
MIRI: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) komited untuk memperkukuh inovasi serta kecemerlangan pendidikan.
Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, menerusi Program Penambahbaikan Pendidikan Sarawak (SEEP), kementeriannya melaksanakan pelbagai inisiatif transformasi ke arah sistem pendidikan yang berkualiti tinggi, inklusif dan berdaya tahan untuk masa depan.
“Antaranya ialah usaha meningkatkan enrolmen dalam bidang STEM kepada 60 peratus menjelang 2030, selaras dengan hasrat Sarawak menjadi ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan teknologi.
“Saluran bakat STEM yang kukuh akan memastikan generasi muda kita bukan sekadar bersedia untuk menyertai, tetapi turut memimpin industri masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kali Ketiga 2025 (iCERI 2025) di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Roland memberitahu bahawa bermula 2026, Program Dwibahasa Sarawak (DLP Sarawak) di mana mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris akan diperluas ke sekolah menengah, bermula dengan murid Tingkatan 1.
Katanya, program ini telah dilaksanakan di sekolah rendah sejak 2020, merangkumi murid Tahun 1 hingga 6, dan peluasan ini akan memastikan kesinambungan pembelajaran apabila mereka ke peringkat menengah.
“Pendekatan ini mengiktiraf bahawa penglibatan dan daya saing global memerlukan penguasaan ilmu serta keyakinan dalam komunikasi bahasa Inggeris.
“Pelaksanaan berperingkat bermula dengan Tingkatan 1 pada 2026 membolehkan pelajar membina asas kukuh dalam penguasaan subjek sambil memperkukuh kemahiran bahasa untuk pendidikan tinggi dan pekerjaan antarabangsa,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sarawak, Noraini Omar.
Oleh Liong Chai Ling