
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menzahirkan penghargaan kepada pengamal media Sarawak atas peranan penting mereka dalam menyampaikan kisah dan perjuangan rakyat.
Beliau berkata, para wartawan menjadi tulang belakang dalam memastikan rakyat mengetahui kebenaran meskipun berdepan pelbagai cabaran ketika menjalankan tugas.
“Saya tahu tugas wartawan bukan mudah, ada yang menulis di tengah panas, di tengah hujan, malah dalam situasi tidak dijangka.
“Namun saya tahu niat anda ialah untuk memastikan rakyat tahu apa yang benar,” katanya pada Majlis Penghargaan Media anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Parlimen Santubong di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Nancy berkata, banyak kejayaan dan inisiatif kementerian tidak akan diketahui umum tanpa sumbangan media yang berani, profesional dan berjiwa rakyat.
Beliau menegaskan, 2025 merupakan tahun pengukuhan dasar dan pelaksanaan menyeluruh bagi KPWKM, dengan pelbagai dasar sosial kini berada pada fasa pelaksanaan.
Antara dasar dan pelan utama tersebut termasuk Dasar Sosial Negara 2030, Dasar Keluarga Negara 2.0, Dasar Kanak-Kanak Negara, Pelan Tindakan Warga Emas 2026–2030, Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PTOKU) serta Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial yang bakal dibentangkan di Parlimen.
Beliau turut memaklumkan bahawa melalui Belanjawan 2026, KPWKM menerima peruntukan RM4.187 bilion, meningkat daripada RM3.9 bilion tahun lalu, dengan RM3.1 bilion daripadanya disalurkan untuk bantuan kebajikan kepada lebih 560,000 penerima melibatkan warga emas, kanak-kanak dan OKU.
Nancy turut menekankan pentingnya Care Economy atau ekonomi penjagaan sebagai tonggak utama masyarakat melalui Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026–2030 (Malaysia Care).
“Kita mahu kerja penjagaan dilihat bukan sebagai beban, tetapi sebagai sektor berharga yang menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai inisiatif pemerkasaan wanita sedang digiatkan termasuk PERANTIS Wanita, KasihNita, Skuad WAJA, EVAW, TAGS, WeJANA dan MEKAR, selain penglibatan aktif wanita Sarawak dalam kepimpinan komuniti, keusahawanan sosial serta media.
Nancy turut menegaskan bahawa KPWKM memberi perhatian kepada pembangunan kanak-kanak melalui Program KASIH Kanak-Kanak, pendidikan tentang sentuhan selamat, pemasangan Plak TASKA Berdaftar, serta penubuhan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA).
Bagi warga emas, katanya, program PAWE@3A (Anytime, Anyplace, Anywhere) dan sistem e-Warga Emas (e-WE) diperkenal bagi memastikan mereka terus aktif dan dihargai.
Sementara itu, sistem InfoBencana JKM 4.0 kini membolehkan bantuan wang ihsan disalurkan terus kepada mangsa bencana tanpa birokrasi, manakala rakyat boleh mengakses maklumat pusat pemindahan sementara (PPS) secara masa nyata.
Mengakhiri ucapan, Nancy meminta media untuk terus menulis kisah yang menyatukan masyarakat.
“Media Sarawak telah menjadi mata, telinga dan suara masyarakat kita. Teruslah menulis kisah yang menyatukan, kerana melalui pena dan lensa anda, kasih dan kemanusiaan terus hidup,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat