SIBU: Pengamal media di Sarawak berperanan penting sebagai ‘penjaga kebenaran’ dalam era digital yang kini penuh dengan penyebaran maklumat palsu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee menekankan bahawa media adalah saluran utama dalam memerangi penyebaran informasi tidak sahih.
“Wartawan bekerja tanpa mengira cabaran, memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih.
“Kerja mereka bukan sahaja melibatkan waktu yang panjang dan tekanan tarikh akhir, tetapi juga memerlukan komitmen terhadap integriti kewartawanan,” katanya pada majlis Malam Penghargaan Media Sibu di sebuah hotel di sini semalam.
Majlis yang dihadiri oleh pelbagai wakil media di Sibu itu memberi penghargaan kepada para pengamal media atas dedikasi mereka dalam memastikan suara rakyat dan kerajaan sampai dengan tepat dan jelas.
Antara organisasi media yang turut hadir termasuk Utusan Borneo, The Borneo Post, See Hua Daily News, Utusan Sarawak, Sarawak Tribune, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKASI), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Sin Chiew Daily News, Astro AWANI, dan lain-lain.
Dalam perkembangan lain, Tiang turut memuji pencapaian kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kerajaan negeri, katanya, telah berjaya membawa Sarawak menjadi pelopor dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta inisiatif dalam tenaga hijau dan ekonomi digital.
“Pelaburan kerajaan negeri dalam pembangunan infrastruktur dan pendidikan memberi manfaat besar kepada rakyat,” kata Tiang, yang turut memberi jaminan bahawa Sibu terus mendapat perhatian serius dari kerajaan Sarawak..
Beliau merujuk kepada peruntukan besar untuk projek pembangunan seperti RM825 juta untuk 17 projek jalan raya dan RM500 juta untuk Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek.
“Pelaburan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memajukan Sibu dan dakwaan bahawa kawasan ini diabaikan adalah tidak berasas,” tambahnya.
Tiang juga menggesa pemimpin dan pihak berkepentingan untuk berganding bahu dalam membina masa depan Sarawak yang lebih cerah dan makmur, sambil menghargai usaha wartawan yang disebutnya sebagai ‘penyimpan sejarah’ bangsa.