
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak hari ini mengesahkan pelantikan Ketua Pegawai Penerbangan dan Strategi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirBorneo Holdings Sdn Bhd (AirBorneo).
Pelantikan itu disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang juga Pengerusi Interim AirBorneo ketika ditemui pemberita, hari ini.
“Ya, beliau akan sertai AirBorneo sebagai CEO. Beliau akan melapor diri pada 1 Januari 2026,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani MoU sempena Integrasi SarawakPass dengan MyDigital ID di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
AirBorneo adalah syarikat penerbangan serantau milik kerajaan Sarawak.
Pelantikan Megat Ardian sekali gus mengesahkan spekulasi industri bahawa AirBorneo memilih tokoh berpengalaman luas itu untuk menerajui strategi dan pertumbuhan syarikat penerbangan baharu Sarawak tersebut.
Difahamkan, Megat Ardian dipilih kerana rekodnya dalam memacu pembangunan serta operasi penerbangan, hasil penglibatannya selama beberapa dekad dalam sektor itu termasuk bersama Malaysia Airlines Bhd, AirAsia Bhd dan syarikat penerbangan kos rendah Arab Saudi, Flynas, sebelum menyertai MAHB.
Megat Ardian memperoleh Sarjana dalam bidang Penerbangan (Aviation) dari Embry-Riddle Aeronautical University.
Sebelum itu, beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Business Administration) dalam Pemasaran dari Western Michigan University.
Megat Ardian telah melibatkan diri secara meluas dalam industri penerbangan dan pengurusan strategik.
Beliau pernah berkhidmat dengan syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines.
Kemudian, beliau menyertai syarikat Arab Saudi, Flynas sebagai Ketua Pegawai Komersial.
Di luar industri penerbangan, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Pemasaran di Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam kerjaya korporat — khususnya di Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) — beliau memegang beberapa jawatan penting: dahulu sebagai Pengurus Besar, kemudian Pengurus Besar Kanan Strategi (dilantik pada 1 Mac 2021).
Di bawah kepimpinannya, MAHB telah menerajui usaha kelestarian — termasuk pelaksanaan sistem solar di beberapa lapangan terbang untuk kurangkan kos tenaga dan jejak karbon.
Beliau turut terlibat dalam strategi pengembangan rangkaian penerbangan — termasuk perbincangan dengan syarikat penerbangan antarabangsa bagi membuka laluan ke Malaysia.
Oleh Shahrul Qaizat