
KUCHING: Megah Armada Sdn Bhd (SB) secara rasmi dilantik sebagai Jawatankuasa Penasihat Industri (IAC) bagi Politeknik Mukah (PMU) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal sempena Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Inovasi kali ke-8 (TECHON 2025) yang berlangsung di sini hari ini.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, serta Pengarah Politeknik Mukah, Suhali Aleh.
Pengarah Urusan Megah Armada SB, Awangku Hafizi Awang Azahari, menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan besar dan peluang berharga untuk menjalin kolaborasi strategik antara industri dan institusi pendidikan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak PMU atas kepercayaan yang diberikan. Pelantikan ini membuka ruang untuk kami menyumbang semula kepada sektor pendidikan, terutamanya dalam memperkasa bidang Kejuruteraan Mekanikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Tambah beliau lagi, sebagai graduan Politeknik Mukah, tanggungjawab untuk kembali menyumbang kepada institusi asal adalah satu amanah sosial yang harus dipikul oleh pihak industri.
“Peranan kami bukan sekadar memberi input, tetapi juga berkongsi pengalaman industri, kepakaran, kemudahan serta menyumbang kepada pembangunan silibus dan kurikulum yang relevan dengan keperluan pasaran semasa,” jelasnya lagi.
Awangku Hafizi berkata melalui kerjasama strategik ini, Megah Armada SB dan PMU akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk perkongsian ilmu, kepakaran dan fasiliti dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
“Selain itu pembangunan dan penambahbaikan modul serta kurikulum pengajian, penganjuran kursus pembelajaran sepanjang hayat (PSH), program tanggungjawab sosial korporat (CSR), aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan keusahawanan serta pemudah cara latihan industri untuk pelajar dan pensyarah PMU.
“Inisiatif ini dijangka mampu meningkatkan kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) serta memperkukuh hubungan sinergi antara institusi pengajian tinggi dan pihak industri,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman