
SARIKEI: Usaha menggabungkan kemeriahan sambutan Krismas dengan agenda kelestarian alam diterjemahkan menerusi penganjuran program pencahayaan pokok Krismas dan pertandingan menghias pokok Krismas 2025 oleh Majlis Daerah Sarikei (MDS).
Pengerusi MDS, Kaunselor Stephen Wong Kie Yong, berkata penganjuran dua program utama tersebut bertujuan mewujudkan suasana perayaan yang ceria dan meriah, di samping memperkukuh perpaduan masyarakat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar.
“Program pencahayaan pokok Krismas dilaksanakan bagi memberi suntikan suasana perayaan Krismas kepada warga Sarikei melalui pemasangan pokok Krismas dan lampu-lampu hiasan di lokasi tumpuan awam.
“Program ini dianjurkan dengan objektif untuk mewujudkan suasana perayaan yang ceria, hangat dan meriah bersempena Krismas. Ia juga bagi menambah tarikan visual melalui pencahayaan hiasan yang memperindah kawasan persekitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di majlis pencahayaan pokok Krismas bertempat di Taman Layang-Layang, semalam.
Tambahnya, inisiatif pencahayaan tersebut bukan sahaja memperindah persekitaran bandar, malah turut berperanan sebagai tarikan visual kepada penduduk setempat dan pengunjung, selari dengan mesej Krismas yang menekankan nilai kedamaian, keharmonian dan kegembiraan.
Mengulas mengenai pertandingan menghias pokok Krismas, Stephen berkata pertandingan yang dianjurkan buat julung kalinya itu memberi penekanan kepada kreativiti berasaskan konsep mesra alam, dengan setiap pasukan diwajibkan menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus bahan kitar semula atau bahan mesra alam dalam dekorasi masing-masing.
“Pertandingan ini dirangka bagi Meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar melalui dekorasi perayaan.
“Selain itu, ia bertujuan menggalakkan penggunaan bahan kitar semula, bahan terpakai dan inovasi mesra alam sebagai elemen utama dalam hiasan.
“Objektif utamanya juga adalah untuk memupuk kerjasama, kreativiti dan inovasi dalam kalangan peserta,” katanya.
Katanya, ia juga bertujuan mengintegrasikan nilai pembangunan mampan dalam penglibatan masyarakat setempat dan menjadikan sambutan Krismas sebagai platform untuk menyampaikan mesej kelestarian serta masa depan hijau.
“Pertandingan tersebut menerima sambutan menggalakkan dengan sembilan penyertaan melibatkan pelbagai pasukan, mencerminkan komitmen komuniti terhadap inisiatif berteraskan kelestarian yang diperkenalkan oleh MDS.
“Ia berlangsung dari 7 November hingga 12 Disember 2025, dengan sesi penilaian di tapak diadakan pada 10 Disember lalu.
“Keputusan penuh pertandingan diumumkan semasa majlis penghargaan dan praKrismas yang diadakan pada malam ini (12 Disember 2025),” katanya.
Katanya lagi, para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai dengan juara menerima RM2,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM1,500, manakala tempat ke empat hingga ke sembilan menerima hadiah sagu hati bernilai RM500 setiap satu yang turut merangkumi sijil penyertaan dan plak penghargaan.
“Melalui penganjuran kedua-dua program ini, kami berharap agar sambutan Krismas tahun ini bukan sahaja meriah, tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat dari segi kesedaran kelestarian, keselamatan dan kebersihan alam sekitar.
“Inisiatif agenda pembangunan mampan melibatkan Matlamat 3 – Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, Matlamat 6 – Air Bersih dan Sanitasi, Matlamat 11 – Bandar dan Komuniti Lestari, Matlamat 13 – Tindakan Iklim, Matlamat 14 – Kehidupan di Bawah Air, Matlamat 15 – Kehidupan di Darat dan Matlamat 17 – Perkongsian Untuk Matlamat ini diharapkan dapat memupuk nilai bertanggungjawab terhadap alam sekitar, selain memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarikei,” katanya.
Oleh Earl Anek