MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dipenuhi dengan politik sentimen.
Ia merupakan suatu strategi memainkan emosi, perasaan, boleh mengugat hati nurani masyarakat lebih-lebih lagi dikaitkan dengan sentimen Melayu. Sentimen adalah ungkapan yang boleh menggugat kasih sayang, menyentuh perasaan atau emosi.
Ia juga boleh dikatakan pemikiran, pendapat atau idea berdasarkan perasaan tentang sesuatu situasi atau cara berfikir mengenai sesuatu.
Sentimen berupa perasaan yang kelihatan tulus dan halus, namun belum tentu benar atau tepat.
Bagaimanapun, ia cenderung dipengaruhi oleh emosi daripada akal atau fakta.
Ternyata politik sentimen mengacu pada penggunaan atau manipulasi perasaan, pendapat dan emosi sesebuah kelompok manusia bagi mencapai tujuan politik atau penguasaan kekuasaan.
Dalam politik sentimen, fokus utama adalah untuk memanipulasi pandangan dan perasaan masyarakat terhadap isu-isu politik, individu atau parti tertentu.
Kaedah ini sering kali melibatkan penggunaan retorika yang kuat, naratif bersifat emosional dan penyebaran maklumat yang belum tentu tepat atau objektif.
Misalnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu ‘kehilangan segala-galanya’ selepas beliau tidak menjadi Perdana Menteri.
Begitu juga dakwaan Menteri Besar Kelantan menyatakan yang menentang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ialah mereka yang menentang perjuangan Islam.
Mempengaruhi pandangan awam
Dalam politik sentimen, tujuannya sedemikian adalah untuk mempengaruhi pandangan awam, merangsang dukungan dan sokongan serta memacu ketidaksetujuan terhadap hal-hal tertentu.
Berdasarkan pilihan raya negeri antara strategi yang digunakan dalam politik sentimen termasuk penggunaan emosi yang memberikan penekanan isu-isu yang mengundang emosi kuat, seperti rasa takut, kemarahan, simpati atau bahagia.
Ini dapat membuat sesetengah orang Melayu berasa terhubung secara emosional dengan kenyataan atau naratif yang disampaikan seperti naratif kononnya Melayu sedang terancam jika diperintah oleh Pakatan Harapan (PH).
Pembentukan naratif atau cerita yang mencetuskan pendapat awam tersebut adalah salah satu strategik tersebut.
Kadangkala yang diungkap dan disebarkan adalah maklumat yang tidak tepat atau mengandungi unsur manipulasi untuk mempengaruhi pandangan masyarakat.
Mereka yang terlibat ini mencipta polarisasi, iaitu memperbesar-besarkan perbezaan antara kelompok dan menciptakan konflik untuk memperoleh dukungan daripada kelompok tertentu.
Misalnya membina nararif kononnya Kedah tidak dilayan adil dalam isu pembangunan.
Selain itu, mainan sentimen dengan kempen memburuk-burukkan lawan bagi tujuan untuk merosakkan reputasi lawan politik dengan merujuk pada mereka dengan nama atau jolokan yang merendahkan seperti ‘tidak cukup inci’.
Terdapat juga penggunaan simbol, slogan yang memiliki daya tarik emosi misalnya Perikatan Nasional (PN) Bersih dan Bersih iaitu strategi untuk mengingatkan kepada masyarakat kononnnya parti mereka mempunyai nilai-nilai tersebut.
Kesan politik sentimen
Bagi orang politik, sentimen mampu meningkatkan penyertaan dalam politik kerana mampu mencetuskan kesedaran untuk terlibat dalam proses politik.
Sentimen dan naratif yang kuat secara emosional dapat menggerakkan orang untuk mendukung atau menyertai dalam isu-isu yang sebelum ini mereka kurang peduli.
Penekanan pada isu penting dengan memanfaatkan emosi dan perasaan, politik sentimen dapat membantu menyoroti isu-isu penting yang mungkin terabai dalam wacana politik lazim.
Maka ini dapat membantu mengarahkan perhatian awam pada masalah yang memerlukan penyelesaian.
Politik sentimen juga dapat memberikan suara kepada kelompok yang biasanya kurang didengar atau diwakili dalam proses politik.
Ungkapan yang emosional dapat merangsang empati dan dukungan daripada masyarakat yang lebih luas.
Seterusnya, ini memberikan identiti politik tertentu yang lebih kuat untuk kelompok atau parti tertentu.
Hal ini dapat membantu dalam membentuk pertautan dan solidariti kalangan pendukung parti.
Penggunaan politik sentimen boleh mencetuskan inspirasi untuk perubahan sosial.
Hal ini berlaku dengan slogan, kenyataan yang digunakan untuk menggerakkan emosi mampu menjadi pendorong bagi perubahan sosial yang positif.
Sebenarnya, kempen politik sentimen yang positif berkaitan dengan hak asasi manusia, keadilan sosial, atau isu-isu sosioekonomi semasa dapat mengerakkan perubahan, tindakan dan mengambil langkah untuk perubahan yang lebih baik.
Keburukan politik sentimen
Politik sentimen dianggap amalan atau perlakuan politik tidak sihat kerana ia banyak memanipulasikan emosi masyarakat yang kadang kala dilihat tidak beretika.
Penggunaan retorik yang merangsang perasaan seperti rasa takut, kemarahan atau kebencian mampu mengaburkan aspek rasional dan menggerakan masyarakat untuk bertindak tanpa kematangaan pertimbangan.
Kempen politik sentimen dapat menghasilkan penyebaran maklumat yang tidak tepat atau palsu.
Hal ini boleh mempengaruhi keputusan masyarakat berdasarkan maklumat yang tidak tepat dan ini boleh mempengaruhi kemenangan pilihan raya yang berlangsung.
Maknanya kemenangan dicapai berdasarkan maklumat tidak tepat dan masyarakat terpengaruh dengan fakta yang tidak tepat apabila mengundi mereka sebenarnya dikaburi dengan dengan sentimen semata-mata.
Ketidakstabilan politik berlaku akibat terlalu memanipulasi emosi, sebarang keputusan dan langkah diambil berdasarkan emosi jangka pendek, bukan analisis rasional jangka panjang tentulah merugikan masyarakat dalam membuat keputusan.
Politik sentimen cenderung mengarahkan perhatian pada emosi dan perasaan, bukan pada analisis berdasarkan fakta.
Maka, ia mengabaikan isu sebenar yang memerlukan pemahaman mendalam.
Hal ini menghambat isu yang kompleks yang memerlukan penyelesaian secara saintifik dan rasional.
Perlakuan dan kepercayaan masa depan
Amalan dan perlakuan politik sentimen yang menyimpang boleh mencetuskan kehilangan kepercayaan masyarakat terhadap proses politik secara keseluruhan.
Pada akhirnya, apabila menang pilihan raya, namun prestasi ekonomi negeri gagal dilaksanakan maka masyarakat barulah sedar dan ini menyebabkan tanggapan bahawa politik hanya merupakan arena untuk manipulasi dan bukan tempat untuk pembahasan masalah serius dan jujur.
Ketika inilah baru penyesalan berlaku, namun menjelang pilihan raya seterusnya, jika terus terbelenggu dan tidak dapat bergerak ke depan, maka ulangan perlakuan dan amalan akan terus berlaku.
Ternyata politik sentimen mampu menjadi alat yang sangat kuat dalam kempen politik, tetapi juga memberi kesan negatif.
Manipulasi emosi dan penyebaran maklumat yang salah boleh menenggelamkan perbincangan awam yang sihat dan ini akan mencacatkan proses demokrasi.
Justeru, penting bagi masyarakat untuk berfikir kritis, menyemak fakta, dan mencari sumber maklumat yang disemak kesahihan sebelum membentuk pandangan politik mereka.
Penggunaan politik sentimen harus diiringi oleh tanggungjawab dan etika yang kuat, serta perhatian terhadap dampak jangka panjang terhadap masyarakat dan proses demokrasi.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).