
LIMBANG: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang mekanik dalam operasi bersepadu Ops Tapis yang dijalankan di sekitar daerah ini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, suspek pertama berusia 53 tahun yang bekerja sebagai mekanik ditahan di tepi Jalan Kampung Pelita, Jalan Pandaruan, pada 3.00 petang.
“Suspek ditahan bersama satu peket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.40 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penagihan sejak awal tahun ini.
Dalam serbuan berasingan pada 2.00 petang di hadapan bangunan Anang Mini Mart, Limbang, polis turut menahan seorang pembantu kedai yang disahkan positif dadah.
“Suspek kedua mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah dan dipercayai terlibat dalam aktiviti tersebut sejak 2014,” jelasnya.
Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus