
LOS ANGELES: Isteri kepada Putera Harry, Meghan Markle, dilaporkan bakal membuat kemunculan semula di layar perak menerusi peranan kecil dalam sebuah filem yang sedang menjalani penggambaran di sekitar Los Angeles, lapor media pada Rabu.
Duchess of Sussex itu dilaporkan sedang menjalani penggambaran bagi filem bertajuk Close Personal Friends, yang turut dibintangi bintang siri Emily in Paris, Lily Collins, bersama Jack Quaid, Brie Larson dan Henry Golding.
Majalah hiburan Variety melaporkan bahawa filem komedi itu “berkisar tentang sepasang suami isteri biasa yang bertemu dengan pasangan selebriti ketika bercuti di Santa Barbara.”
Markle sebelum ini terkenal menerusi siri drama perundangan Suits selama tujuh musim, sebelum perkahwinannya dengan anak kedua Raja Britain, Raja Charles.
Namun, beliau tidak lagi berlakon sejak tujuh tahun lalu selepas mengumumkan keputusan untuk meninggalkan bidang tersebut.
Pasangan itu kini menetap di California selepas perselisihan dengan keluarga diraja Britain.
Mereka tidak lagi menerima dana awam dan kini bergantung kepada perjanjian besar bersama Netflix serta jenama gaya hidup baharu milik Markle.
Perjanjian dengan Netflix telah menghasilkan siri popular — walaupun sering menjadi bahan sindiran bertajuk With Love, Meghan, yang menampilkan Markle sebagai suri rumah berjaya dalam sebuah rumah fiksyen, menjadi hos kepada tetamu, mengutip madu serta menghasilkan garam mandian.
Walaupun dikritik hebat oleh pengulas sebagai “tidak bermakna”, siri tersebut telah disambung ke musim kedua, dengan episod khas dijangka disiarkan pada Disember.
Pasangan itu terus berdepan cabaran menarik perhatian umum sejak tayangan dokumentari Harry & Meghan sebuah siri enam episod mengenai hubungan dan keputusan mereka meninggalkan institusi diraja Britain yang mencatat lebih 23 juta tontonan dalam tempoh empat hari pertama, menjadikannya dokumentari Netflix paling banyak ditonton.
Harry dan isterinya berundur daripada tugas diraja pada 2020 selepas hubungan dengan keluarganya, khususnya abangnya Putera William, semakin tegang.
Memoir laris Harry bertajuk Spare, yang diterbitkan pada Januari 2023, menimbulkan kemarahan Istana Buckingham selepas mengkritik beberapa ahli keluarga diraja termasuk isteri William, Catherine, serta ibu tiri mereka, Permaisuri Camilla.
Sejak itu, Harry menyatakan harapan untuk berdamai, dan pada September lalu beliau dilaporkan telah bertemu bapanya, Raja Charles, yang berusia 76 tahun, di London beberapa bulan selepas dimaklumkan bahawa baginda sedang menjalani rawatan untuk penyakit kanser yang tidak didedahkan. – AFP