Meja tempat colok di tokong terbakar, api dipadam sebelum bomba tiba

Facebook
WhatsApp
KESAN kebakaran meja tempat meletakkan colok di sebuah tokong, malam tadi. Foto PGO Sarawak

SARIKEI: Sebuah meja yang digunakan sebagai tempat meletakkan colok di sebuah tokong di Batu 1, Jalan Repok di sini, musnah terbakar dalam kejadian malam tadi, namun tindakan pantas orang awam berjaya mengelakkan api daripada merebak.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Dingat Ngadi digerakkan ke lokasi

“Setibanya di tokong tersebut, didapati kebakaran melibatkan sebuah meja tempat meletakkan colok jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.

MEJA tempat meletakkan colok musnah terbakar di sebuah tokong di Batu 1, Jalan Repok, Sarikei malam tadi. Foto PGO Sarawak

“Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan tokong kerana meja tersebut ditempatkan di kawasan terbuka yang berbumbung di dalam pekarangan tokong,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, api berjaya dipadamkan menggunakan sebuah alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran menggunakan satu aliran bantu mula bagi memastikan api benar-benar padam dan tidak kembali menyala.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.52 malam selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.

Oleh Earl Anek