
MINGGU lepas wacana ini telah menyingkap definisi sejarah dan bagaimana sejarah itu berfungsi sebagai satu wadah kajian penting bagi memahami kelakuan manusia dan hubungan mereka dengan alam sekeliling.
Pada masa sama dibicarakan juga bagaimana sejarah itu bukannya satu yang hanya mengutip apa sahaja sumber dan menjadi bukti untuk mengesah pentafsiran kita.
Fenomena ini sering berlaku dalam kalangan pengguna media sosial yang menganggap bidang sejarah sebagai sesuatu yang mudah untuk dihuraikan.
Mereka cenderung mengambil jalan pintas dengan menjalankan penyelidikan secara tidak mendalam semata-mata untuk mengesahkan pandangan sendiri.
Lebih malang lagi, terdapat segelintir individu yang tetap berpegang teguh pada pendapat mereka walaupun tidak betul, dan berdebat dengan pengguna lain atas alasan bahawa pandangan merekalah yang paling tepat.
Begitu mudahnya sejarah dilihat oleh sebahagian pemain media sosial, seolah-olah bidang ini tidak mempunyai kaedah kajian tersendiri untuk diikuti.
Hal ini telah dibincangkan pada minggu lepas, dan jelas bahawa sejarah tidak semudah yang disangka. Ia bukan sekadar memaparkan apa-apa bahan yang ditemui lalu terus membuka ‘kotak pandora’ sejarah.
Hakikatnya, tidak semudah itu. Seperti yang ditegaskan oleh E. H. Carr dalam tafsirannya, sejarah ialah sesuatu yang hidup. Ia sentiasa berinteraksi dengan bahan-bahan yang ditemui dan ditafsirkan semula mengikut konteks serta kefahaman zaman.
Pengkaji
Terdapat segelintir pemain media sosial yang gemar melonggokkan pelbagai bahan sama ada sahih atau tidak bagi menyokong hujahan mereka.
Seterusnya, mereka akan menanda atau menggariskan ayat-ayat yang dianggap menyokong pendapat tersebut. Menariknya, ada yang hanya menggaris satu ayat lalu membuat justifikasi kononnya pendapat mereka telah disahkan oleh beberapa buku tanpa membaca isi kandungan teks yang dirujuk.
Perbuatan ini boleh diibaratkan seperti membaca tajuk akhbar sahaja tanpa meneliti isi kandungan berita. Membaca tajuk semata-mata tidak mencerminkan maksud sebenar berita tersebut.
Begitu jugalah dalam kajian sejarah; hanya membaca satu atau dua ayat, atau sekadar sepotong perenggan, tidak akan memberi gambaran sebenar terhadap maksud dan konteks sejarah yang hendak difahami.
Apa yang diperlukan adalah menganalisis bahan-bahan tersebut dan kemudian membuat juga pemeriksa silang dilakukan. Hal ini perlu dilakukan oleh sejarawan apabila hendak membuat kesimpulan yang ada.
Kadangkala sejarawan ini tidak akan membuat satu keputusan dan membiarkan pembaca membuat tafsiran. Hal ini dipegang oleh pemikiran Leopard von Ranke yang membuat satu pentafsiran secara objektif.
Bagi yang berpegang pada subjektif dalam sejarah seperti sejarawan Filipina Teodoro A. Agoncillo menekankan sifat kemanusiaan sejarawan dalam usaha menghidupkan kembali masa lalu.
Hal ini kerana, menurutnya, sejarawan sebagai manusia tidak mungkin dapat melarikan diri daripada dirinya sendiri iaitu pandangan, pengalaman, dan nilai peribadi pasti akan mempengaruhi tafsirannya terhadap sejarah.
Dalam kenyataan beliau ini menunjukkan bahawa sejarah itu boleh ditafsir secara subjektif. Oleh itu sejarah itu ditulis dengan membuat satu kajian mendalam, tidak boleh sekadar melepas batuk ditangga.
Seperti diterangkan diatas, bahan-bahan sejarah bukan hanya satu atau dua atau sepotong ayat tetapi ia perlu dibicarakan lebih meluas dengan pelbagai pengujian terhadap bahan tersebut.
Oleh itu sejarawan perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka tafsirkan.
Kekaburan
Malahan hingga ke hari ini masih terdapat kekeliruan dan ketidaksepakatan dalam merumuskan sesetengah peristiwa sejarah.
Poni pada asalnya dianggap merujuk kepada Brunei, namun Jan Wisseman Christie berpendapat bahawa ia sebenarnya terletak di Santubong, Sarawak.
Persoalan mengenai ibu kota Srivijaya juga masih belum menemui kata sepakat, apabila sarjana-sarjana sejarah mengemukakan pandangan dan tafsiran masing-masing.
Begitu juga dengan teori asal-usul orang Melayu di Asia Tenggara. Pandangan tradisional yang mengatakan bahawa mereka berasal dari Taiwan dan Yunnan kini dicabar oleh penemuan Stephen Oppenheimer, yang melalui kajian DNA berpendapat bahawa orang Melayu sebenarnya berasal dari Asia Tenggara sendiri, khususnya wilayah purba yang dikenali sebagai Sundaland.
Demikian juga halnya dengan persoalan asal-usul orang Melayu Sarawak. Kajian lama berdasarkan Hikayat Merpati Jepang menyatakan bahawa mereka berasal dari Sumatera atau Jawa, namun hal ini juga wajar dikaji semula.
Persoalan ini akan saya ulas dengan lebih mendalam dalam wacana minggu akan datang.
Siapa Penulis?
Seperkara juga perlu dijelaskan apabila kita memilih bahan-bahan untuk pembuktian sejarah maka perlu dilihat dahulu siapakah penulis ini.
Hal ini penting kerana latar belakang penulis buku mahupun artikel itu perlu dikaji.
Ada juga penulis-penulis buku yang dipilih diragui kesahihan penulisannya. Ini kerana penulis-penulis ini hanya mendengar daripada orang lain tetapi tidak pernah tinggal dan mengetahui secara dekat budaya masyarakat itu.
Marco Polo, pengembara terkenal dari Venice, pernah menjadi subjek perdebatan dalam kalangan sejarawan moden.
Frances Wood dari British Library, dalam bukunya Did Marco Polo Go to China? (1995), mempersoalkan sama ada Marco Polo benar-benar pernah menjejakkan kaki ke China.
Beliau berpendapat bahawa nama Marco Polo tidak pernah disebut dalam mana-mana rekod rasmi China, walaupun beliau dikatakan berkhidmat di bawah pemerintahan Kublai Khan.
Secara kesimpulannya perbincangan tentang tafsiran, keadah kajian dan penulisan sejarah perlu diambil berat untuk mengelak sebarang masalah timbul.
Pendapat mereka mungkin cuba mempopularkan idea yang cuba disampaikan tetapi sokongan bahan sejarah pula tidak lengkap malah dipersoalkan.
Minggu depan wacana ini cuba meninjau lebih mendalam dalam hal ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).