KONGRES Ekonomi Bumiputera pertama kali diadakan pada 1965 dan diikuti dengan kongres kali ke-2 pada 1968. Sudah tentu suara Sarawak pada 1965 dan 1968 tidak terserlah atau lebih tepat lagi tidak berada dalam arus perdana ketika itu.
Ketika itu pembentukan Malaysia pada 1963, isu utama di Sarawak ketika itu ialah keamanan negeri ini berdepan ancaman komunis dan beberapa tahun selepas pembentukan Kabinet tempatan pertama fokus ialah kestabilan politik dan baru merancang pembangunan.
Sudah tentu yang merancang pembangunan ketika itu adalah dilihat tanggungjawab pusat untuk membantu perancangan yang lebih kerana pengalaman kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 yang lebih awal, menjadikan pengalaman Tanah Melayu lebih lama merdeka, pengalaman lebih lama Merdeka berbanding Sabah dan Sarawak.
Ketika itu, pergantungan terhadap kuasa di pusat bagi merencana pembangunan sangat tinggi. Apa-apa keputusan di Kuala Lumpur ketika itu diharap akan sampai ke Sabah dan Sarawak. Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965 ketika itu berdepan Malaysia yang baru selepas Merdeka yang berdepan dengan kelemahan asas, iaitu perniagaan Bumiputera dan pendidikan yang masih jauh ketinggalan berbanding dengan etnik lain.
SITUASI EKONOMI PASCA-KOLONIAL
Perlu difahami akan hakikat sejarah ekonomi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia selepas itu. Ketika penjajahan kolonial Inggeris, dasar pecah dan perintah menyebabkan orang Melayu tinggal di luar bandar manakala orang Cina di bandar, orang India di estet-estet. Hanya sedikit orang Melayu bekerja di bandar, dan terhad kepada pekerjaan rendah seperti perkeranian dan guru.
Elit bangsawan Melayu yang terbatas berpeluang mendapat sistem pendidikan yang terbaik ketika itu khususnya di MCKK, dan berpeluang melanjutkan pengajian di luar negeri dan balik menjadi elit politik dan bekerjasama dengan Inggeris. Etnik Cina yang banyak tinggal di bandar pula berpeluang menikmati kemudahan pendidikan dan infrastruktur yang lebih baik dan selesa dan tidak mengalami masalah ketiadaan elektrik dan bekalan air bersih. Mereka juga memiliki jaringan perhubungan seperti telefon dan jalan raya, akhirnya menyebabkan kemajuan yang lebih baik.
STATUS EKONOMI CINA
Dari segi ekonomi, orang Cina yang banyak menceburi bidang perniagaan dan ekonomi di serata bandar dan di luar bandar memberikan kelebihan ekonomi kepada mereka. Sektor ekonomi mulai dikuasai dengan pengalaman dunia dagang dari satu generasi ke satu generasi dan kesusahan hidup menjadikan mereka lebih gigih untuk maju. Tambahan pula, mereka yang terlibat dalam dunia ekonomi di bandar berpeluang untuk menjadi kontraktor kecil kepada pedagang-pedagang Eropah.
Kelompok ini menjadi penerima sub-sub kontrak daripada pedagang Eropah bagi membina jalan, bangunan dan pelbagai projek infrastruktur mahupun dalam perdagangan dan perniagaan termasuk menjadi sub pengedar pelbagai bekalan sumber ekonomi kolonial. Pengalaman menjadi sub kontraktor ini sangat berharga kerana dapat mempelajari selok-belok dunia perniagaan yang lebih moden.
PENGAMBILALIHAN
Selepas kemerdekaan negara, pedagang-pedagang Eropah yang sebelum ini memonopoli segala perdagangan dan perniagaan sedikit demi sedikit mulai kembali ke Eropah. Maka kelompok sub-sub kontraktor yang mempunyai pengalaman berurusan dalam dunia ekonomi yang sebelum ini dikuasai Eropah mulai mendapat manfaat. Mereka berpeluang mengambil alih peranan pedagang-pedagang Eropah dan bergerak daripada sub kontraktor kepada menjadi kontraktor. Lama-kelamaan mereka menjadi kontraktor-kontraktor besar.
Perkara ini diikuti dengan usaha mereka mengukuhkan ikatan sesama mereka dengan penubuhan Dewan Perniagaan Cina bagi menjaga kepentingan bersama mereka dalam urusan perdagangan dan perniagaan. Lazimnya Dewan Perniagaan ini dipimpin oleh tokoh perniagaan yang berjaya dan dihormati. Kelompok inilah yang akan memperjuangkan kepentingan bersama dan berurusan dengan pihak luar termasuk orang politik dan kerajaan bagi memudahkan urusan perdagangan dan perniagaan.
KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA PERTAMA
Berdasarkan situasi ekonomi yang kurang memihak kepada masyarakat Bumiputera, maka Kongres Ekonomi Bumiputera pertama diadakan untuk membincangkan betapa ketinggalan ekonomi Bumiputera dan sukar untuk bersaing dengan bukan Bumiputera. Banyak kelemahan ini perlu dilihat dari segi perkara asas sebelum bergerak kepada aspek yang lebih komopleks.
Maka, usul dikemukakan dalam kongres pertama ialah penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memberi fokus kepada pembangunan usahawan dan aspek pendidikan terutama Bumiputera miskin dan luar bandar. Di sinilah kemudiannya, terdapat penubuhan Maktab Rendah Sains Mara, Institut Teknologi MARA (kini UITM) dan beberapa institusi sokongan lain bagi membantu pendidikan golongan Bumiputera.
Pada 1965, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan Bank Bumiputera seperti yang disyorkan oleh Kongres Ekonomi Bumiputera. Tujuan penubuhan Bank Bumiputera ini bertujuan untuk membaiki keadaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar.
Bank Bumiputera akan mengeluarkan bantuan kepada badan-badan perniagaan di lapangan pertanian, perusahaan, perikanan dan lain-lain perdagangan ekonomi kebangsaan bagi seluruh Malaysia. Bank tersebut juga ditubuhkan untuk membantu menubuh, memperluas dan memodenkan badan-badan perniagaan serta menggalak dan memajukan penyertaan modal di dalam dan di luar negeri.
Bank Bumiputera telah ditubuhkan dengan modal yang diluluskan kerajaan sebanyak $20 juta manakala modal sebanyak $15 juta lagi akan diperoleh dengan jualan saham-saham bank kepada orang ramai. Dengan penubuhan Bank Bumiputera ini dapat menggalakkan lagi penglibatan Bumiputera dalam bidang ekonomi negara (Arkib Negara).
Penubuhan Bank Bumiputera Malaysia dilaksanakan untuk memastikan Bumiputera dapat dibantu dalam selok belok perbankan dan lebih penting ialah untuk industri perbankan berperanan bagi mempermudahkan urusan pinjaman dan pelaburan. Sudah pasti yang banyak dilaksanakan ialah urusan pinjaman bagi memudahkan Bumiputera terlibat dalam perniagaan.
KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA KEDUA
Kali kedua kongres ini diadakan ketika terdapat kebimbangan dan cabaran jurang pendapatan kaum yang tinggi dan hasrat untuk memajukan negara dalam sektor pembuatan. Maka, kongres kedua mencetuskan Dasar Ekonomi Baru yang bermula pada 1970. Dalam tempoh sembilan tahun, telah berjaya menurunkan paras kemiskinan Bumiputera kepada 35 peratus pada 1979 berbanding sebelum ini sebanyak 49.3 peratus. Tanpa Dasar Ekonomi Baru (DEB) agak sukar menurunkan paras kemiskinan negara pada ketika itu.
Penurunan tersebut menunjukkan sudah ada pelbagai tekad dan tindakan untuk mengubah status sosioekonomi Bumiputera melalui pelbagai rancangan, program, aktiviti yang telah disasarkan untuk diperkasakan. Mobiliti sosial melalui pendidikan berjaya membentuk masyarakat Bumiputera menjadi modal insan yang berguna kepada negara dan keluar daripada lingkaran masalah kemiskinan.
Kongres ini juga berjaya membawa kepada pembangunan ekonomi melalui Lembaga Tabung yang diberikan kebenaran bagi penubuhan bank Islam dan dikenali kini sebagai Bank Islam Malaysia. Bank ini mampu menyaingi perbankan konvensional yang selama ini dibelenggu dengan isu riba, menyebabkan ramai yang berasa was-was untuk melakukan pinjaman dan membuka perniagaan.
Penubuhan bank ini sesuai dengan keperluan ketika itu, namun pada masa kini, sesuai dengan perubahan tafsiran dalam ekonomi Islam, ia perlu menyemak semula kadar bayaran yang lebih tinggi daripada bank konvensional yang membebankan orang orang Islam sendiri.
Sebenarnya pada 1992 telah diadakan Kongres Ekonomi Bumiputeri ketiga, namun kerajaan hanya mengambil bahagian dan tidak mendapat publisiti yang luas mungkin penganjurnya bukan kerajaan sebaliknya ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu. Pada 2018 diadakan pula Kongres Masa Depan Bumiputera dan negara juga mendapat kurang publisiti mengenainya. Namun Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dilihat lebih banyak maklum balas dan akan dibincangkan pada minggu hadapan.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).