ILMU PERTANIAN… Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar ketika melawat ladang ta- naman fertigasi timun dan tanaman fertigasi cili oleh Kope- rasi Kariah Masjid Impian Emas pada Program Lawatan Turun Padang Menteri MEDAC ke KOOP di Johor Bahru semalam.
• Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membantu dalam memperluaskan industri tanaman jagung bagi menampung keperluan bahan makanan ternakan.
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata koperasi pertanian di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Jabatan Pertanian, misalnya boleh bekerjasama untuk memperbanyakkan projek tanaman jagung.
“Koperasi pertanian di bawah SKM sudah tentu akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan boleh jadi, kita kongsi modal bersama.
“Mungkin Jabatan Pertanian boleh beri benih, jadi koperasi boleh beri modal untuk membersihkan tanah kerana Jabatan Pertanian sering memberikan bantuan peralatan tetapi untuk membersihkan tanah SKM akan bantu,” katanya pada sidang media selepas melawat Koperasi Kariah Masjid Taman Impian Emas, di sini hari ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee baru-baru ini berkata pihaknya akan memperluaskan industri tanaman jagung negara bagi menampung keperluan bahan makanan ternakan.
Beliau berkata bekalan jagung untuk makanan ternakan terutama ayam di negara ini diimport sepenuhnya dari negara luar yang mana jika pengeluar menaikkan harga, ia sekali gus memberi kesan kepada harga ayam dan telur tempatan.
Sementara itu, mengenai koperasi masjid, Noh berkata MEDAC menyasarkan sebanyak 300 koperasi masjid diwujudkan pada tahun ini.
Beliau berkata secara keseluruhan terdapat sebanyak 6,450 masjid di seluruh negara dan hanya 454 daripadanya mempunyai koperasi masjid.
“Jadi, penunjuk prestasi utama kita hendak tambah 300 lagi koperasi masjid, jadi kurang-kurang hendak ada 10 peratus koperasi masjid. Kita harap koperasi ini bukan sahaja terlibat dalam sektor pertanian tetapi juga peruncitan, katering, pelancongan dan lain-lain,” katanya. – Bernama