DALAM Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024, Donald Trump (gambar) dari Parti Republikan telah memenangi 270 undi elektoral yang diperlukan untuk kembali ke Rumah Putih.
Terkini, Trump memenangi 312 undi electoral, manakala Kamala Harris dari Parti Demokrat, memperoleh 226 undi electoral.
Trump memperoleh undi sebanyak 50.4 peratus iaitu 74,834,277 undi manakala Kamala Harris memperoleh 48 peratus undi bersamaan 71,239,855 undi.
Memahami sistem elektoral
Amerika Syarikat mengamalkan sistem undi elektoral yang merujuk kepada pemilihan bukan semata-mata berdasarkan undi popular (jumlah undi rakyat) tetapi melalui undi dalam Electoral College.
Cara sistem tersebut berfungsi terdiri daripada empat aspek penting.
Yang pertama berdasarkan pembahagian undi elektoral, iaitu setiap negeri mempunyai sejumlah undi elektoral yang ditentukan berdasarkan jumlah penduduknya, merangkumi jumlah anggota di Dewan Perwakilan dan Senat.
Secara keseluruhannya, terdapat 538 undi elektoral di Amerika Syarikat.
Kedua, bagi keperluan untuk menang bagi memenangi Pilihan Raya Presiden, seorang calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya 270 undi elektoral iaitu lebih separuh daripada 538 untuk menjadi presiden.
Sistem ‘winner takes all’
Yang ketiga, berkonsepkan Sistem ‘Winner-Takes-All’.
Di kebanyakan negeri, calon yang mendapat undi popular terbanyak akan memenangi kesemua undi elektoral di negeri tersebut.
Sebagai contoh, jika calon A menang undi popular di Florida, calon A akan memperoleh semua undi elektoral Florida.
Namun begitu ada beberapa negeri seperti Maine dan Nebraska yang menggunakan sistem proporsional yang antara lain calon yang menang undi popular di setiap daerah negeri Maine dan Nebraska akan menerima satu undi elektoral dari daerah tersebut.
Calon yang memperoleh undi popular terbanyak seluruh negeri Maine dan Nebraska akan diberikan dua undi elektoral dan dua undi ini mewakili dua senator negeri tersebut dalam kongres.
Namun jika seorang calon mungkin menang di seluruh negeri dan menerima dua undi elektoral negeri tetapi kalah di salah satu daerah kongres, menyebabkan undi elektoral di daerah itu diberikan kepada calon lawan.
Bermakna ini memberikan calon lawan peluang untuk menerima beberapa undi elektoral walaupun tidak menang keseluruhan undi popular negeri tersebut.
Sistem proporsional memberi lebih banyak perwakilan kepada setiap daerah dan membolehkan suara pengundi di daerah yang berbeza diwakili secara adil dalam undi elektoral.
Yang keempat undi elektoral penting kerana sistem ini menyebabkan negeri-negeri tertentu yang dianggap ‘swing states’ atau medan pertempuran seperti Florida, Pennsylvania, dan Michigan menjadi penting, kerana undi elektoral di negeri-negeri ini boleh menentukan keputusan akhir Pilihan Raya Presiden.
Ternyata undi elektoral merupakan mekanisme yang mengimbangkan kuasa dalam pemilihan presiden, memastikan bahawa calon presiden perlu mendapat sokongan dari pelbagai kawasan negeri, bukan hanya bergantung pada jumlah undi popular sahaja.
Analisis kemenangan Trump
Kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024 boleh dikaitkan dengan beberapa faktor utama khususnya mengenai kebimbangan ekonomi rakyat Amerika yang berasa ketidakpuasan terutamanya kadar inflasi tinggi di bawah pentadbiran sebelumnya.
Ini memainkan peranan penting dalam melonjakkan kempen Trump secara berkesan bagi menangani kebimbangan ini dengan menarik perhatian pengundi yang mencari kestabilan ekonomi.
Pendekatan tegas Trump terhadap imigresen menarik minat pengundi yang bimbang tentang keselamatan sempadan dan reformasi imigresen, mengukuhkan imejnya sebagai pemimpin yang komited terhadap keselamatan negara.
Perubahan undi Latino
Trump berjaya menarik sokongan golongan Latino yang bekerja di sektor pembinaan perniagaan dan pembuatan yang beralih menyokongnya berbanding pilihan raya sebelumnya.
Melalui dasar ekonomi yang menekankan perlindungan pekerjaan, sokongan kepada perniagaan kecil, dan pengurangan cukai, Trump menawarkan penyelesaian yang relevan kepada isu dihadapi oleh golongan ini.
Perubahan demografi ini menyumbang kepada kejayaannya di negeri-negeri penting.
Golongan latin terutama generasi kedua atau ketiga yang sudah berintegrasi dalam masyarakat Amerika dan lebih mengutamakan kestabilan ekonomi dan sosial untuk keluarga mereka.
Undi luar bandar
Peningkatan kehadiran pengundi di kawasan luar bandar dan pinggir bandar adalah faktor yang memberikan Trump kelebihan dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Trump berjaya mempertahankan dan bahkan memperkukuh sokongan di kawasan ini dengan strategi yang membangkitkan kebimbangan terhadap isu budaya dan sosial, sekali gus menekankan nilai-nilai tradisional yang mendapat sambutan baik dalam kalangan pengundi luar bandar dan pinggir bandar.
Mereka sering berasa dasar yang terlalu progresif atau perubahan budaya yang pantas boleh menggugat nilai-nilai masyarakat tradisional.
Trump menonjolkan dirinya sebagai suara yang memahami keperluan masyarakat luar bandar dan pinggir bandar.
Dengan mendakwa akan memberi perhatian khusus kepada komuniti ini dan berjaya mendapatkan sokongan mereka.
Tambahan pula, kebimbangan terhadap ekonomi luar bandar, termasuk sektor pertanian dan industri kecil, diselaraskan dalam dasarnya yang memberi jaminan untuk melindungi pekerjaan dan industri tempatan.
Kawasan bandar sering menjadi medan yang Trump mendapat tentangan lebih besar, terutama kalangan pengundi muda dan progresif yang menolak kebijakan konservatifnya. Namun, kehadiran pengundi yang lebih tinggi di luar bandar dan pinggir bandar membantu mengimbangi undi bandar yang menentangnya, terutamanya di negeri-negeri medan pertempuran seperti Pennsylvania, Wisconsin, dan Michigan.
Fokus kepada pengundi kelas pekerja
Satu strategi utama yang membantunya memperoleh sokongan daripada golongan kelas pekerja dengan menekankan dasar ekonomi yang memberi keutamaan kepada ‘America First’ yang bermaksud memfokuskan pada penciptaan pekerjaan domestik dan melindungi ekonomi daripada persaingan asing yang tidak adil.
Dalam kempen 2024, Trump berjanji untuk memperkenalkan dasar yang memotong cukai bagi syarikat yang membuka kilang dan peluang pekerjaan di AS, terutamanya di kawasan industri yang terjejas akibat penutupan kilang.
Selain itu, beliau juga menjanjikan insentif untuk syarikat yang memindahkan pengeluaran mereka kembali dari negara luar.
Trump kerap mengkritik perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang menurutnya, menyebabkan banyak syarikat Amerika memindahkan operasi mereka ke luar negara untuk mengurangkan kos buruh, seterusnya mengakibatkan kehilangan pekerjaan di AS.
Naratif cakna rakyat
Menurut kajian oleh Economic Policy Institute, kira-kira 4 juta pekerjaan dalam sektor pembuatan hilang di Amerika Syarikat antara 2000 hingga 2015, dengan sebahagian besar berpindah ke negara-negara dengan kos buruh lebih rendah, seperti Mexico dan China. Trump menggunakan statistik ini untuk mengukuhkan naratif bahawa perjanjian perdagangan global merugikan kelas pekerja Amerika.
Trump menggunakan statistik kajian McKinsey, iaitu kira-kira 30 peratus daripada pekerjaan di sektor pembuatan berpotensi digantikan oleh automasi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Maka ini digunakan untuk menunjukkan kepentingan pelaburan dalam latihan kemahiran semula, sekali gus menarik sokongan pengundi yang bimbang akan masa depan mereka dalam pasaran pekerjaan yang semakin dipacu teknologi.
Penguatkuasaan tarif terhadap barangan import, terutamanya dari China, dengan tujuan melindungi industri tempatan daripada persaingan luar negara juga dijadikan bahan kempen Trump untuk menarik undi dan ini memberi keyakinan kepada sektor pembuatan Amerika dan membantu mengekalkan pekerjaan dalam negara.
Pemilihan Presiden Amerika sangat sengit dan Trump banyak menggunakan strategi menumpukan terhadap pengundi luar bandar, kelas pekerja dan isu ekonomi dan keselamatan negara untuk menarik undi.
Di kala Kamala Harris dilihat terbuka dan terkedepan, Trump pula memainkan sentimen kenaikan harga keperluan asas dan kos hidup rakyat semakin tinggi dan kebimbangan yang dicetuskan ini berjaya menarik undi.
Trump menonjolkan imej sebagai adiwira untuk memulihkan ekonomi masa depan Amerika meskipun tiada jaminan akan berjaya sepenuhnya!
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).