
SIMANGGANG: Peningkatan jumlah haiwan terbiar seperti anjing dan kucing di kawasan perbandaran bukan sahaja mencacatkan imej, malah boleh mendatangkan risiko kesihatan awam yang serius, terutamanya melalui penularan penyakit rabies atau anjing gila.
Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Mohd Rizal Zakaria berkata, berdasarkan laporan terkini Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 83 kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia direkodkan di Sarawak sejak Julai 2017 hingga Mac tahun ini, dengan 76 kematian direkodkan walaupun tiada kematian baharu dilaporkan pada tahun ini.
“Bagi haiwan pula, daripada 889 sampel diuji pada 2024, sebanyak 123 daripadanya disahkan positif, termasuk empat kes di Sri Aman manakala sehingga November 2024, 114 daripada 822 sampel haiwan turut disahkan positif rabies,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penyakit rabies bukanlah isu kecil kerana ia boleh menular dengan cepat melalui gigitan haiwan yang dijangkiti dan membawa maut jika tidak dirawat segera.
“Oleh itu, kesedaran masyarakat amat penting dalam membendung wabak ini, dan setiap pemilik haiwan peliharaan bertanggungjawab sepenuhnya memastikan haiwan mereka tidak dilepaskan sesuka hati, dipelihara dalam kawasan tertutup, serta didaftarkan dan diberi lesen sah oleh pihak berkuasa tempatan,”
“Selain itu, pemilik juga perlu memastikan haiwan peliharaan mereka menerima vaksin rabies secara berkala,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Awam Bahaya Rabies dalam Kalangan Komuniti, yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Sri Aman hari ini.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar 2025 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman serta Pejabat Pendidikan Bahagian Sri Aman sebagai rakan strategik.
Mengulas lanjut, Mohd Rizal turut menasihatkan masyarakat agar tidak memberi makan kepada haiwan terbiar, kerana tindakan itu menyumbang kepada pembiakan tidak terkawal dan mendorong haiwan liar terus berkeliaran tanpa kawalan.
“Sebaliknya, laporkan kepada pihak berkuasa jika terlihat haiwan liar yang memerlukan tindakan. MDSA bersama agensi berkaitan sentiasa komited dalam mengurus isu haiwan terbiar melalui aktiviti tangkapan, vaksinasi, serta program kesedaran seperti ini,” tambah beliau.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk bersama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan komuniti agar kawasan persekitaran kekal selamat dan bebas daripada ancaman penyakit bawaan haiwan.
Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, MDSA turut menganjurkan aktiviti berkaitan seperti pertandingan mewarna bertemakan bahaya rabies dan ceramah kesedaran untuk komuniti.
Oleh Adi Safarman