Oleh: Mohidin Haji Malek
HAKIKAT yang dimaklumi umum adalah, kehidupan ini suatu kembara. Kembara yang mendedahkan kita kepada pelbagai rencah perkara. Hal yang sedemikian, pada dasarnya, mematangkan kita untuk mengenali dengan lebih mendalam akan takrif kehidupan itu sendiri serta pelbagai ranah yang menjadikan kehidupan itu sendiri lebih bermakna. Bertitik tolak daripada hal yang sedemikian, aspek pemahaman tentang apa-apa juga aspek dalam kehidupan itu wajib difahami agar kita tidak terperangkap dalam ‘bubu kebebalan’ berpanjangan yang mampu menyesatkan.
Keindahan dalam kehidupan terkawal oleh adab dan peradaban yang dipelihara serta dipertahankan, ibarat sebuah benteng yang kukuh. Adab memberi makna kepada pembentukan sahsiah yang muluk, manakala peradaban pula menjadi panduan yang menyedarkan diri kita akan tafsir manusia dan kemanusiaan. Memahami dan mengekalkan adab dan peradaban, seperti yang dinyatakan awal tadi, mengelakkan kita terus terperangkap dan terkurung dalam ‘bubu kebebalan’.
Jagatraya kepengarangan, wadah ‘dedahan’ peristiwa kehidupan turut terkawal oleh adab dan peradabannya sendiri. Dunia pengarangan luas dan bebas, namun terkawal. Terkawal dalam konteks pengisian pemikiran serta falsafah yang bersifat mengajar serta menyedarkan, di samping penerapan keindahan lewat unsur bentuk dan pemilihan diksi atau kata, pembinaan frasa atau ayat yang gramatis dan ciri-ciri lain. Namun, seperti juga kehidupan, unsur cemar tidak dapat dihindari daripada menerobos serta menyusup melewati sempadan jagatraya kepengarangan yang membangkitkan polemik serta pertelagahan pandangan yang berpanjangan. Demikianlah hakikat yang harus didepani apabila kaki mula menginjak untuk melepasi gapura jagatraya kepengarangan.
Hakikat yang harus diterima secara fikiran terbuka adalah, sesuatu hasil karya yang telah disiarkan atau diterbitkan, bukan lagi hak hakiki penulis, akan tetapi menjadi bahan yang bukan sahaja ditatap dan ditekuni khalayak pembaca, ‘terbuka’ untuk dinilai, diulas malah dikritik. Pengertian tentang kata ‘ulas’ dan ‘kritik’ harus juga difahami terlebih dahulu agar tidak akan timbul kekeliruan. Pun demikian halnya dalam konteks pemahaman tentang kata ‘bimbing’ dalam konteks ruangan akhbar yang agak terbatas medannya dengan ‘bimbing’ dalam erti kata bengkel atau kursus mahupun ‘bimbing’ lewat kaedah ‘mentor/mentee’ agar kita tidak dihantui kebebalan yang perpanjangan.
Sejak akhir-akhir ini, arena kepengarangan menyaksikan pelbagai rencah peristiwa, gelagat, tabii serta inti pati pemikiran khalayak yang bermukim dalamnya. Perkara ini menjadikan ranah kepengarangan semakin galak, di samping berpotensi untuk mendapat tempat dalam kalangan ranah-ranah perdana lain dalam agenda siasah negara. Di samping itu, kemunculan barisan karyawan muda dilihat amat memberangsangkan. Barisan baharu yang berani menerjah garis sempadan ketipikalan dan menerobos ruang-ruang baharu yang lebih mencabar. Walaupun demikian, wajar juga difahami adab dan peradaban kepengarangan oleh angkatan penulis baharu. Menerjah ke dunia penulisan tidak ubah ibarat berkunjung ke rumah orang. Fahami latar belakang tuan rumah dalam konteks budaya dan amalan hidupnya bagi mengelak daripada berlakunya singgungan perasaan akibat kebebalan kita menjaga adab dan keegoan yang menampal tebal.
Ruangan ini, antara contoh yang memperlihatkan usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam dunia kepengarangan, khususnya genre cerpen dan sajak. Malah, cerpen dan sajak yang tersiar diulas, agar disedari akan kelemahan dan kekuatannya. Dari sisi penulis, perlu difahami bahawa keterhadan ruang tidak membenarkan ulasan secara rinci. Akan tetapi seandainya apa-apa yang dinyatakan dapat difahami, dihadam dan diterima secara fikiran yang terbuka luas, akan menyerap serta meresap pengetahuan tentang aspek-aspek tertentu yang perlu diberikan perhatian agar kemahiran berkarya dapat dipertingkat.
Kali ini, fokus kita laraskan terhadap tiga buah sajak yang tersiar pada minggu lepas, iaitu “Bising” nukilan Qaireena Qaleesya Mohd. Fadzly, “Kembali Menyatu” oleh Fadzillah Yusof, dan “Terima kasih Gerimis”, ilham cipta Stainly Santiago. Walaupun ketiga-tiga buah sajak ini membicarakan persoalan yang berbeza, akan tetapi seperkara yang menautkan ketiga-tiganya adalah kata kunci ‘faham’. Dalam konteks pembicaraan makalah ini, pemahaman tentang aspek kehidupan secara meluas.
Sajak “Bising” yang dibina lewat 3 rangkap, berupa suara hati pengarang yang bergelut untuk mendepani desakan pengisian ruang kebahagiaan kehidupan yang kekosongan, hal yang menghimpit jiwa. Suara hati yang bingitgemanya menghadirkan keriuhan atau keributan, akan tetapi, hakikat yang disedarinya, tidak bermakna tanpa adanya kehadiran seorang teman. Hanya wujud kesepian.
Secara keseluruhan, pembinaan rangkap-rangkap sajak ini baik. Walaupun demikian, pada baris terakhir rangkap kedua, iaitu dalam mati terjaga boleh sahaja ditiadakan kerana kerelevanan hadirnya tidak membawa impak pada baris sebelumnya. Di samping itu, rangkap akhir sajak ini elok dimurnikan agar mampu memberikan kesan yang lebih mengesankan. Hal ini dikatakan demikian kerana pada baris kedua, iaitu walau riuh menjadi sunyi dan pada baris akhir, ia sepi kembali, andai ditaakuli, berupa pengulangan yang tidak perlu. Perhatikan binaan sajak Qaireena seperti yang berikut;
Bising
Bergema bingit suara
dari kamar sengsara
menyesakkan dada
dihimpit celaru jiwa.
Terkadang jeritan menyeru ngeri
dalam dengkur mimpi
dikoyak derita,
tanpa enggan mengerti
kosong bahagia
dalam mati terjaga.
Aku tersedar,
walau riuh menjadi sunyi
tanpa ditemani
ia sepi kembali.
Sajak kedua, “Kembali Menyatu” nukilan Fadzillah Yusof menyentuh tentang pemahaman akan persepsi atau tanggapan seseorang terhadap seseorang yang lain dalam jalinan sesebuah hubungan. Dalam konteks sajak ini, ungkapan menyatu kembali cukup untuk menjelaskan tentang bentuk hubungan yang dimaksudkan pengkarya dalam sajak ini.
Dalam jalinan perhubungan, kesefahaman amat perlu bagi menghadirkan suasana harmonis. Namun, lain orang, lain falsafah hidup. Hal yang sedemikian menimbulkan persepsi yang sama ada berbeza atau bercanggah antara satu dengan yang lain. Perkara ini dialami oleh saudara Fadzillah sehingga mewujudkan pendirian bahawa lebih mudah menempuhi kehidupan mengikut acuan atau hala tuju sendiri, seperti yang dijelaskan dalam rangkap kedua. Meskipun begitu, hal yang disedari bahawa dalam menempuhi kehidupan, setiap manusia pasti berhadapan dengan dugaan dan cabaran yang perlu didepani dengan tabah di samping menguatkan tekad untuk terus berjuang, juga dalam masa sama, menaruh harapan agar insan atau orang yang dikenali itu sedar dan berubah seperti sebelumnya supaya hubungan mereka kembali mengerat.
Lazimnya, sajak sebegini bernada melankolik agar mampu membuai dan membelai khalayak pembaca, sekali gus membangkitkan rasa belas dalam jiwa pembaca. Perkara ini yang sewajarnya diberikan perhatian serta penekanan oleh pengkaryanya. Dari aspek bahasa, perhatian harus diberikan terhadap ejaan kata ganti diri yang disingkatkan dalam erti kata keserangkaiannya dengan kata yang mendahului atau mengikutnya seperti kusedari, kukemudi dalam rangkap kedua sajak ini. Apa-apapun, secara keseluruhannya. Pembinaan sajak ini baik, namun mampu ditingkatkan mutunya dengan melakukan pemurnian serta penambahbaikan di bahagian-bahagian dan ciri-ciri tertentu. Diimbas kembali sajak berkenaan yang dinukilkan seperti yang berikut;
Kembali Menyatu
Kadang aku buntu
Akan bagaimana inginmu
Kusut akalmu menjejaskan aku
Telah lama ku sedari
Lebih mudah mengemudi sampan kolek diri
Kecil, sederhana namun mencukupi
Boleh ku kemudi seorang diri
Mengikut haluan dan mahu sendiri
Namun dalam hidup
Duganya berbagai bentuk
Aku harus utuh atas haluanku
Biarkan saja segala kesahmu
Habis marahmu moga kau kembali ke asal diri
Dan kita dapat kembali menyatu
Sajak terakhir, “Terima Kasih Gerimis” karya Stainly Santiago memaparkan tentang imbasan budaya kehidupan (peradaban). Sajak ini bersifat simbolik yang memperlihatkan pemaparan imejan seperti belanga hitam, kantan merah, anak sungai seorang tuadan gubuk bambu yang ditautkan dengan gerimis pagi dalam usaha mendedahkan pemahaman tentang budaya hidup serta alam sekitar. Untuk memahami sajak ini memerlukan pembacaan yang berulang di samping membuka seluas-luasnya ruang fikir.
Pengkarya dikesan berhati-hati dalam pemilihan diksi yang membentuk sajak ini. Imejan gerimis pagi pada rangkap pertama berfungsi sebagai elemen imbasan kembali peradaban silam yang kian hilang akibat arus pemodenan yang pesat. Bunyi bertingkah ketika titisan hujan jatuh ke atas belanga hitam sukar lagi didengari. Dalam rangkap kedua, gerimis pagi dilakarkan pengkarya sebagai penyubur kepada tumbuhan yang berupa sumber makanan kepada manusia.
Walau bagaimanapun, pemilihan kantan merah masih boleh dipersoalkan meskipun pada bahagian lain, pemilihan ungkapan tanih loam memperlihatkan kepekaan pengarang tentang ilmu pertanian dan tautannya dengan tanaman seperti kantan. Demikian selanjutnya digambarkan pertautan gerimis pagi dengan anak sungai dan seorang tua di gubuk bambu serta pertaliannya dengan pemeliharaan serta pengekalan alam sekitar.
Sajak ini dibangunkan dengan baik. Pemilihan diksi serta pembinaan frasa dilakukan dengan berhati-hati. Seandainya sajak ini terilham secara asli, terkesan keupayaan pengarangnya untuk pergi lebih jauh dalam alam kepengarangan sajak. Perhatikan sajak yang dinukilkan Stainly seperti yang berikut;
Terima Kasih Gerimis Pagi
Sebuah belanga hitam
sudah bertahun telungkup di situ
bersenandung di bawah cucuran atap
tuk, tuk, tuk, bunyi bersahut
musik alam berirama sendiri
terima kasih gerimis pagi.
Serumpun kantan merah
sudah bertahun hidup di situ
tumbuh subur di tanih loam
dedaunnya pekat menghijau
menjadi gelongsor butir mutiara
terima kasih gerimis pagi.
Sebatang anak sungai
sudah bertahun ada di situ
tadahan air si hutan hujan
sungainya bersih habitat gemian
air mengalir ditemani titisan
terima kasih gerimis pagi.
Seorang tua di gubuk bambu
sudah bertahun menetap di situ
tanpa jemu menganyam harapan
agar waris menjaga alam
berkali sudah si tua ini
menangis sedih di dalam hujan
tanpa terlihat air mata
terima kasih gerimis pagi.
Secara keseluruhannya, sajak-sajak yang dinukilkan baik. Pun demikian masih ada ruang dan peluang untuk melalkukan pemurnian serta penambahbaikan, khususnya bagi sajak “Bising” dan “Kembali Menyatu”.
Tahniah serta syabas diucapkan kepada ketiga-tiga penulis. Pun demikian, wajar difahami akan hakikat bahawa pengekalan mutu karya dalam dunia kepengarangan agak subjektif sifatnya dan tidak konsisten. Usia kepengarangan tidak boleh dijadikan tali ukur mutu sesebuah karya. Ilmu kepenulisan menuntut pembelajaran yang berpanjangan. Seperkara yang sering diingatkan adalah, jadikan kamus teman sejati semasa menulis dan akhir sekali terima segala teguran dengan fikiran terbuka dan teduhkan keegoaan yang membuak-buak.
Akhir kata, teruskan menghasilkan sebanyak karya yang termampu dan usah patah semangat. Salam bahasa, sasatera dan budaya bangsa.
Bahasa nadi bangsa.