BUAT dulu, tuntut kemudian. Guna duit sendiri dahulu, kemudian tuntut bayaran balik.
Itu kaedah terbaharu diguna pakai Kerajaan Persekutuan untuk projek perkhidmatan kesihatan dan sekolah daif di Sarawak. Ia cetusan idea Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi kaedah pembiayaan alternatif dalam usaha membantu menyelesaikan isu sekolah dan klinik daif di negeri ini dengan kadar segera.
Putrajaya bersetuju dengan cadangan itu dan diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan taklimat pembangunan Sarawak dalam lawatan singkat Perdana Menteri ke Kuching, 30 Mac lalu.
Bagaimanapun, Putrajaya atau Petra Jaya tidak menyatakan berapa had siling untuk projek seumpama itu dibenarkan. Sarawak menjadi wilayah perintis menggunakan kaedah yang dilihat berupaya menangani masalah projek persekutuan di negeri ini, sekali gus ‘memintas’ beberapa prosedur operasi standard (SOP) serta karenah birokrasi lain dalam proses permohonan peruntukan dan sebagainya.
Dalam hantaran di Facebooknya pada hari sama 30 Mac lalu, Anwar meminta semua kementerian termasuk agensi berkaitan agar memberikan perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan serta pelaksanaan projek di Sarawak secara berkesan. Katanya, projek terbabit, khususnya pembangunan perkhidmatan kesihatan dan sekolah daif, merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat terutama warga Sarawak di luar bandar yang bakal mendapat manfaat dalam jangka panjang.
Turut dibangkitkan dalam mesyuarat yang diadakan di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Samarahan itu ialah mengenai kekurangan nisbah perkhidmatan kepakaran perubatan kepada penduduk berbanding purata nasional, kekurangan institusi perubatan khas bagi rawatan kanser, wanita dan kanak-kanak, rehabilitasi, perubatan respiratori, pusat darah dan kepakaran pergigian.
Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mengenal pasti projek kesihatan terutama klinik desa, kemudahan hospital, kuarters kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KKM) atau rumah guru dan sekolah daif. Sudah pasti pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri sedia maklum akan kekurangan yang ada.
Cuma kita harap diberi keutamaan projek yang memberi impak tinggi terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman. Kita tidak mahu seperti apa yang berlaku terhadap guru besar di Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan, Telupid, Sabah yang terpaksa tinggal dalam stor sekolah selama lebih tiga tahun sepanjang bertugas sebagai seorang guru kerana tiada kuarters. Kisah ini tular di media sosial tahun lalu.
Malah, bayangkan lima daerah di Sarawak masih tidak mempunyai hospital walaupun penduduk melebihi 30,000 orang serta terdapat pecahan yang signifikan bilangan sekolah yang tiada peruntukan pembangunan. Perkara ini didedahkan oleh Perdana Menteri sendiri tanpa menyebut nama lima daerah berkenaan ketika berada di Kota Samarahan, Mac lalu.
Sarawak sudah ada Hospital Sarikei, Saratok, Mukah, Miri, Marudi, Lundu, Limbang, Lawas, Kapit, Kanowit, Daro, Dalat, Bintulu, Betong, Hospital Umum Kuching (HUS) dan Hospital Rajah Charles Brooke Memorial. Pada Mac tahun lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni ada menyebut KKM dalam proses pembinaan lima klinik kesihatan di Sarawak bagi memberi akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti pedalaman dan luar bandar, iaitu di Lubok Antu, Julau, Serian, Lawas dan Daro.
Turun padang, periksa kemajuan projek
Kepada pihak Kerajaan Persekutuan, diharapkan menteri, timbalan menteri atau pegawai kanannya, supaya melakukan lawatan susulan terhadap pembinaan sesuatu projek. Kita tidak mahu projek diumumkan akan siap dalam tempoh dua tahun, tetapi pada tahun ketiga tiang sahaja berdiri kerana projek gagal disiapkan. Kemudian lantik kontraktor penyelamat.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee turut menyentuh mengenai mekanisme ‘buat dahulu, tuntut kemudian’. Katanya, dengan kaedah itu kerajaan Sarawak akan dapat melanjutkan program yang dirancang untuk menangani klinik dan kemudahan kesihatan yang terbengkalai dengan cekap dan dengan kos lebih rendah.
“Kami tidak akan menunggu dana disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melakukan ini. Mekanisme yang dicadangkan juga akan dapat mendorong projek kesihatan penting yang telah ditangguhkan kerana pelbagai faktor terutamanya aspek kewangan. Inisiatif ini akan membolehkan kerajaan Sarawak membantu Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menaik taraf perkhidmatan kesihatan untuk rakyat dengan menyediakan peralatan yang lebih baik di kemudahan kesihatan kami dengan lebih cepat,” katanya.
Michael Tiang berkata, sebuah pasukan khas yang dipimpin bersama oleh Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Sarawak akan dibentuk untuk menyelidik terma rujukan mekanisme ini dan menyusun butiran pelaksanaannya.
“Oleh itu, semua isu yang dibangkitkan berkaitan dengan status pelaksanaan dan jangka waktu peningkatan klinik terbengkalai dan hospital di Sarawak, yang mempunyai isu kewangan akan bergantung pada kejayaan terma rujukan (TOR) dan butiran mekanisme pembiayaan baru untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan kesihatan kami,” katanya.
Pada 2023, KKM telah meluluskan jumlah sebanyak 39 projek bernilai RM8.497 juta untuk Sarawak bagi menaik taraf klinik-klinik dan kemudahan kesihatan yang terbengkalai seperti membaiki sebahagian infrastruktur, penyediaan air bersih, penggantian kabel, penggantian genset, pengecatan semula, dan lain-lain. Semua projek ini telah siap pada tahun yang sama. Bagi 2024, sejumlah RM19 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan 39 projek klinik terbengkalai termasuk enam klinik terbengkalai di bandar di seluruh Sarawak.
Isu sekolah daif
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee dilaporkan sebagai berkata kira-kira 200 sekolah daif di negeri ini perlu diambil perhatian untuk dibaik pulih dan mengalukan langkah membina dahulu menggunakan wang kerajaan Sarawak.
Dr Annuar berkata sebagai contoh Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam, sebuah sekolah yang dibina oleh kerajaan Sarawak. Katanya, ia bukan menggunakan duit Kerajaan Persekutuan dengan kos cuma RM33 juta untuk membinanya, sedangkan ada sekolah lain yang serupa telah dibina, tetapi kosnya jauh lebih mahal.
“Sebab itulah kerajaan Sarawak meminta kepada Kerajaan Persekutuan supaya membenarkan Sarawak membina dahulu sekolah yang berkeadaan daif, dan selepas itu Kerajaan Persekutuan bayar kemudian. Ini satu berita mengembirakan,” katanya. Dr Annuar berkata setakat ini, lebih 200 sekolah di negeri ini telah dinaik taraf manakala tujuh sekolah baharu telah dibina oleh kerajaan Sarawak.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pula berkata cetusan idea Premier Sarawak membina lebih awal projek sekolah dan klinik baharu menerusi kaedah pembiayaan alternatif dapat membantu menyelesaikan isu sekolah dan klinik daif di Sarawak dengan kadar segera. Katanya, isu sekolah dan klinik daif adalah keperluan yang mendesak untuk rakyat, terutamanya pelajar sekolah.
Autonomi sektor pendidikan, kesihatan
“Ini adalah suatu idea yang paling bagus untuk kerajaan Sarawak mendahulukan pembinaan sekolah-sekolah dan klinik-klinik daif. Melalui cara ini sajalah isu sekolah dan klinik daif dapat diatasi secepat mungkin tanpa menunggu peruntukan dari kerajaan yang pada masa ini mempunyai kekangan dari segi kewangan kerana banyak lagi projek-projek lain yang perlu diberi keutamaan oleh persekutuan,” katanya.
Ahmad Johnie berkata, di kawasannya Parliman Igan setakat ini, terdapat kira-kira 18 sekolah daif termasuk sebuah sekolah menengah, dengan sebahagian sekolah ini telah dirancang untuk pembinaan semula atau dibaik pulih.
“Tetapi masih ada 10 sekolah daif lagi, sebuah sekolah menengah dan selebihnya sekolah rendah khususnya di kawasan pesisir Parlimen Igan. Saya juga pasti terdapat klinik daif di kawasan Batang Lassa dan Passin, saya telah membangkitkan isu ini di Parlimen untuk Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Hakikatnya, sedikit demi sedikif Sarawak meraih ‘autonomi’ dan diberi kuasa atau penyerahan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan terutama dalam sektor pendidikan dan kesihatan setelah desakan demi desakan disuarakan oleh pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), sejajar dengan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ini terbukti apabila baru-baru ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mendapat autonomi untuk meluluskan permohonan pembinaan bangunan gantian atau tambahan, kerja ubah suai atau naik taraf di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di Sarawak.
Autonomi pendidikan ini telah diberikan kepada kerajaan Sarawak melalui pemberian kuasa Menteri Pendidikan di bawah Seksyen 28 dan 31 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) berkuat kuasa Mac 2024.
Perkara ini dinyatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan bahawa kelulusan permohonan untuk membaiki sekolah-sekolah daif perlu menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak selain Kerajaan Persekutuan yang tertakluk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dari semasa ke semasa.
Keputusan itu sebenarnya dicapai pada satu mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) pada 22 Februari 2024 di Kuching yang dihadiri Fadhlina bersama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bagi membincangkan secara terperinci berkaitan tuntutan autonomi pendidikan yang dicadangkan oleh kerajaan Sarawak.
Apapun diharapkan Sarawak memperoleh autonomi penuh dalam bidang pendidikan dan kesihatan sebelum pilihan raya umum akan datang.
Kita tidak mahu, andai berlaku perubahan kerajaan di Putrajaya, semuanya kelak akan turut berubah hingga merencatkan segala kemajuan dicapai untuk mengembalikan baki tuntutan dalam MA63.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.