
KUCHING: Sebuah meja di ruang tamu sebuah rumah di Lorong 4F, Tabuan Desa, terbakar awal pagi tadi.
Bagaimanapun, insiden itu tidak mengakibatkan kecederaan dan tidak menjejaskan struktur bangunan.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, panggilan kecemasan diterima pada 6.11 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya tiba di lokasi enam minit kemudian.
Komander Operasi PBK I Syamsul Mustapa berkata kebakaran hanya melibatkan sebuah meja dan berjaya dikawal dengan cepat.
“Kebakaran tidak merebak ke bahagian lain rumah dan tiada mangsa terlibat. Anggota membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan air dari tangki pam jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata selepas memastikan keadaan selamat, pasukan operasi menamatkan operasi pada 6.37 pagi sebelum kembali ke balai.
Insiden berlaku kira kira empat kilometer dari balai Tabuan Jaya.
Oleh Adele Rissa