BUDAYA tinggi merujuk kepada hasil ciptaan manusia dalam bidang kesenian, kesusasteraan, falsafah dan warisan intelektual yang dinilai sebagai bermutu tinggi dalam sesebuah tamadun.
Ia sering dikaitkan dengan estetika serta ketinggian nilai moral dan intelektual.
Budaya tinggi melibatkan karya-karya yang dianggap mendalam, simbolik, serta memiliki makna yang kompleks, sering memerlukan pemahaman yang mendalam dalam bidang kesusasteraan, seni, muzik, atau falsafah untuk dihargai sepenuhnya.
Selain itu, budaya tinggi biasanya dipelihara oleh golongan elit atau intelektual dalam masyarakat, tetapi tujuannya bukan semata-mata untuk elitisme, melainkan untuk menyampaikan nilai-nilai murni dan warisan kepada seluruh masyarakat.
Ia mencakupi bentuk-bentuk seni seperti lukisan klasik, muzik orkestra, tarian tradisional dan sastera kanon, yang dihargai kerana kehalusan dan kualiti estetika mereka.
Contohnya, karya-karya Shakespeare, lukisan Renaissance, atau simfoni Beethoven sering dirujuk sebagai sebahagian daripada budaya tinggi.
PERBEZAAN SOSIAL
Budaya tinggi sering dilihat sebagai hasil perbezaan sosial yang juga difahami sebagai hasil konstruksi sosial yang dibentuk oleh golongan status tinggi untuk membezakan diri mereka daripada kelas sosial lain.
Teori Bourdieu (1984) yang menekankan konsep legitimate culture adalah kunci untuk memahami bahawa budaya tinggi tidak mempunyai definisi objektif, tetapi dicipta oleh proses perbezaan sosial melalui pemilihan budaya tertentu seperti muzik klasik, seni visual dan sastera yang “diakui” sebagai budaya tinggi oleh golongan elit dan institusi yang berwibawa seperti universiti.
Di Malaysia, institusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan penting dalam membentuk dan mempromosikan sastera kebangsaan yang diakui sebagai budaya tinggi, seperti karya-karya sasterawan negara dan penulisan bermutu tinggi.
Penulisan-penulisan ini sering dianggap sebagai hasil seni yang berprestij dan mewakili nilai-nilai moral serta budaya yang dipertahankan oleh golongan intelektual.
Dalam konteks muzik tradisional Melayu, muzik seperti gamelan dan mak yong sering dipersembahkan di acara-acara rasmi dan kalangan golongan elit sebagai simbol warisan budaya tinggi yang dipelihara oleh institusi seni dan kerajaan.
Di Indonesia pula, sejak zaman penjajahan Belanda, Balai Pustaka telah berperanan dalam membentuk karya sastera Indonesia yang dianggap berkualiti tinggi, seperti karya Pramoedya Ananta Toer berjudul Pemburuan hasil daripada sayembara dianjurkan oleh Balai Pustaka.
Karya-karya ini diangkat sebagai simbol budaya intelektual dan dikenali dalam kalangan golongan elit akademik, manakala muzik gamelan Jawa, dianggap sebagai budaya tinggi dalam konteks istana keraton dan upacara tradisional, muzik gamelan dinilai sebagai warisan seni yang memerlukan pemahaman dan latihan mendalam.
LOGIKA BUDAYA KLASIK DAN MODEN
Budaya tinggi dalam masyarakat Barat muncul melalui dua logika utama, iaitu logika klasik dan logika moden.
Logika klasik berasaskan kriteria seperti moral, intelektual, kerumitan, dan bersifat malar segar (evergreen).
Aspek ini termasuklah pengiktirafan karya seni yang dianggap sebagai “kanon”, “karya agung” atau yang telah bertahan sepanjang zaman, seperti seni rupa klasik dan muzik klasik.
Sementara itu, logika moden muncul pada abad ke-19, dan memberi tumpuan kepada inovasi, keaslian, dan “form over function” (bentuk melebihi fungsi), iaitu seni mula dinilai bukan hanya berdasarkan moral tetapi juga kecemerlangan estetika dan pembaharuan bentuk.
Di negara kita, seni bina Masjid Negara dianggap mewakili logika klasik dengan senibina Islam yang penuh makna simbolik, moral dan keabadian.
Pada masa sama, reka bentuk moden dalam elemen seni bina masjid baru seperti Masjid Besi di Putrajaya menunjukkan inovasi dan keaslian, sesuai dengan logika moden.
Dalam konteks seni visual moden, artis seperti Latiff Mohidin menggabungkan elemen tradisional dan moden dalam lukisannya, mencipta seniavant-garde yang diterima sebagai budaya tinggi, tetapi juga menghormati nilai seni klasik.
Di Indonesia, candi Borubudur dianggap sebagai warisan seni klasik, dengan kerumitan yang mencerminkan falsafah agama Buddha.
Seni ukiran Borobudur yang telah bertahan berabad-abad melambangkan keabadian budaya tinggi.
Dalam seni lukis moden pula, pelukis Affandi memecahkan tradisi lukisan klasik dengan gaya ekspresionisnya yang berinovasi, memperkenalkan unsur keaslian yang mencerminkan logik moden dalam budaya tinggi Indonesia.
KRITERIA BUDAYA TINGGI
Hakikatnya terdapat beberapa kriteria yang digunakan untuk menilai budaya tinggi, namun tidak semuanya dipersetujui oleh pengkaji seni dan budaya kerana beberapa perkara seperti kerumitan.
Misalnya karya seni atau sastera yang lebih rumit dianggap memerlukan pemahaman mendalam, latihan, dan “selera yang diperoleh” (acquired taste), sehingga membezakan mereka yang mempunyai pendidikan atau pengalaman seni yang lebih mendalam daripada mereka yang tidak.
Dalam konteks kerumitan, muzik nobat diraja yang dimainkan di acara-acara rasmi diraja, memerlukan pemahaman mendalam tentang instrumen-instrumen tradisional dan struktur muzik yang kompleks, menjadikannya sebahagian daripada budaya tinggi.
Di Indonesia, Wayang Kulit, khususnya versi Jawa yang penuh dengan cerita epik dan simbolisme, dianggap sebagai seni yang memerlukan pengetahuan mendalam tentang mitologi dan struktur naratif yang kompleks.
Terdapat juga aspek keaslian dan inovasi yang mengutamakan pembaharuan dalam seni dan menekankan karya yang memecahkan tradisi dan memperkenalkan bentuk baru, seperti seni avant-garde.
Begitu juga karya seni sastera yang bertahan lama atau dianggap “abadi” sering dimasukkan dalam budaya tinggi kerana telah melepasi ujian masa dan dianggap bermutu tinggi dalam jangka masa panjang.
Budaya tinggi kadangkala dikaitkan dengan nilai moral yang lebih tinggi, menunjukkan keunggulan tamadun atau kebaikan rohani, berbanding dengan budaya rendah yang sering dianggap cabul atau tidak bermoral.
Dalam konteks ini, teater moden seperti karya Usman Awang menggabungkan elemen tradisional dengan pementasan moden, mencipta sesuatu yang inovatif tetapi tetap berakar pada budaya klasik.
Di Indonesia, Keroncong, sejenis muzik yang asalnya dari Portugis pada abad ke-16 tetapi diadaptasi menjadi sebahagian daripada budaya Indonesia, menggabungkan elemen keaslian tempatan dan inovasi asing.
RUMUSAN
Dapat dirumuskan bahawa budaya tinggi merangkumi hasil seni dan intelektual yang memiliki nilai estetik, moral, dan kerumitan yang mendalam.
Di Malaysia dan Indonesia, budaya tinggi sering diinstitusikan melalui karya seni tradisional seperti gamelan, nobat, dan wayang kulit, serta sastera dan seni visual yang dikaitkan dengan golongan elit intelektual.
Logika budaya tinggi terbahagi kepada dua, iaitu logika klasik yang menekankan keabadian dan moral, serta logika moden yang menekankan inovasi dan keaslian.
Proses pembentukan dan pemeliharaan budaya tinggi bertujuan bukan sahaja untuk semata pemahaman sempit bersifat elitism semata-mata, tetapi juga untuk menyampaikan nilai-nilai murni dan mendalam kepada seluruh masyarakat, menjadikannya relevan dalam konteks zaman moden dan ini menunjukkan pentingnya merakyatkan budaya tinggi agar diwarisi generasi akan datang.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).