Melinda Looi guna lima kilogram arang hasilkan busana ‘gunung berapi’ Aina Abdul

Facebook
WhatsApp
PEREKA fesyen Melinda Looi menggunakan lima kilogram arang sebenar dalam menghasilkan busana berkonsepkan gunung berapi untuk penyanyi Aina Abdul pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini. Busana berkenaan mengambil masa sehingga 1,000 jam untuk disiapkan. Foto Melinda Looi

KUALA LUMPUR: Membelakangkan norma penggunaan manik dan renda, pereka fesyen tersohor Melinda Looi mencetuskan fenomena apabila mempertaruhkan lima kilogram arang sebenar bagi menghasilkan busana ikonik buat Aina Abdul pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini.

Karya agung yang mengambil masa hingga 1,000 jam untuk disiapkan itu bukan sekadar pakaian persembahan biasa, tetapi adalah naskhah seni yang menterjemahkan tenaga, haba dan kuasa alam melalui simbolik gunung berapi serta aliran lahar. 

Katanya idea menggunakan arang sebenar tercetus selepas pemenang Persembahan Terbaik AJL40 itu menyatakan hasrat untuk tampil sebagai sebuah gunung berapi.

“Apabila dia (Aina) memberitahu saya bahawa dia mahu menjadi sebuah gunung berapi, saya terus mencadangkan penggunaan arang sebenar, bukan plastik untuk menghasilkan penampilan tersebut.

“Saya turut menambah cat akrilik dan manik berwarna lava (lahar) bagi menggambarkan aliran lava yang menuruni gaun atau gunung berapi itu. Penghasilan kesan sebegini tidak sukar bagi saya dan pasukan kerana kami memang gemar mencipta sesuatu yang unik dan luar biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

PEREKA fesyen Melinda Looi menggunakan lima kilogram arang sebenar dalam menghasilkan busana berkonsepkan gunung berapi untuk penyanyi Aina Abdul pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini. Busana berkenaan mengambil masa sehingga 1,000 jam untuk disiapkan. Foto Melinda Looi

Berkongsi lebih lanjut, Melinda berkata busana dramatik itu menggabungkan pelbagai material termasuk sequin meshmetallic lurex polyester, kapas, gam lateks dan stirofoam bagi membentuk tekstur menyerupai batuan gunung berapi, lava cair dan serpihan mineral.

Pereka yang telah mengukir nama dalam industri fesyen sejak 25 tahun lalu itu turut memperincikan hiasan busana tersebut dengan kira-kira 6,000 elemen Swarovski, 80 meter rumbai nilon dan 60 meter rumbai manik kaca, selain taburan manik serta sequin kaca dan akrilik.

“Saya mahu kostum ini kelihatan hidup dan bergerak, seolah-olah lava itu sendiri mengalir pada tubuh Aina. Gunung berapi bagi saya adalah simbol kepada emosi yang sangat kuat, iaitu mungkin kelihatan tenang dari luar, tetapi di dalamnya terdapat tenaga yang sedang membara. 

“Apabila emosi ini meletus, kita melihat satu kuasa yang luar biasa. Itulah emosi yang saya ingin terjemahkan melalui kostum ini untuk ‘KAMU’,” katanya menambah kostum persembahan bukan sekadar tentang siluet dan estetika, tetapi bagaimana fesyen dapat menjadi sebahagian daripada penceritaan seseorang artis di atas pentas.

Katanya rekaan itu membantu Aina menterjemahkan konsep gunung berapi menerusi peralihan visual daripada rona gelap dan misteri kepada elemen yang lebih bertenaga, bercahaya dan dramatik.

“Setiap perincian dirancang untuk menangkap cahaya pentas dan menghasilkan ilusi permukaan lava yang panas serta berkilauan,” katanya. – Bernama