PENGAMAL media dalam industri media cetak tidak perlu khuatir kerana ia masih boleh bertahan.
Demikian pendapat yang penulis luahkan ketika menyertai forum kewartawanan anjuran Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (PEWARTA) yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) semalam.
Penulis diundang untuk menyampaikan buah fikiran pada Seminar dan Bengkel PEWARTA itu yang dihadiri kira-kira 40 orang wartawan dari pelbagai media sekitar Kuching.
Seorang lagi ahli panel yang diundang ialah Toman Mamora dalam sesi forum yang dimudahcarakan oleh Desmond Davidson, seorang lagi wartawan veteran yang berkhidmat dengan portal Malaysia Insight.
Penulis juga mengingatkan bahawa untuk kekal bertahan dan relevan pada zaman ini pengamal media mestilah menyesuaikan diri dengan perubahan kerana perubahan tidak boleh dielakkan kerana itu dituntut oleh revolusi internet.
Era digitalisasi
Perubahan tidak boleh diabaikan pada era digitalisasi ini.
Penulis mengingatkan pengamal media bahawa pada masa kini jumlah halaman media cetak kian berkurangan, kerana tabiat masyarakat pengguna mutakhir ini sudah jauh berubah.
Saban hari banyak laman sesawang yang menjadi wadah penyampaian berita yang muncul.
Kesemua ini menuntut agar pengamal media menangkis serangan hebat digital yang mengubah lanskap industri persuratkhabaran.
Impak kemunculan gergasi digital itu mengakibatkan ramai orang kian kehilangan pekerjaan akibat terjejasnya hasil revenu daripada iklan-iklan.
Sukar untuk meramalkan sejauh mana kesan landaan era digitalisasi ini namun ia tidak berupaya untuk ‘melumpuhlan’ industri persuratkhabaran dengan mudah.
Menurut panelis Toman Mamora, ada kira-kira 26 juta pengguna media sosial di Malaysia berdasarkan statistik pada Januari 2020.
Daripadanya, 91 peratus menggunakan Facebook, 70 peratus Instagram, 44 peratus Twitter, dan 30 peratus WhatsApp.
Setiap rakyat Malaysia menggunakan 2.80 jam setiap hari melayari jaringan sosial, dan angka itu berada di tangga ke-6 antara semua negara di dunia.
Amal etika kewartawanan yang baik
Sebagai langkah untuk mendepani cabaran ini pengamal media mestilah berhati-hati dalam menyampaikan bentuk laporan mereka agar ranking media cetak tidak terjejas.
Para wartawan mestilah berpegang kepada etika kewartawanan yang mereka telah pelajari semasa bertugas atau diperolehi dari institusi pengajian yang mengajar pengajian media.
Walaupun ramai pelapor melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram dan seumpamanya, namun cara mereka membuat laporan tidak boleh menandingi kecekapan wartawan media cetak yang mementingkan kesahihan serta dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
Tiada kebebasan mutlak
Wartawan media cetak membuat laporan dengan penuh hemah serta tidak ingin berselindung sebalik falsafah kebebasan bersuara sehingga melanggar tatasusila dan peradaban dalam laporan mereka.
Dalam dunia ini tiada kebebasan mutlak.
Bahan-bahan berita mesti ditulis dalam gaya penulisan yang dijaga rapi akan isi kandungannya yang dikawal rapi oleh para editor yang berperanan sebagai pengempang (gatekeeper) sedangkan di tangan media sosial tiada kawalan sebegitu.
Penulis juga memetik ungkapan Datuk Yong Soo Heong, mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga manta Ketua Editor Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengingatkan pengamal media agar jangan bertindak ‘bodoh sombong’ seolah-olah mereka pakar dalam satu-satu bidang atau topik.
Datuk Yong, ketika menjadi ahli panel semasa sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia di Kuala Lumpur pada 5 Mei 2022 (Khamis) lepas melalui rancangan Bernama TV: The Brief, telah menyatakan: “Jika kita membuat kesilapan, akuilah dan bergeraklah terus. Pada kebanyakan masa, adalah penting agar sentiasa merendahkan diri dan tanyalah soalan. Kita bukan pakar.”
Terbitkan buku
Penulis juga telah mengemukakan cadangan pada sesi soal jawab agar PEWARTA memasukkan aktiviti sebagai penerbit buku tentang Sarawak memandangkan kebanyakan persatuan-persatuan wartawan tidak memberi tumpuan kepada kegiatan sedemikian.
Buku-buku mestilah mengenai Sarawak, tidak kira subjeknya, seperti tempat-tempat menarik, sejarah, budaya, warisan, dan seumpamanya.
Hasil jualan daripada buku tersebut boleh diagihkan antara penulis dan sebahagian peratusannya disumbangkan sebagai dana PEWARTA.
PEWARTA ditubuhkan oleh beberapa orang wartawan veteran yang tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana syarikat penerbitan kira-kira tiga tahun lepas.
Banyak persatuan wartawan di Sarawak
Walaupun banyak lagi pertubuhan-pertubuhan wartawan lain wujud di Sarawak namun peranan masing-masing tidak mengganggu antara satu sama lain kerana semangat setiakawan dalam kalangan wartawan begitu baik.
Sebaliknya, masing-masing memiliki peranan yang berbeza dan saling melengkapi antara satu sama lain.
PEWARTA merupakan pertubuhan wartawan yang turut dibuka kepada wartawan-wartawan veteran yang tidak lagi dalam perkhidmatan syarikat penerbitan secara rasmi.
Turut serta dalam seminar dan bengkel PEWARTA itu ialah para wakil dari Commonwealth Journalists Association (CJA), Federation of Sarawak Journalists Association (FSJA) dan Kuching Division Journalists Association (KDJA).
Wujudkan kesatuan wartawan
Pada sesi dialog pada penghujung seminar dan bengkel itu telah disarankan juga agar dihidupkan kembali sebuah kesatuan untuk para wartawan di Sarawak, yang sebelum ini pernah diwujudkan tetapi tidak digerakaktifkan.
Kesatuan wartawan, kata mereka yang berdialog itu, berperanan untuk memastikan kebajikan para wartawan terbela.