
KUALA LUMPUR: Melindungi pemandu e-hailing perlu dijadikan keutamaan negara berikutan peningkatan laporan mengenai serangan, ugutan, rompakan dan keganasan oleh penumpang yang tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata keselamatan dan kesejahteraan pemandu e-hailing perlu diberi perhatian yang lebih serius oleh semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, pengendali platform e-hailing, agensi penguatkuasaan undang-undang dan penumpang itu sendiri.
“Saya menggesa semua pihak berkepentingan yang berkaitan supaya bekerjasama membangunkan langkah-langkah keselamatan menyeluruh yang akan melindungi pemandu e-hailing dengan lebih baik serta mewujudkan persekitaran pengangkutan yang selamat untuk semua orang.
“Agensi penguatkuasaan undang-undang harus bersikap tegas terhadap individu yang menyerang, mengugut atau mengganggu pemandu e-hailing. Kesalahan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana mereka bukan sahaja membahayakan mangsa, tetapi juga menjejaskan keyakinan orang awam terhadap keselamatan perkhidmatan e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara langkah yang dicadangkan, Lee berkata termasuklah penggunaan kamera atau kamera papan pemuka yang mampu merekodkan aktiviti di jalan raya dan bahagian dalaman kenderaan kerana sistem seperti itu dapat menghalang perlakuan jenayah dan menyediakan bukti penting semasa siasatan.
Beliau turut menggesa syarikat e-hailing untuk memperkukuh proses pengesahan penumpang bagi memastikan pengguna dapat dikenal pasti dan dikesan sekiranya terlibat dalam kes jenayah atau kekasaran, dan akaun tanpa identiti atau pendaftaran palsu tidak seharusnya dibenarkan.
Selain itu, Lee mencadangkan agar ciri-ciri keselamatan kecemasan dalam aplikasi e-hailing dipertingkatkan termasuk menyediakan akses butang panik yang membolehkan pemandu menghantar isyarat amaran kepada pengendali platform, kontak kecemasan dan polis jika terasa terancam atau tidak selamat.
Beliau berkata syarikat e-hailing juga perlu mewujudkan protokol jelas untuk mengenal pasti perjalanan berisiko tinggi, tingkah laku penumpang yang luar biasa dan corak perjalanan yang mencurigakan melalui penggunaan teknologi dan sistem pemantauan masa nyata.
“Kemungkinan memasang penghadang atau sekatan pelindung antara pemandu dengan penumpang belakang juga boleh dipertimbangkan, khususnya bagi pemandu yang sering memandu pada waktu berisiko tinggi atau di kawasan yang mempunyai kadar jenayah tinggi,” katanya.
Pada masa sama, Lee berkata pemandu perlu diberi latihan kesedaran keselamatan secara berkala mengenai pengurusan konflik, pengenalpastian ancaman, prosedur tindak balas kecemasan dan langkah keselamatan peribadi.
“Setiap pemandu berhak pulang ke rumah dengan selamat selepas bekerja seharian. Memastikan keselamatan pemandu e-hailing bukan sahaja satu isu keselamatan pekerjaan, tetapi juga isu keselamatan orang awam. Persekitaran yang lebih selamat untuk pemandu akan memberikan manfaat kepada penumpang dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya. – Bernama