RAMAI memahami kemiskinan tidak lebih sebagai konsep kebendaan, iaitu orang miskin kerana tidak mempunyai sesuatu yang mereka perlukan atau kekurangan sumber untuk mendapat apa-apa yang mereka perlukan. Lazimnya mereka ini terkelompok sebagai tidak mencapai piawai minimum dalam perolehan makanan, perlindungan, pakaian dan khidmat kesihatan.
Namun kemiskinan tidak terbatas kepada satu dimensi sahaja seperti sumber pendapatan, tetapi juga meliputi aspek kehidupan termasuk perumahan, pendidikan dan kesihatan.
ASAL USUL KEMISKINAN MULTIDIMENSI
Amartya Sen, seorang ahli ekonomi mengkritik pendekatan kemiskinan yang menggunakan penilaian kemiskinan daripada aspek analisis kewangan semata-mata.
Pendekatan tersebut dianggap hanya mampu memaparkan sebahagian kecil daripada besarnya masalah kemiskinan. Isu kemiskinan bukan sahaja isu berkaitan kemampuan kuasa beli, pendapatan dan kepenggunaan.
Terdapat dimensi yang lebih luas apabila menilai aspek kemiskinan. Terdapat beberapa fenomena menjelaskan situasi ini. Misalnya, di Uruguay terdapat 13 peratus penduduk berpendapatan miskin tetapi mampu memenuhi keperluan asas mereka. Begitu juga di Indonesia, mengikut ukuran kewangan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Indonesia dianggap miskin namun mereka mampu memenuhi keperluan asas mereka.
Namun terdapat pihak lain meskipun tidak miskin, tidak mampu memenuhi keperluan asas mereka. Ternyata kemiskinan sepatutnya difahami dari segi keupayaan yang dimiliki individu untuk menjalani kehidupan yang memuaskan. Kritikan ini membawa kepada pengenalan pembangunan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 1990.
HDI melampaui pendapatan untuk mempertimbangkan dimensi kesejahteraan lain, seperti kesihatan dan pendidikan. Selepas 1990-an, terdapat penemuan yang semakin banyak yang mendapati pengukuran seperti HDI tidak sepenuhnya dapat mewakili keseluruhan kompleksiti kemiskinan.
Kritikan ini kemudian membawa kepada pembangunan indeks kemiskinan multidimensi (Multi Dimention Poverty Index), yang secara khusus mempertimbangkan beberapa dimensi kesejahteraan. Salah satu MPI yang paling banyak digunakan adalah Indeks Kemiskinan Berdimensi Pelbagai Alkire-Foster (MPI), yang dibangunkan oleh Sabina Alkire dan James Foster pada 2007.
Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) adalah alat yang digunakan untuk mengukur kemiskinan multidimensi. MPI ini dikembangkan oleh Inisiatif Kemiskinan dan Pembangunan Manusia Oxford (OPHI) dan digunakan oleh Program Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam Laporan Pembangunan Manusia tahunan.
TIGA DIMENSI
Indeks Kemiskinan Multidimensi mempunyai 10 indikator yang dikelompokkan ke dalam tiga dimensi, iaitu kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan. Kesihatan misalnya daripada aspek kematian kanak kanak dan penjagaan kesihatan ketika mengandung.
Dimensi kedua ialah pendidikan yang meliputi tahun persekolahan dan kehadiran. Tahap kehidupan kemampuan mempunyai bahan bakar masak, elektrik, lantai, air, dan sanitasi. Berdasarkan 10 indikator tersebut, seseorang itu dianggap berada dalam kelompok miskin multidimensi jika mereka kekurangan tiga daripada sepuluh penunjuk tersebut. Skor Kemiskinan Multidimensi (MPI) untuk sebuah negara adalah jumlah purata ketidakcukupan yang dialami bagi setiap orang di negara tersebut.
PRINSIP KEMISKINAN MULTIDIMENSI
Kemiskinan adalah fenomena yang kompleks dan berwajah ganda yang melibatkan lebih daripada sekadar kekurangan sumber kewangan. Pemahaman terhadap kemiskinan dalam dimensi yang lebih luas adalah penting untuk merangkumi aspek-aspek yang tidak hanya terbatas pada isu pendapatan.
Konsep kemiskinan multidimensi mencerminkan realiti bahawa kemiskinan juga melibatkan kekurangan akses kepada keperluan asas dan permasalahan berkaitan kuasa serta suara.
Pertama, kemiskinan multidimensi menunjukkan aspek kekurangan kewangan hanyalah sebahagian kecil dari persoalan. Kemiskinan juga melibatkan kekurangan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, sanitasi dan tempat tinggal.
Sebagai contoh, seseorang mungkin mempunyai pendapatan yang rendah tetapi juga menghadapi kesukaran dalam mengakses pendidikan yang berkualiti atau penjagaan kesihatan yang memadai, menjadikannya miskin dari segi dimensi-dimensi tersebut.
Kedua, konsep ini menekankan bahawa kemiskinan adalah konteks-spesifik. Pengalaman kemiskinan dapat berbeza-beza dari tempat ke tempat dan dari individu ke individu. Sebagai contoh, kemiskinan di kawasan perkotaan mungkin melibatkan isu seperti kekurangan perumahan yang layak dan akses terhadap pekerjaan stabil, sementara di kawasan luar bandar, masalah kemiskinan mungkin berkaitan dengan kekurangan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Ketiga, kemiskinan adalah dinamik dan boleh berubah sepanjang masa. Faktor seperti kemelesetan ekonomi, bencana alam dan konflik dapat mempengaruhi dan mengubah tahap kemiskinan sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi atau bencana alam dapat menyebabkan peningkatan tajam dalam kadar kemiskinan dalam jangka masa pendek.
Pendekatan multidimensi terhadap kemiskinan memahami bahawa fenomena ini melibatkan lebih daripada sekadar kekurangan kewangan. Dengan memahami dimensi-dimensi yang lebih luas ini, kita dapat mengembangkan strategi dan dasar yang lebih holistik dan berkesan untuk mengatasi kemiskinan dalam semua aspeknya.
PELBAGAI KEMISKINAN MULTIDIMENSI
Seorang kanak-kanak yang mengalami kekurangan pemakanan dan tidak memiliki akses kepada air bersih menghadapi kemiskinan multidimensi. Ini bukan hanya tentang ketidakmampuan keluarga untuk menyediakan makanan yang mencukupi, tetapi juga melibatkan kekurangan asas seperti akses kepada sumber air yang bersih. Anak tersebut mungkin mengalami kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal dan perkembangannya, merangkumi dimensi kesihatan dan akses kepada sumber-sumber asas.
Seorang wanita yang buta huruf dan tidak memiliki akses kepada penjagaan kesihatan menggambarkan kemiskinan multidimensi. Kekurangan literasi boleh menghalang akses kepada pelbagai perkhidmatan kesihatan dan maklumat, merangkumi dimensi pendidikan dan kesihatan.
Wanita tersebut mungkin menghadapi cabaran yang serius dalam memahami maklumat kesihatan dan mengakses rawatan berkualiti, yang mana kesemuanya merupakan ciri-ciri kemiskinan yang bersifat multidimensi.
Sebuah keluarga yang tinggal di kawasan setinggan sesak tanpa elektrik atau sanitasi adalah contoh nyata kemiskinan multidimensi. Keadaan tempat tinggal yang tidak layak mencakupi aspek-aspek standard hidup seperti akses kepada elektrik, sanitasi dan ruang yang selesa. Keluarga ini mungkin menghadapi ketidakstabilan dalam kehidupan seharian mereka, yang melibatkan dimensi tempat tinggal dan standard hidup.
GAMBARAN KEMISKINAN MULTIDIMENSI
Dalam konteks kampung di sebuah negara membangun, realiti kemiskinan sering kali mencerminkan ketidakmampuan keluarga untuk memenuhi keperluan asas. Keluarga menghadapi cabaran untuk mendapatkan akses kepada air bersih, sanitasi dan elektrik, yang semuanya merupakan faktor kunci dalam memastikan kesejahteraan harian. Selain itu, kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan turut menjadi isu penting, menghambat perkembangan keluarga tersebut secara menyeluruh.
Di sisi lain, kawasan setinggan di sebuah negara maju mendedahkan realiti kemiskinan yang berkaitan dengan sesak, keadaan perumahan yang buruk, dan tingginya kadar jenayah. Penduduk di kawasan ini mungkin menghadapi ketidaksetaraan akses terhadap peluang pekerjaan dan perkhidmatan sosial yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup. Dengan itu, walaupun berada dalam negara maju, mereka mungkin terus mengalami keterpinggiran dan ketidaksetaraan ekonomi dan sosial.
Seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga melibatkan dimensi kekurangan yang lebih mendalam. Di samping kekurangan keselamatan fizikal dan emosi, mangsa mungkin mengalami kesukaran dalam mendapatkan akses kepada sumber-sumber kewangan dan kawalan terhadap kehidupannya. Ini mewakili satu contoh yang menyentuh aspek hak asasi manusia dan keadilan sosial.
WAJAH KEMISKINAN MULTIDIMENSI
Seorang kanak-kanak yang mempunyai kecacatan berhadapan dengan cabaran unik dalam pendidikan, pekerjaan dan penyertaan sosial. Diskriminasi dan marginalisasi boleh menjadi pengalaman umum bagi mereka, yang sering kali menyulitkan perkembangan potensi mereka dan mengehadkan peluang hidup mereka.
Warga tua yang tinggal seorang diri pula berpotensi menghadapi kesulitan berkaitan usaha memenuhi keperluan harian seperti makanan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan. Selain daripada aspek praktikal, kesunyian dan berputus asa turut menyelubungi kehidupan mereka, menonjolkan isu-isu kesejahteraan emosional dan sosial.
Berdasarkan ini, ia merupakan gambaran kemiskinan multidimensi yang merangkumi kepelbagaian cabaran dihadapi individu dan keluarga dalam keadaan kemiskinan. Ia menegaskan keperluan untuk pendekatan holistik dalam merancang strategi dan dasar-dasar yang dapat membantu mengatasi kompleksiti kemiskinan dalam semua aspeknya.
Kesemua ini membuktikan bahawa kemiskinan bukan sahaja berkaitan dengan kekurangan pendapatan, tetapi juga melibatkan kekurangan akses kepada keperluan asas dalam pelbagai dimensi kehidupan.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).