SERINGKALI masyarakat sivil dirujuk kepada kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semata-mata.
Namun, definisi dan konsep masyarakat sivil lebih luas daripada aspek tersebut.
Hal ini kerana ia meliputi institusi seperti kesatuan sekerja, institusi sosiopolitik, pertubuhan berdasarkan kepercayaan, persatuan etnik, persatuan kebajikan, yayasan berada di luar kerajaan yang memainkan peranan menyuarakan isu, kepentingan isu tertentu dalam masyarakat.
Masyarakat sivil dianggap sebagai ‘sektor ketiga’ kerana berbeza dengan sektor awam atau kerajaan, bukan entiti sektor swasta seperti perniagaan atau syarikat.
Evolusi
Ahli falsafah Jerman G.W.F Hegel telah mengembangkan makna masyarakat sivik sebagai masyarakat bukan politik yang berperanan dalam menyelesaikan isu atau permasalahan yang boleh diselesaikan tanpa perlu melibatkan Kerajaan Persekutuan atau negeri.
Atau suatu tindakan sosial yang terpisah dengan ruang pemerintah.
Namun perkembangan masyarakat sivil pula menjadi kelompok masyaralat sivil menjadi ejen perubahan sosial, bertindak, menyuarakan dan berhubung antara satu sama lain dengan pemerintahan bagi tujuan memastikan dasar, hala tuju, kesedaran kerajaan lebih baik dan lebih bertanggungjawab.
Istilah masyarakat sivil berasal daripada roman klasik yang pernah digunakan oleh Cicero (106 BCE to 42 BCE) iaitu ‘societas civilis’ yang merujuk kepada komuniti politik yang meliputi lebih daripada satu kota yang ditadbir oleh peraturan undang-undang yang diwujudkan oleh kepesatan urbanisasi yang berbeza dengan penempatan kelompok yang kurang beradapan.
Thomas Hobbes dan John Locke menganggap sumber sosial dan moral adalah sumber kepada keabsahan kerajaan dan ini ada kaitan dengan idea pembentukan masyarakat sivil.
Dianggap sebagai wakil utama Idealisme Jerman abad ke-19, ahli falsafah G. W. F. Hegel mengembangkan pemahaman tentang masyarakat sivil sebagai masyarakat bukan politik.
Bertentangan dengan masyarakat sivil republikanisme klasik, yang umumnya sinonim dengan masyarakat politik, Hegel, seperti yang dilakukan oleh Alexis de Tocqueville dalam buku klasiknya Demokrasi di Amerika, Tocqueville melihat peranan yang berasingan untuk masyarakat dan persatuan sivil dan politik.
Seperti dilakukan oleh Tocqueville, Hegel berhujah bahawa peranan langsung yang dimainkan oleh persatuan ini dalam menyelesaikan masalah bermakna mereka boleh diselesaikan tanpa perlu melibatkan Kerajaan Persekutuan.
Hegel menganggap masyarakat sivil sebagai alam yang berasingan, “sistem keperluan,” yang mewakili “perbezaan yang campur tangan antara keluarga dan negara.”
Peranan masyarakat sivil
Ciri utama masyarakat sivil adalah bebas daripada pengaruh utama dari kerajaan mahupun swasta.
Namun, pada masa sekarang terdapat kelompok masyarakat sivil di belakang mereka dikawal atau dipengaruhi oleh pemerintah atau mendapat dukungan pihak swasta.
Ada pun kerjasama kelompok ini dengan pihak pemerintah adalah untuk memastikan dapat menyumbang secara lebih bermakna agar pihak kerajaan mengambil perhatian dan tidak menganggap mereka sebagai ancaman kepada pihak pemerintah.
Terdapat juga kelompok masyarakat sivil ini terus tidak mahu dilihat dekat dengan pihak kerajaan agar mereka lebih bebas memberikan sikap, pandangan dan pendirian mereka.
Fokus kepada masyarakat sivil lebih kepada kepentingan umum dan isu-isu sosial, persekitaran atau kemanusiaan.
Bergantung kepada tumpuan sama ada alam sektor pembangunan ekonomi, sosial, hak asasi, kesihatan, pendidikan, dasar, politik atau kebajikan.
Ciri penting seterusnya ialah berbentuk organisasi sukarela oleh individu atau kelompok bagi mencapai tujuan bersama.
Penglibatan mereka dalam organisasi ini tidak dipaksa oleh mana-mana pihak.
Pada umumnya, organisasi masyarakat sivil tidak berorientasikan keuntungan kewangan dan semua pendapatan yang mereka peroleh adalah untuk digunakan bagi mencapai misi sosial mereka.
Kelompok ini juga aktif penyertaan aktiviti dalam masyarakat.
Beberapa wadah diwujudkan bagi membolehkan ruang perbincangan, dialog, sesi libat urus bagi menyumbangkan isu penting dalam kelompok masyarakat.
Kelompok ini juga menjadi juru advokasi, penyemak imbang yang berperanan terhadap dasar awam.
Keanekaragam adalah ciri masyarakat sivil yang terpancar dalam sikap dan pendirian, keyakinan, budaya yang diserlahkan dan nilai yang dibawa.
Semangat hormat menghormati antara satu sama lain, meraikan kepelbagaian dan mereka mencuba membangunkan kesepakatan yang bersifat inklusif bagi membina sebuah pembentukan masyarakat yang lebih baik.
Kelompok dalam masyarakat sivil menawarkan sumbangan istimewa mereka berdasarkan kepakaran dan menjadi penyumbang idea kepada pihak kerajaan mahupun swasta.
Meraka membantu memecahkan masalah sosial dan membantu menciptakan perubahan yang lebih baik. Kesedaran awam sangat dipentingkan agar peka mengenai isu sosial, semasa mahupun politik.
Justeru, ini mampu meningkatkan pemahaman awam dan mampu menyuburkan lagi proses demkrasi negara.
Empat pendekatan
Dalam konteks pendekatan fungsional peranan masyarakat sivil adalah untuk mendukung pembangunan sosial dan ekonomi, mengisi ruang atau kelompangan yang tidak dapat disediakan secara berkesan oleh pihak pemerintah atau sektor swasta.
Oleh itu, kelompok ini mampu memberikan perkhidmatan dan dukungan sosial kepada kelompok yang memerlukan.
Bagi memastikan kecekapan dari segi struktur organisasi awam dan swasta, pendekatan struktural adalah relevan.
Ini termasuklah dalam sumbangan membuat analisis kritis keberkesanan struktur organisasi yang ada dan penilaian jaringan yang ada dapat membantu dasar awam serta keterlihatan sosial yang lebih baik.
Penilaian terhadap nilai ideal dapat dilakukan dalam konteks pendekatan normative, iaitu merujuk kepada nilai ideal atau prinsip demokrasi, penyertaan politik, hak asasi manusia dan keadilan sosial.
Pendekatan ini membantu pembangunan masyarakat yang lebih baik sesuai dengan norma yang dikehendaki dan bersifat inklusif.
Pendekatan sejarah pula dapat dianalisis dengan menilai perkembangan masyarakat sivil setempat atau tanahair dari sudut pandang sejarah dengan cara mengidentifikasi cara, peranan, pola dan makna masyarakat sivil telah berubah dari semasa ke semasa serta melihat proses peristiwa sejarah telah membentuk struktur dan identiti tersendiri merujuk kepada zaman atau era.
Misalnya dengan melihat cara pemerintahan era Tun Abdul Taib Mahmud dan Pehin Sri Adenan Satem dalam berdepan dengan aktivitis alam sekitar berbeza mengikut era pemerintahan mereka masing-masing.
Begitu juga pendekatan perbandingan dari pelbagai negeri dan negara dan benua dalam konteks organisasi, tujuan dan impak terhadap negeri atau negara.
Misalnya, situasi masyarakat sivil berdepan dengan pemerintah di negara China, Thailand, Indonesia, Filipina, Nepal berlainan antara satu sama lain.
Penemuan hasil perbandingan ini dapat membantu memahami konteks sosial, politik dan budaya yang mempengaruhi masyarakat sivil di pelbagai tempat.
Sebenarnya banyak kajian mengenai peranan dan sumbangan kelompok masyarakat sivil di Sarawak belum dikaji secara mendalam.
Misalnya, kajian mengenai organisasi seperti ABIM Sarawak, Save Rivers, Keep Green Movement – People Associate Development Education Penan Sarawak, Persatuan Melayu Sarawak dan sebagainya.
Maka, sudah tiba masanya, penulisan yang mendalam diperlukan agar rakyat Sarawak memahami peranan masyarakat sivil dalam pembanguan negeri Sarawak.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).