
SEBAGAI insan, kita tidak terlepas daripada menghadapi ujian kehidupan. Setiap hari kita diuji dengan kesusahan, kekeliruan, pilihan dan juga kelebihan yang sebenarnya ujian tersembunyi.
Maka melatih diri untuk menjadi kuat bukanlah pilihan, tetapi satu keperluan. Kekuatan luaran mungkin boleh dicari, tetapi kekuatan sebenar lahir dari dalam iaitu dari hati yang kuat, tenang dan terarah.
Melatih diri bermula dari kesediaan menerima hakikat bahawa hidup ini memerlukan panduan. Jika kita mahu menjadi insan yang mampu memberi manfaat kepada orang lain, maka kita perlu membentuk prinsip hidup yang kukuh.
Prinsip inilah yang menjadi “kompas jiwa” dalam membuat keputusan, mengurus emosi dan menghadapi cabaran. Tanpa prinsip hidup, kita mudah goyah. Tanpa latihan, kita mudah lemah semangat. Maka, proses menguatkan hati itu adalah proses sepanjang hayat.
M – Mengajak Bukan Menghukum Sebagai Asas Perjuangan
Dalam perjuangan membina manusia, pendekatan yang paling berkesan bukanlah menghukum, tetapi mengajak. Hati manusia lembut. Ia tidak berubah dengan paksaan tetapi dengan kesedaran. Jika kita mahu menyumbang pada kebaikan masyarakat, kita mesti berlatih menyampaikan kebaikan dengan penuh hikmah. Mengajak dengan kasih sayang, bukan menghukum dengan rasa benci.
Perjuangan hidup bukan soal menang-menang atau kalah-menang, tetapi bagaimana membawa sebanyak mungkin hati kembali kepada Tuhan. Inilah asas perjuangan yang perlu ditanam dalam hati yang mahu kuat dan bukan membina menara ego tetapi jambatan kasih sayang sesama kita.
E – Elak Menimbul Kontroversi Dan Hendaklah Bersangka Baik
Ketenangan hati hanya wujud apabila kita dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak perlu. Jangan cari kontroversi hanya untuk menonjolkan diri. Hati yang kuat adalah hati yang tahu diam pada tempatnya, bercakap dengan hikmah dan sentiasa bersangka baik.
Bersangka baik ialah latihan yang sukar tetapi memberi impak luar biasa. Ia mendidik hati untuk tidak mudah menghukum, tidak cepat berprasangka. Apabila kita bersangka baik kepada orang lain dan pada takdir Allah, kita akan mula hidup dengan lebih tenang, tanpa beban rasa curiga dan benci.
L – Luaskan Cara Penyelesaian Dengan Pendekatan Terbuka Tetapi Terkawal
Hati yang kuat tidak sempit dalam pendekatan. Bila berhadapan masalah, dia tidak mudah panik. Sebaliknya, dia melihat pelbagai sudut cara penyelesaian. Kuncinya ialah dengan berlapang dada dan terbuka, tetapi masih dalam kerangka mematuhi syariat dan berpegang kepada nilai.
Keterbukaan yang terkawal ialah ciri penting orang berjiwa besar. Dalam menyelesaikan masalah, kita bukan hanya bertanya “apa yang salah?”, tetapi juga “bagaimana kita boleh bantu?” atau “apa yang boleh diperbaiki?”. Di sinilah lahirnya solusi dan pendekatan yang membina.
A – Ambil Iktibar Dari Persekitaran Dan Mentelaah Apa Yang Berlaku Di Sekeliling
Setiap hari, alam mengajar kita. Hidup ini penuh isyarat dan tanda. Orang yang melatih dirinya akan sentiasa peka dengan melihat, merenung dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sekelilingnya. Kesedaran rohani inilah yang menjadikan seseorang itu lebih berhati-hati dan matang dalam menilai sesuatu.
Mentelaah persekitaran bukan hanya untuk mengenal situasi, tetapi juga sebagai cara mendidik jiwa agar tidak mudah rasa selamat dan bersedia untuk berubah. Ia menghidupkan rasa tanggungjawab dan empati kepada dunia luar.
T – Tabah Wujudnya Sangkaan Pada Landasan Paradigma Positif
Orang yang mahu berjaya perlu tabah. Tabah bukan hanya dalam menghadapi kesukaran, tetapi juga ketika dirinya di salah faham, disangka buruk atau diuji oleh persepsi manusia.
Di sinilah perlunya paradigma positif iaitu dengan meyakini bahawa semua itu akan berlalu dan yang penting ialah bagaimana kita menjaga niat dan reaksi.
Melatih hati untuk tabah ialah melatih diri untuk tidak menjadikan pendapat orang lain sebagai ukuran harga diri. Kita bukan siapa yang mereka sangkakan tetapi siapa yang kita betul-betul usahakan untuk menjadi orang yang diredhai di sisi Tuhan.
I – Inisiatif Pada Setiap Peluang Menjadi Budaya Penerokaan
Melatih hati juga bermakna melatih diri untuk bertindak tanpa disuruh dan menjadikan inisiatif sebagai budaya. Jangan tunggu kesempurnaan untuk memulakan. Jangan tunggu disuruh untuk menyumbang. Di sinilah bermulanya budaya penerokaan dan keberanian dalam mencipta perubahan.
Peluang yang Allah beri tidak selalu datang dalam bentuk yang kita harapkan. Kadang-kadang ia muncul sebagai ujian dan kadang-kadang sebagai peluang kecil yang perlukan keberanian. Hati yang kuat akan belajar mengenal peluang dalam setiap ruang dan kesempatan.
H – Hati Ikhlas Menyantuni Dengan Tindakan Jujur
Ikhlas adalah kekuatan batin yang tidak terlihat, tetapi dirasai. Orang yang melatih dirinya akan sentiasa berusaha menyantuni manusia dengan niat yang tulus. Dia tidak memilih siapa yang mahu dibantu kerana yang dicari ialah redha Tuhan dan bukan pujian makhluk.
Tindakan jujur datang dari hati yang ikhlas. Bila kita menyantuni orang lain dengan kasih sayang tanpa mengharapkan balasan, maka dunia menjadi tempat yang lebih tenang. Di sinilah peranan kita sebagai insan yang menyemai kasih Tuhan kepada sesama manusia.
H – Hadirkan Rasa Perjuangan Untuk Mencetus Semangat Yang Membara
Hidup ini adalah perjuangan. Dan perjuangan menuntut kesungguhan. Orang yang melatih hatinya akan sentiasa menghadirkan semangat yang membara dalam hidupnya. Dia tidak lalai, tidak lesu dan tidak mudah mengalah. Walaupun jatuh, dia bangkit semula. Ini kerana dia tahu bahawa hidup ini bukan tempat berehat, tetapi medan untuk berbakti.
Rasa perjuangan bukan perlu ditunggu dari luar. Ia mesti dinyalakan dari dalam diri dan hati yang kuat adalah hati yang tidak pernah membiarkan apinya padam.
A – Amanah Tanggungjawab Bersama Sebagai Laungan Ukhuwah
Hidup berjemaah menuntut kita memegang amanah dengan serius. Hati yang kuat tahu bahawa tanggungjawab bukan hanya atas bahunya, tetapi juga atas bahu sahabat-sahabatnya. Maka dia akan menyokong, membantu dan mengingatkan antara satu sama lain dalam jemaah.
Laungan ukhuwah bukan hanya slogan. Ia adalah komitmen untuk saling menguatkan dan saling menyempurnakan kelemahan masing-masing. Inilah yang menggerakkan ummah ke arah kebaikan yang sebenar.
T – Takluki Setiap Situasi Dengan Bijaksana
Keteguhan hati akan terserlah saat kita mampu mengurus cabaran dengan bijaksana. Bukan semua perkara perlu dilawan. Bukan semua cabaran perlu dielak. Sebahagian darinya perlu ditakluki dengan strategi, sabar dan berpegang dengan panduan syariah.
Hati yang dilatih akan mampu mengawal emosi, menimbang baik buruk, mencari solusi dan bukan konflik. Inilah kunci kepada kebijaksanaan yang sebenar iaitu berani dalam kesabaran dan tegas dalam kelembutan.
I – Ingat Allah Penentu Segalanya Sebagai Asas Niat Yang Kukuh
Akhirnya, segala latihan ini hanya bermakna jika kita meletakkan Allah sebagai tujuan utama. Niat adalah asas segalanya. Bila kita ingat bahawa Allah melihat hati, bukan hasil, maka kita akan lebih tenang berusaha. Bila kita tahu bahawa Allah menilai usaha, bukan semata-mata kejayaan, maka kita akan terus melangkah.
Ingat kepada Allah ialah benteng jiwa, penguat semangat dan penawar segala keluh kesah. Dengan ini, hati kita akan semakin kuat kerana ia bersandar kepada Tuhan yang tidak pernah mengecewakan.
Melatih diri bukan tugas sehari dua. Ia proses seumur hidup.
Tetapi proses ini akan membuahkan hati yang kuat, yang tenang dan yang bermanfaat kepada dunia. Dalam dunia yang semakin keliru, hati yang terlatih menjadi cahaya buat diri dan insan lain.
Semoga kita terus tabah dalam latihan ini kerana hati yang dilatih dengan baik, akan menjadi hati yang layak menerima rahsia Tuhan.
Wallahu Alam Bissawab