GAEL Monfils dari Perancis membalas pukulan Daniil Medvedev dari Rusia dalam perlawanan pusingan ketiga mereka pada hari kelapan Terbuka BNP Paribas di Indian Wells Tennis Garden, Indian Wells, California.• Foto AFP
DANIIL Medvedev telah tersingkir daripada ATP/WTA Indian Wells Masters dalam kekalahan mengejut kepada Gael Monfils semalam yang menamatkan tempoh tiga minggu pemain dari Russia itu sebagai pemain nombor satu dunia.
Pemain nombor 28 dunia dari Perancis, Monfils menghasilkan persembahan vintaj untuk menundukkan Medvedev 4-6, 6-3, 6-1 dalam masa lebih dua jam untuk mara ke pusingan keempat.
Ia merupakan kali pertama Monfils yang berusia 35 tahun itu menewaskan pemain nombor satu dunia sejak 2009.
Kekalahan itu bermakna Novak Djokovic akan kembali ke kedudukan teratas dunia, tiga minggu selepas Medvedev menduduki tempat teratas pada 28 Februari.
“Saya mempunyai permulaan yang kukuh untuk tahun ini, berasa kuat, bergerak dengan baik,” kata Monfils.
“Saya berada dalam zon saya dan saya adalah lawan yang sukar untuk sesiapa sahaja. Sudah lama saya tidak menewaskan pemain nombor satu dunia, jadi saya cukup gembira.”
Medvedev pula berikrar untuk merampas semula ranking No.1 beliau di Terbuka Miami minggu depan.
“Sekarang saya tahu saya akan kehilangannya (ranking), jadi saya mempunyai Miami untuk cuba mendapatkannya semula,” kata Medvedev.
“Biasanya berasa lebih baik di Miami daripada segi tenis, jadi kami akan cuba bermain dengan baik di sana.
“Apabila saya bermain tenis terbaik saya, tenis saya yang bagus, ia benar-benar sukar untuk menewaskan saya. Tetapi itu bahagian paling sukar dalam tenis adalah untuk menghasilkannya semula dari semasa ke semasa.”
Monfils, pilihan ke-26, akan menentang bintang Sepanyol yang semakin meningkat, Carlos Alcaraz di pusingan keempat.
Permulaan tanpa kalah bintang Sepanyol, Rafael Nadal pada 2022 berterusan dengan kemenangan straight set ke atas pemain dari Britain, Dan Evans.
Juara Grand Slam 21 kali itu mencatat kemenangan ke-17 berturut-turut tahun ini dengan kemenangan 7-5, 6-3 ke atas pilihan ke-27 itu.
Dalam perseorangan wanita semalam, pemain dari Russia, Veronika Kudermetova mara ke pusingan 16 pemian terakhir selepas lawannya dari Republik Czech bersara pada set kedua. Kudermetova mendahului 6-4, 0-2 apabila lawannya mengaku kalah.
Maria Sakkari dari Greece, yang ingin meneruskan prestasi cemerlang beliau pada 2021 yang termasuk dua penampilan di peringkat separuh akhir Grand Slam, menewaskan Petra Kvitova dari Republik Czech dengan straight set.
Sakkari menempah tempatnya ke pusingan keempat dengan kemenangan 6-3, 6-0 ke atas juara Wimbledon dua kali itu. – AFP