Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Meditasi perkukuh kesejahteraan mental, sokong petugas kesihatan – Dr Sim
  • KESIHATAN

Meditasi perkukuh kesejahteraan mental, sokong petugas kesihatan – Dr Sim

Utusan Sarawak 5 hours ago
SIMBOLIK... Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyempurnakan upacara simbolik sempena Hari Meditasi UN ke-2 di Dewan Solat Pelbagai Agama, Hospital Umum Sarawak.

KUCHING: Amalan meditasi perlu dijadikan antara mekanisme penting bagi membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan fokus serta menyokong kesejahteraan mental, khususnya dalam persekitaran hospital yang berdepan tekanan tinggi setiap hari.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata demikian ketika berucap pada Hari Meditasi United Nation ke-2 yang berlangsung di Dewan Solat Pelbagai Agama, Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

SESI MEDITASI…. Peserta termasuk tetamu kehormat mengikuti sesi meditasi sempena Hari Meditasi UN ke-2 di Dewan Solat Pelbagai Agama, Hospital Umum Sarawak.

Menurut beliau, hospital merupakan institusi yang bukan sahaja menanggung tekanan pesakit dan keluarga, malah melibatkan petugas kesihatan termasuk doktor, jururawat serta kakitangan sokongan yang memikul tanggungjawab besar setiap hari.

“Ramai yang cepat menghukum apabila berdepan ketidakpuasan hati, sedangkan realitinya hospital beroperasi dalam keadaan serba mencabar dengan sumber terhad dan beban kerja yang tinggi. Kita bukan Tuhan dan tidak mungkin mampu mencapai kesempurnaan 100 peratus,” katanya.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menegaskan bahawa SGH merupakan antara hospital utama di negara ini dengan lebih 5,000 kakitangan serta kapasiti kira-kira 1,000 katil, namun beroperasi dengan peruntukan yang jauh lebih rendah berbanding hospital setaraf di negara maju.

Beliau berkata, walaupun berdepan kekangan, SGH kekal cemerlang sebagai hospital penyelidikan terkemuka di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk mencatatkan pencapaian penting dalam bidang penyelidikan dan rawatan khusus.

“Ramai doktor dan penyelidik berbakat memilih untuk kekal berkhidmat di Sarawak walaupun mempunyai peluang di luar negara kerana mereka mahu menyumbang kembali kepada negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penganjur khususnya wakil Yayasan Brahma Kumaris kerana membawa sambutan Hari Meditasi Dunia ke Sarawak, sekali gus memperkukuh kesedaran tentang kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal, mental dan spiritual.

“Meditasi bukan sekadar amalan rohani, tetapi membantu kita berhenti sejenak, berfikir, menilai nilai diri serta memperkukuh daya tahan dalaman. Inilah kekuatan Sarawak berkhidmat dengan hormat dan melakukan kerja dengan sebaiknya,” tambahnya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan dikongsi bersama masyarakat dunia bagi memperkenalkan Sarawak sebagai negeri yang menitikberatkan kesejahteraan, kemanusiaan serta keharmonian pelbagai kepercayaan.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Petronas salur sumbangan kemudahan hospital kepada Hospital Bintulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.