayu dan alat muzik ini dimainkan pada waktu-waktu yang tertentu seperti penobatan raja. Sewaktu kerajaan Melayu terdahulu, alat pusaka nobat seperti nafiri merupakan lambang negara atau ‘regelia kerajaan’ yang dijadikan sebagai kekuatan spiritual dan kehormatan kerajaan bersama-sama dengan adat istiadat. Tanpa “nafiri”, penobatan seseorang raja tidak dapat disahkan.
Objek “tandu” umpamanya, tidak seharusnya difahami sebagai tandu secara harfiah tetapi maksud sebenarnya terbuka kepada interpretasi yang luas seperti merujuk kepada kuasa dan darjat. Begitu juga dengan objek “nafiri” yang merujuk kepada kuasa keputusan yang dimiliki oleh Maharagajah. Perhatikan dialog tentang “nafiri” yang diolah oleh pengarang:
- “Bunyi nafiri ini merupakan satu kanun kesetiaan yang harus diikuti oleh semua orang. Tiada bunyi lain yang dapat menandinginya. Apabila berbunyi, maka itulah batas kuasaku kepada mahluk di alam hutan ini,” ujar Maharagajah.
- “Sampai satu masa nanti, bunyi nafiri ini akan berhenti dan tidak lagi membelah kesunyian alam ini,” kata Putera Kecil berdoa menadah tangannya.
Oleh itu, pengarang menjadikan dua simbol ini untuk menunjukkan kekuasaan Maharagajah yang memerintah biarpun mendapat penentangan daripada Putera Kecil. Penentangan daripada Putera Kecil ini menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat jelata ke atas pemerintahan yang zalim. Putera kecil cuba menyerang Maharagajah dengan tombak tetapi tindakannya itu dipatahkan oleh Tetikus I dan Tetikus II sehingga Putera Kecil dijerat dengan menggunakan bubu besi beroda. Pengarang tidak memasukkan elemen ketegangan aksi sewaktu menggambarkan perkara tersebut. Bukan aksi watak yang menjadi keutamaan pengarang. Perkara yang dititikberatkan oleh pengarang ialah idea atau mesej yang disampaikan melalui dialog watak-watak dalam cerpen berkenaan.
Pengarang menggambarkan bahawa rakyat jelata yang ditonjolkan melalui watak Tetikus I dan Tetikus II akan sentiasa setia dan menuruh perintah. Maharagajah yang sudah lama memerintah digambarkan mempunyai keistimewaan sebagai pemimpin di alam hutan tersebut.
Putera Kecil mentertawakan Tetikus I dan Tetikus II tatkala meletakkan kesetiaan watak-watak tersebut sebagai tanda kebodohan kerana tidak menyedari bahawa upah yang diberikan bertujuan untuk memperalat watak-watak berkenaan. ‘rantai monyet’ yang diikat pada leher merupakan simbol kepada kongkongan yang diberikan oleh pemimpin kepada rakyat.
Pengarang bebas memilih imej atau subject matter kerana bahan itu hanya sebagai ilustrasi bagi mesej atau idea yang hendak disampaikan. Menurut Robert Scholes dan Robert Kellogg, makna sebenar cerita akan ditemui apabila pembaca dapat menghubungkan dunia fiksyen dengan dunia realiti yang dijambatani dengan simbol. ‘Rantai monyet’ berkomunikasi secara analogi dan pembaca dituntut melihatnya dengan sudut pandangan bertamsil, iaitu berusaha mencari hakikat daripada simbol yang dipilih. Biarpun pengarang tidak memberikan gambaran realiti sehingga tidak menyerlahkan kebenaran atau persamaan dengan aspek sejarah, psikologi dan sosiologi dalam cerpen berkenaan tetapi pengarang berjaya memberi tumpuan kepada aspek kebenaran etika yang merujuk kepada hakikat .
Dialog-dialog yang diucapkan oleh Putera Kecil melambangkan penentangan yang dibuat secara berterus-terang tanpa hipokritsi atau kepura-puraan. Watak Putera Kecil itu sendiri ialah simbol kepada suara masyarakat yang melihat pelbagai isu yang menghambat dalam tampuk pemerintahan. Biarpun pengarang mengolah dialog secara berkias dan bertamsil tetapi pembaca dapat menangkap dengan mudah maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang. Umpamanya, dialog yang diucapkan oleh watak Putera Kecil ini :
“Hah, mulutku bukan untuk dibisukan tetapi untuk suara demokrasi. Mataku bukan untuk ditutup tetapi untuk memandang wawasan. Dan, tangan ini bukan untuk diikatkan ke belakang tetapi untuk melaksanakan rancangan hala tuju terbaik untuk hutan ini.”
Membaca cerpen “Tandu” ini seolah-olah mengimbau tentang drama “Kerusi” yang ditulis oleh Hatta Azad Khan. Sememangnya terdapat persamaan yang jelas pada tanda atau simbol yang digunakan oleh kedua-dua pengarang berkenaan. Kedua-dua simbol tersebut – “Tandu” dan “Kerusi” – merujuk kepada kekuasaan dan menjadi rebutan masyarakat. Perkara ini dinyatakan oleh watak Maharagajah tanpa berselindung dalam cerpen karya Benjamin Asin ini :
“Hei, Putera Kecil. Agaknya kau tidak pernah mengetahui perkembangan dunia yang semakin maju? Engkau tidak tahu fikiran dan perasaan manusia itu adalah kekuasaan tandu ini? Tandu ini lebih bijaksana dariku.”
Tema dan persoalan yang cuba diungkapkan oleh kedua-dua karya sastera ini juga mempunyai persamaan, iaitu tentang perjuangan menentang kezaliman dan juga persoalan tentang kekuasaan dan kekayaan yang menjadi kemegahan seorang pemimpin. Persamaan ini menyebabkan simbol yang dipilih oleh pengarang menjadi agak klise atau stereotaip. Pembaca juga dapat mengagak dengan mudah mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang. Pembaca kehilangan keterujaan atau tidak adanya elemen saspens tatkala membaca karya ini.
Perkara inilah yang perlu diambil perhatian oleh pengarang dalam penulisan karya pada masa akan datang. Pengarang perlu mencari kelainan atau jati diri dalam penulisan untuk lebih diraikan kehadirannya dalam dunia sastera. Benjamin Asin mempunyai keupayaan untuk menulis sesuatu yang berbeza berdasarkan beberapa cerpennya sebelum ini.
Toni Morrison, seorang penulis Afro-Amerika (1931) pernah menegaskan: Bila ada sebuah buku atau cerita yang ingin kau baca, tetapi buku itu belum lagi ditulis, maka engkaulah yang mesti menulisnya. Franz Kafka yang popular dengan novelnya The Methamorphosis menegaskan bahawa cerita seharusnya menjadi alat pemecah ais untuk memecahkan lautan ais dalam diri seseorang penulis. Maknanya, seseorang pengarang perlu membina plot atau naratif yang menarik atau berbeza untuk meletakkan karya sebagai karya terbaik.
Dalam cerpen “Tandu”, pengarang cuba mengembangkan plot dengan membina watak Puteri Besar. Namun kehadiran watak tersebut tidak memberikan jalinan yang berbeza pada naratif cerpen berkenaan. Puteri Besar merayu supaya Putera Kecil dibebaskan walaupun tidak bersetuju dengan pandangan kekasihnya. Dia tidak mahu kekasihnya berasa terseksa apabila dijerat dalam bubu besi beroda. Namun Maharagajah yang tidak mahu melanjutkan ‘lakonan’ Putera Kecil mahu semua itu dihentikan supata Puteri besar membuat pilihan sama ada memilih ‘kekuasaan’ atau ‘cinta’. Maharagajah telah bertindak dengan membutakan mata Putera Kecil. Penyusunan naratif yang dilakukan oleh pengarang semuanya untuk mengangkat mesej yang ingin ditonjolkan melalui cerpen berkenaan. Mesej menjadi keutamaan daripada jalinan plot atau kelogikan cerita yang disusun. Tidak perlu dipersoalkan kewajaran tindakan Maharagajah. Tidak perlu ditanya kelogikan tindakannya. Pengarang ingin menyampaikan mesej bahawa dalam dunia politik, semuanya mungkin terjadi biarpun di luar batas kelogikan atau kerasionalan. Apa yang dipentingkan adalah kekuasaan selari dengan mesej melalui dialog Maharagajah ini :
“Pesanku kepada semua, sampai masanya nanti anda akan berada di atas tandu ini. Di atas ini, tiada lagi disebut cinta kasih sayang, cinta sayang dan cinta kasih sesama manusia. Di atas ini, hanya bijaksana, cinta harta benda dan cinta kuasa menjadi keutamaan. Tandu ini menjadi paling beerti bagi manusia kerana ketinggian takhtanya dan kuasa anarkiku.” Tambah Maharagajah lagi.
Selain itu, antara mesej utama yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam cerpen ini ialah tentang ‘cinta’ dalam dunia politik yang sentiasa berbolak-balik berdasarkan kelemahan atau kepentingan tertentu. Semua itu disampaikan oleh pengarang melalui watak Puteri Besar. Dalam politik, tidak adanya cinta sejati. Semuanya boleh berubah sekelip mata. Pengarang bijak menyampaikan setiap mesej itu melalui simbol watak yang diciptanya dan juga melalui dialog yang diucapkan. Umpamanya dialog Puteri Besar cuba mengungkapkan mesej tersebut :
“Putera Kecil, aku minta maaf. Aku telah bertanya kepada hatiku sendiri. Aku tidak menginginkan kekasihku adalah si buta. Tak pernah dalam diari hidupku mengimpikan hidup tanpa mata. Walaupun dirimu bijaksana, namun tanpa mata, kau tak akan ke manapun. Kau pun memerlukan bantuan sepenuhnya daripada sesiapapun, janji bukan aku. Ambillah beg hitam ini sebagai gantiku,” terang Puteri Besar dengan hati yang berat.
Dalam penghasilan sesebuah cerpen, perkara yang sering menjadi masalah kepada penulis ialah bagaimana hendak mengakhiri sesebuah cerpen berkenaan. Bagaimana penulis itu mampu menamatkan konflik yang dibina? Adakah pengakhiran yang ditulis itu mampu memberikan kesan kental atau impak gempak kepada pembaca. Pengarang cerpen “Tandu” memilih untuk mengakhiri cerpennya dengan sebuah persoalan yang mudah tetapi mengajak pembaca mencermin diri sendiri – siapa diri mereka dan di mana mereka berpijak? Pembaca bukan hanya menjadi pembaca tetapi juga cuba mengaitkannya dengan kehidupan. Perkara ini pernah ditegaskan oleh D.H. Lawrence, seorang penulis Inggeris pada tahun 1885-1930 bahawa kebijakan seorang penulis apabila menjadikan pembaca berada dalam cerita yang dihasilkan. Perhatikan ayat pengakhiran ditulis oleh pengarang cerpen “Tandu” ini:
Jadi, persoalannya sekarang, adakah anda yang membaca ini adalah Putera Kecil atau Maharagajah?
Kesimpulannya, cerpen “Tandu” ini boleh dikategorikan sebagai cerpen kiasan atau ilustrative berdasarkan beberapa ciri yang dikenal pasti. Pertama, cerpen ini tidak mementingkan plot dan ini terbukti melalui penyusunan plotnya yang mudah sahaja. Kelonggaran plotnya dapat dikesan apabila hubungan sebab dan akibat tidak terjalin dengan kemas. Hubungan suatu peristiwa dengan peristiwa berikutnya tidak berkait erat dan seolah-olah diada-adakan.
Melalui ciri yang kedua, konflik dalam cerpen-cerpen ini tidak besar atau hanya bersifat dalaman. Cerpen ini tidak menjelaskan bentuk konfliknya kerana masih berlegar di sekitar falsafah atau mesej yang hendak dsampaikan.
Ciri ketiga, cerpen ini tidak menawarkan penyelesaian yang konkrit atau penyelesaiannya terlalu mudah dan tidak berlaku secara fizikal. Manakala ciri keempat dalam cerpen ini adalah melalui keanehan dan ketidaklogikan hubungan. Semua ini dilakukan untuk meminggirkan bentuk realisme dan mengejutkan pembaca agar tidak sekadar menerima makna pada lapisan pertama sebaliknya cuba mencari makna yang tersembunyi (hidden meaning).
Tuntasnya, cerpen “Tandu” membawa mesej yang tersirat, yakni perlu dilihat dari sudut pandangan bertamsil kerana bentuknya yang illustrative, yakni tidak memaparkan realiti secara lengkap tetapi hanya menyentuh aspek realiti yang tertentu dan dibentangkan secara kiasan. Bentuk illustrative ini pula dicerna dalam corak alegori, iaitu suatu genre yang membawa makna lain daripada cerita teks. Selain itu, simbolisme juga digunakan dalam sebahagian teksnya. Simbolisme juga mempunyai makna yang lain daripada cerita paparan (surface meaning) tetapi lebih liar (elusive) dan umum maksudnya. Pengarang ingin menyampaikan kritikan dan ketidakpuasan tentang hal yang sensitif agar tidak begitu menyinggung pihak yang terbabit. Ini juga berfungsi untuk mengelakkan stereotaip dalam penyampaian mesej jika berterusan menggunakan corak realisme.
Sedikit kelainan yang digarap oleh pengarang telah menimbulkan kejutan kepada pembaca yang mahu berfikir. Pembaca diajak untuk mencari makna atau idea yang tersembunyi kerana memang idealah yang lebih penting berbanding dengan ceritanya. Ceritanya cuma kiasan – terbungkus dalam alegori dan terbina dengan simbolisme.
Benjamin Asin – pengarang cerpen “Tandu” telah membuktikan keupayaannya sebagai penulis muda yang menjanjikan pada masa akan datang. Hanya masa dan usaha berterusan daripadanya yang akan menentukan kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.